Pages

May 30, 2011

Semoga kita tetap teguh berada di atas jalan yang lurus.

Syaitan Itu Kreatif

Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia.
Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.
Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU
Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.
“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.
“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.
“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”
“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.
“Betul ke ni?”
“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”
Saya terdiam. Kaku.
“Mana pergi tudungnya?”
“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.
“Itu tudung?”
“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”
“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.
Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.
“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?

Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

“Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”

“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.
“Aku tak faham. Maksud kau?”
“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”
“Lantas?”
“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”
“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”
“Jadi kebenaran menolak keindahan?”
“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.
“Transisi? Apa maksud mu?”
“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”
“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.
“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”
“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.
“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”
“Maksud kau?”
“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit!

March 22, 2011

Pengalaman itu Indah..


"Nabeel…."jerit Rayyan memanggil nama anak sulung saya, rutin biasa tepat jam 5 petang mencari kawan untuk bermain.

Kanak-kanak lainnya juga telah berlari-lari mendapatkan si Rayyan. Umur mereka hampir sebaya. Rayyan, ayahnya berasal dari Jordan manakala ibunya dari tanah besar China, Abha telah menemukan mereka. Berbahasa arab dengan si ayah dan lebih mudah berbahasa Inggeris dengan si ibu, maka tidak sukar untuk mengusai kedua-dua bahasa pada usia yang masih kecil.

Jika pulang bercuti musim panas ke China akan fasih pula berbahasa Cina, tetapi selepas beberapa bulan berada di Abha, tuturnya semakin tersangkut-sangkut. Memiliki kombinasi wajah baba dan mamanya. Kini telah mempunyai seorang lagi adik perempuan, Rawan sebaya Raihanah tetapi lahir di Jordan.

Nana, begitulah nama si ibu Rayyan, teman baik seperjalanan kehidupan ketika di Abha. Walau berlainan bangsa dan agama, namun kami serasi. Rakan ketika senang dan susah. Berkongsi cerita meluah rasa mengubat rindu pada kampung halaman. Sepetang kami berjalan-jalan menghirup udara nyaman sambil saling bertukar cerita tatkala anak-anak bermain riang menaiki basikal mengelilingi kawasan compound, kawasan perumahan berpagar.

Rumah kami dikelilingi jiran-jiran dari timur tengah. Kareem sebaya Nabil, anak jiran depan rumah berasal dari Beirut, Lubnan. Adiknya Ahmad dan Umar. Iras wajah mereka lebih kepada orang Inggeris, berambut perang halus,berhidung mancung, kulit cerah bersih.

Khalid anak jiran sebelah rumah sama umur dengan Nabihah, ibunya berasal dari Mesir manakala bapa dari Palestin. Khalid didaftarkan sebagai warganegara Palestin manakala adiknya, Umar warganegara Mesir. Khalid berambut kerinting, kulit sawo matang persis kebanyakan orang Mesir. Usama, anak jiran belakang rumah berasal dari Syria.

 Itulah antara rakan sepermainan anak-anak saya sepanjang kami di Abha.Tiada istilah lemah lembut ketika bermain, lasak, berani, siapa cepat dia dapat,bergaduh perkara biasa. Karektor yang sinonim dengan mereka, tetapi jika difikir banyak faktor yang menyebabkan lahirnya karektor tersebut. Malah antara karektor itulah yang perlu bagi melahirkan mujahid yang akan memelihara Islam di muka bumi ini.

Ibu-ibu mereka juga kawan-kawan saya. Sesekali kami bermorning coffee, adakalanya menghabiskan masa petang berjalan-jalan sekitar compound. Pernah juga kami berkelah hujung minggu menikmati angin nyaman di As Sauda atau ke Habalah menikmati pemandangan cerunan gunung yang indah. Walau bukan dari rumpun bangsa dan bahasa yang sama tetapi berlangsungnya kehidupan secara harmoni.

Antara asam garam hidup di perantauan. Tidak pernah terbayang bahwa suatu hari nanti saya dan keluarga akan menetap di negara Saudi ini, menetap pula di bahagian sebelah selatan yang kurang dikenali, nama Abha itu sendiri pun tidak pernah didengari sebelum ini.

Jika ada yang bertanya apakah istimewanya Abha, jawapan ringkas yang sering saya berikan ialah cuacanya yang nyaman sepanjang tahun, panorama indah yang bergunung ganang, bunga-bungaan yang mekar sebelum menjelangnya musim panas, namun hakikatnya bagi kami sekeluarga lebih daripada itu, banyak pengalaman hidup yang dikutip di Abha.

Di Abha saya berperanan sepenuhnya sebagai suri rumahtangga, tiada lagi anak-anak didik di hadapan saya, tiada lagi minit mesyuarat yang menanti untuk dibentang huraikan. Tiada lagi rutin keluar pagi pulangnya petang.

Di Abha juga anak-anak membesar menjalani kehidupan sehingga pra sekolah, malah Abha juga tercatatnya tempat lahir Raihanah di sijil kelahirannya, Abha juga menyaksikan pertalian tanpa ikatan sesama kami yang jauh dari negara dan keluarga.

Kunjungan kami ke Jordan dan Syria baru-baru ini menyegarkan kembali ingatan kepada mereka yang pernah mewarnai kehidupan selama berada di Abha.






Teringat kembali pesan seorang sahabat dengan ungkapan di mana bumi di pijak di situ langit di junjung. Mempositifkan fikiran agar tidak terbelenggu dengan keadaan.

Ada yang bertanya tidak bosankah saya duduk tinggal di tempat yang tiada rakan-rakan dari Malaysia. Ada tikanya kita tidak punya pilihan untuk memilih, maka salah satu caranya ialah dengan mencari justifikasi agar tidak menjadikan kehidupan sebagai suatu yang membebankan fikiran sehingga timbulnya kebosanan.

Sungguh lengkap Islam itu sebagai panduan kepada manusia agar dapat mengatur kehidupan dengan sebaiknya. Memberi ketenangan kepada hati yang gelisah, menyemai harapan dan sinar kepada yang kecewa, mengajar redha dengan apa yang di tentukan, walau ada kepayahan namun itulah harganya.

Kini setahun sudah Abha kami tinggalkan, masih banyak catatan kenangan yang ingin saya coretkan sebelum ianya semakin pudar dan jauh dari ingatan kerana sesungguhnya pengalaman itu indah..

March 02, 2011

Artikel ilmiah menarik untuk dikongsi bersama.
Pembentangan oleh: Ustaz Mazrul Shahir Marzuki

SYUMULIYAH ISLAM

Pengertian Islam
Persoalan ini menjadi penting untuk dibahas bukan saja untuk meluruskan berbagai pemahaman tentang Islam yang selama ini salah, keliru atau kurang sempurna, tapi juga untuk membangun komitmen keIslaman yang lebih utuh dalam kehidupan seharian kita. Apa yang terjadi selama ini bukan saja adanya kesenjangan antara pemahaman Islam generasi sekarang dengan pemahaman generasi sahabat Rasulullah saw tentang Islam, tapi juga ada kesenjangan antara Islam yang kita yakini sebagai “agama atau jalan hidup” dengan perilaku sehari-hari kita sebagai “kenyataan hidup.”
Dari akar kata bahasa Arab, Islam mempunyai erti-erti berikut: tunduk, penyerahan diri, keselamatan, kedamaian, kesejahteraan.

Tunduk dan penyerahan diri :
“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nyalah tunduk (menyerahkan diri) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka dikembalikan.” (3: 83)


Keselamatan:
“….Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan menuju cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (5: 15-16)
Kedamaian:
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (8: 61)
Kesejahteraan:
“Doa mereka di dalamnya ialah: “Subhanakallahumma” (Maha Suci Allah yang telah menciptakan semua itu tidak dengan percuma, melainkan dengan penuh hikmah), dan salam penghormatan mereka ialah: “Salam” (kesejahteraan) . Doa penutup mereka ialah “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin”(segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam).” (10: 10).


Maka kita perlu memahami Islam dengan cara menundukkan dan menyerahkan diri sepenuh-penuhnya, secara mutlak, kepada Allah swt untuk diatur sesuai dengan kehendak-Nya. Dan kehendak-kehendak Allah swt itu dapat dilihat dengan jelas dalam agama (Islam)yang diturunkan kepada umat manusia, sebagai petunjuk abadi dalam menjalani kehidupan mereka di muka bumi, melalui perantaraan seorang Rasul.

Asas ketundukan dan penyerahan diri itu adalah pengakuan yang tulus dari lubuk hati bahwa kita dan seluruh alam semesta adalah ciptaan Allah swt. Karena itu Allah swt berhak mengatur segenap ciptaan-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Selanjutnya Allah swt menjelaskan kehendak-kehendak- Nya dalam dua bentuk:
Pertama, kehendak Allah swt yang bersifat pasti, mutlak dan mengikat seluruh ciptaan-Nya sebagai “Sunnah Kauniyah.” Bererti seluruh makhluk di Alam ini telah menyatakan ketundukan dan penyerahan dirinya (ber-Islam) kepada Allah swt. Sebagaiman firman Allah swt:

“Apakah kamu tiada mengetahui, bahwa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, pohon-pohon, binatang-binatang melata dan sebagian besar dari pada manusia? Dan banyak diantara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya. Dan barangsiapa yang dihinakan Allah maka tidak seorang pun yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.” (22: 18),

Kedua, kehendak Allah swt yang bersifat pilihan, berupa aturan-aturan dan sistem bagi kehidupan manusia sebagai “Syariat atau Agama.” Inilah yang dimaksud Allah swt dalam firman-Nya :
“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (45:18)


Manusia dan alam tidak bisa melepaskan diri dari kudrat sebagai ciptaan. Kerana itu setiap penolakan terhadap kehendak-kehendak Allah swt, samaada “kauniyah” maupun “syar’iyah”, berarti satu bangkangan atau derhaka terhadap Al-Khalik. Firman Allah swt:
“Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (3: 85)


Firman Allah seterusnya:
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (7: 96)
“Barangsiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” (22: 31)


Maka perlu difahami bahawa Islam adalah merupakan Syariat atau aturan(sistem) atau jalan hidup bagi manusia untuk menata kehidupannya dan alam ini.dengan sistim tersebut.


Jadi, Islam bukan sekadar ritual yang kita lakukan sebagai bentuk ketundukan kepada Allah swt. malah Islam jauh lebih luas sebagai sistem kehidupan yang lengkap dan bersifat universal. Ia mengatur kehidupan kita sejak kita bangun dari tidur sampai kita tidur kembali. Ia menata kehidupan kita sebagai individu dan masyarakat. Menata ibadah kita seperti ia menata ekonomi dan politik kita. Ia menata hukum kita seperti ia menata kehidupan social budaya kita. Ia adalah Qur’an dan pedang, masjid dan pasar, agama dan negara, iman dan ilmu, ibadah dan seni.

Allah S.W.T sebagai pencipta manusia, maka Dia pulalah yang paling mengetahui apa yang diperlukan manusia untuk menjadikan kehidupannya lebih baik. Maka hak Allah untuk mengatur manusia (Hakimiyyatullah) bukan saja datang melalui kudrat-Nya sebagai Pencipta, malah pengetahuan dan keadilan-Nya. Oleh itu, penyerahan diri kita kepada-Nya perlu lahir secara pengakuan dan pengetahuan kita tentang pengetahuan dan keadilan-Nya serta ungkapan rasa syukur atas kurniaan terbesar-Nya, yaitu agama Islam.


“Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus” (17: 9)
“Dan barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya ia akan terbebas dari rasa takut dan tiada pula mereka akan bersedih.” (2: 38)
“Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.” (28: 77).


Karakteristik Islam
Sebagai sebuah sistem, Islam mempunyai karakteristik yang membezakannya dengan sistem-sistem yang lain. Karakteristik adalah ciri-ciri umum yang menjadi bingkai dari keseluruhan ajaran Islam. Cara pandang Islam terhadap berbagai permasalahan seperti Tuhan, alam, manusia dan kehidupan, serta interpretasinya terhadap berbagai peristiwa selamanya akan berada dalam bingkai ciri-ciri umum tersebut. Karakteristik ini pula yang kemudian menjadi neraca keunggulan Islam itu sendiri. Ciri-ciri umum tersebut adalah rabbaniyah, syumuliyah, insaniyah, tsabat, tawazun, waqi’iyyah dan ijabiyyah.


Rabbaniyyah
Rabbaniyyah adalah nisbah kepada kata Rabb yang berarti Tuhan. Artinya Islam ini adalah agama atau jalan hidup yang bersumber dari Tuhan. Ia bukan ciptaan manusia,juga bukan ciptaani nabi yang membawanya. Maka Islam adalah jalan Tuhan. Tugas para nabi adalah menerima, memahami dan menyampaikan ajaran itu kepada umat manusia :
“Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya.” (5: 67)


Sumber ajaran merupakan titik perbezaan paling signifikan antara berbagai ideologi. Sumber ajaran Islam adalah Allah swt, Tuhan semesta alam, Tuhan yang menciptakan manusia dan yang paling mengetahui hakikat manusia serta apa saja yang diperlukannya dari segi fizikal, ruh dan akalnya. Ia adalah sumber yang terpercaya yang memiliki semua hak dan kelayakan untuk mengatur manusia. Kekuatan sumber itu melahirkan rasa aman untuk menerima kebenaran dan menghilangkan keraguan. Ia bukan saja membawa kebenaran mutlak, tapi juga terjaga sepanjang masa.
“Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka janganlah kamu menjadi ragu (menerimanya) .” (2:147 ).


Semua ideologi lain memiliki kelemahan mendasar karena sumbernya adalah manusia yang tidak pernah bisa membebaskan diri dari hawa nafsu, katerbatasan, kelemahan dan ketidakberdayaan. Ideologi manusia tidak pernah sanggup melampaui hambatan ruang dan waktu dan dengan mudah menjadi usang dan dibuang ke ruang masa lalu oleh ketidaksesuaian.


Syumuliyyah
Ertinya ajaran ini mencakupi seluruh dimensi kehidupan manusia dari dimensi waktu, demografi, geografi dan kehidupan. Dari peribadi, keluarga, masyarakat hingga negara; dari sosial, ekonomi, politik, hukum, keamanan, lingkungan, pendidikan hingga kebudayaan. Seluruh etnik manusia, dari kepercayaan, sistem hingga akhlak; dari Adam hingga manusia terakhir; dari sejak kita bangun tidur hingga kita tidur kembali; dari kehidupan dunia hingga kehidupan akhirat.


Dimensi Waktu:
“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rosul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa rosul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (3: 144)
Dimensi Demografi:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS: 49: 13)
“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada seluruh umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (QS: 34: 28)
Dimensi Geografi:
“Ingatlah ketika Tuhamu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami, senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman; ”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (QS: 2: 30)
“Al-Qur’an itu tiada lain hanyalah peringatan bagi semesta alam, (yaitu) Bagi siapa di antara kamu yang mau menempuh jalan yang lurus”. (81: 27-28)
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. (QS: 21: 107)
Dimensi kehidupan
”Hai orang-orang yang berirman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan jangankah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (QS: 2: 208)
“Hari ini telah Ku-sempurnakan bagimu agamamu, dan Ku-sempurnakan nikmat-Ku terhadapmu, dan Kuridhai Islam sebagai agamamu.” (QS: 5: 3)


Insaniyyah
Manusia telah diberi tanggungjawab dan wewenang untuk melaksanakan kehendak-kehendak Allah swt dimuka bumi (khalifah). Maka Allah swt memberi penghormatan tertinggi kepada manusia dalam firman-Nya :
“Dan sesunguhnya kami telah muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (17: 70)


Selanjutnya Allah swt menyusun ajaran-ajaran Islam sedemikian rupa sesuai dengan fitrah dasar manusia :
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama (Allah); (tetaplah atas ) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ( 30:30)


Islam datang untuk membebaskan umat manusia dari perbudakan dan perhambaan sesama manusia. Sebagaimana kenyataan Rub’i bin ‘Amir terhadap Rustum menjelaskan misi perang Qadisiyah : “Kami datang untuk membebaskan manusia dari penghambaan kepada manusia yang lain.”
Hak asasi manusia dalam semua segi merupakan perkara paling penting dan mutlak dalam keseluruhan ajaran-ajaran Islam. Ianya merupakan keperluan manusia yang mutlak untuk menjalankan misinya dalam kehidupan ini. “Sejak bila kamu memperbudakkan manusia, padahal ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka dalam keadaan bebas?”, kata Umar Bin Khattab kepada ‘Amru Bin ‘Ash saat puteranya menampar wajah seorang warga Qibthy (Kristian).


Tsabat dan Tathawwur
Tsabat artinya tetap dan Tathawwur ertinya perkembangan/ pertumbuhan. Ciri tetap adalah merupakan ciri Rabbaniyyah. Maksudnya Islam membawa ajaran yang berisi hakikat-hakikat besar yang bersifat tetap dan tidak akan pernah berubah dalam semua ruang dan waktu. Hakikat-hakikat itu melampaui batas-batas ruang dan waktu serta bersifat abadi.


Seperti hakikat abadi tentang wujud dan keesaan Allah, hakikat penyembahan kepada Allah, hakikat alam sebagai ciptaan dan wadah fizik bagi kehidupan kita, hakikat manusia sebagai makhluk yang paling terhormat kerana misi khilafahnya, hakikat iman kepada Allah, malaikat, rasul, kitab suci dan takdir baik dan buruk serta hari akhirat adalah syarat diterimanya semua amal manusia, hakikat ibadah sebagai tujuan hidup manusia, hakikat aqidah sebagai ikatan komuniti Muslim, hakikat dunia sebagai tempat ujian, hakikat Islam sebagai agama satu-satunya yang diterima Allah.
Semua hakikat itu bersifat abadi dan tetap dan tidak berubah kerana faktor ruang dan waktu. Hakikat-hakikat dasar dan nilai-nilai itu bukan saja tidak dapat berubah, tapi juga tidak mungkin berkembang, sebagaimana realiti dan pola-pola kehidupan manusia yang senantiasa terus berubah dan berkembang.
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama (Allah); (tetaplah atas ) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (30:30).


Ini tidak bermaksud bahwa Islam telah membekukan gerakan pemikiran dan kehidupan secara keseluruhan. Islam menyediakan bingkai (frame of reference) di mana pemikiran dan kehidupan manusia bergerak dan bertumbuh dan berkembang. Dalam bingkai itulah kaum Muslimin bergerak dan berkreasi, menghadapi tantangan perubahan hidup secara pasti, bermetamorfosis secara teratur dan terarah, bertumbuh secara dinamik dan terkendali.


Bingkai yang mutlak amat diperlukan bagi mendapatkan panduan yg pasti, terarah, utuh, konsisten dan
berkesinambungan. Inilah sebenarnya yang menjaga keaslian, kekuatan ideologi dunia Islam lebih dari seribu tahun dari penyimpangan dan usang.
“Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu. (23: 71)


Tawazun
Artinya keseimbangan. Ajaran-ajaran Islam seluruhnya memberikan keseimbangan kepada seluruh aspek kehidupan manusia . Tidak ada yang berlebihan atau kekurangan, tidak ada perhatian yang ekstrim terhadap satu aspek dengan mengorbankan aspek yang lain. Karena semua aspek itu adalah satu kesatuan dan menjalankan fungsi yang sama dalam struktur kehidupan manusia.


Terdapat keseimbangan di antara zahir dan ghaib dalam keimanan. Ada keseimbangan antara kecenderungan kepada materialisme dan spiritualisme dalam kehidupan. Ada keseimbangan antara ketegasan hukum dan menjaga moral dalam pentadbiran/ pengurusan. Ada keseimbangan antara Sunnah Kauniyah yang pasti dengan kehendak Allah yang tetap bebas dan tidak terbatas (seperti isteri nabi Ibrahim yang melahirkan di usia yang sangat tua, atau Maryam yang melahirkan tanpa proses biologi normal, atau api menjadi dingin bagi Ibrahim dll)


“Dan segala sesuatunya Kami ciptakan dengan kadarnya masing-masing.” (54:49)
“Engkau takkan penah menemukan pada ciptaan Allah Yang Maha Pengasih sesuatu yang tidak seimbang.” ( 67: 3).
Ciri keseimbangan ini telah menjaga Islam dari terpecah belah dan rosak.

Waqi’iyyah
Artinya realisme. Islam diturunkan untuk berinteraksi dengan realiti dan objektif yang nyata sebab itu ajaran Islam mempunyai ciri-ciri untuk diterapkan secara nyata dalam kehidupan manusia. Ia bukan nilai-nilai ideal yang enak dibaca tapi tidak dapat diterapkan. Ia merupakan idealisme yang realistik dan juga realisme yang idea.


“Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. (Yang memiliki sifat-sifat) demikianlah ialah Allah, maka mengapa kamu masih berpaling. Dia menyingsingkan pagi dan manjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” ( 6: 95-96)


Tapi konsep Islam juga dibentuk sesuai dengan realiti keadaan manusia, keadaan ruang dan waktu yang melingkupinya, hambatan dan kekangan, potensi sebenar yang dimiliki manusia untuk menjalani hidup. Islam memandang manusia dengan segala kekuatan dan kelemahannya; dengan ruh, akal dan fizikalnya; dengan harapan-harapan dan ketakutannya; dengan mimpi dan keterbatasannya. Lalu berdasarkan itu semua Islam menyusun konsep hidup ideal yang dapat diimplementasikan dalam kehidupan nyata manusia dengan segenap potensi yang dimilikinya. Islam bukan idealisme yang tidak mempunyai akar dalam kenyataan.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya….”.(2: 286.)


Ijabiyyah
Ertinya sikap positif dalam menjalani kehidupan. Keimanan bukanlah sesuatu yang beku, kaku dan kering, keimanan adalah sumber tenaga jiwa yang mendorong manusia untuk merealisasikan kebaikan dan kehendak Allah dalam kehidupan sebenar. Islam memandang bahwa keimanan yang tidak dapat mendorong manusia untuk bekerja mengeksplorasi potensi alam dan potensi dirinya untuk menciptakan kehidupan yang lebih baik, adalah keimanan yang negatif dan fatal.


Itulah sebabnya Islam memberi penghargaan besar kepada kerja sebagai bukti sikap positif dan dinamika dalam mengelola kehidupannya. Allah swt berfirman:

“Katakanlah: “Bekerjalah kamu! Nanti Allah akan menyaksikan pekerjaanmu bersama Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.” (9:105 ).

February 19, 2011

Rehlah ke Bumi Syam


Perjalanan bermula dengan penuh teka teki. Tiada jawapan yang pasti dari kami samada untuk menyertai atau sebaliknya rehlah ke bumi Syam yang akan disertai oleh beberapa keluarga bagi memenuhi aktiviti sepanjang cuti sekolah. Jika ianya yang terbaik semoga  Allah permudahkan kata2 saya kepada suami memberi kekuatan padanya yang baru sahaja selesai menjalani prosedur ureterskopik membuang batu karang. Di lema..sehinggalah sehari sebelum tarikh berangkat kami memberikan kata putus.
'InsyaAllah kami sekeluarga akan menyertai rehlah ke Jordan..'kata suami kepada ustaz Hafiz yang sedari awal merancang rehlah melalui jalan darat ke bumi Syam ini.
Alhamdulillah setinggi syukur  kepada Allah swt yang telah mengizinkan untuk kami menyertai kembara perjalanan ke bumi Syam, bumi Isra’, bumi anbiya dan bumi para shuhada yang pernah menjadi saksi peristiwa  berkembangnya Islam di alam ini.
Dimulakan dengan bismillah dan doa semoga perjalanan kami ini dipermudahkanNya.
'Sekarang kita akan mula bermusafir..' saya memulakan bicara kepada anak-anak.
'Bermusafir tu apa?' soal si kakak.
'Musafir tu kita travel jauh yang kita niat semata-mata kerana Allah swt'.
'How many hours?' Soalan lagi
'Maybe 12 hours..' jawab saya.  

Perjalanan dari Riyadh ke Tabuk mengambil masa kira-kira 14 jam.  Setelah bermalam di Tabuk, kami meneruskan perjalanan ke Aqabah, pintu masuk ke Jordan atau juga dikenali sebagai Urdun.


Selesai urusan kastam dan imigresen kami meneruskan perjalanan ke Mu’tah.   Kami sampai di Mu’tah pada pukul 12 malam bersama rintik hujan, diselubungi oleh kedinginan dan kabus yang menyekat jarak pandangan, suasananya amat tenang dan damai. Kami menyusuri pekan kecil yang seolah-olah tidak berpenghuni menuju ke rumah pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah.  Kami bermalam di Mu’tah.
Pagi yang damai.. Suasana dipekan kecil itu sangat mendamaikan,  teruja melihat kehidupan yang berlangsung seawal pagi. Pemandangan yang berbeza dari yang biasa dilihat di Saudi, wanita-wanita keluar berurusan jual beli tanpa ditemani oleh suami atau saudara lelaki. Ziarah pertama kami ialah di Qal ah atau kubu Salehuddin al Ayubi di kota Karak yang dibina pada tahun 855 sebelum Hijrah ketika zaman Rom.

Qal ah Salehuddin al Ayubi di Karak


Petangnya pula kami ke medan tempat berlakunya Perang Mu’tah yang menyaksikan syahidnya sahabat-sahabat Rasulullah saw iaitu Zaid bin Harithah r.a, Jaafar bin Abi Talib r.a dan Abdullah bin Rawahah r.a. Pertembungan di antara tentera Islam dan tentera Rom yang akhirnya membawa kemenangan kepada panji-panji Islam di bawah pimpinan Khalid bin Al Walid. Kedamaian di bumi Mu’tah terus dirasai bersama hembusan angin senja di medan Perang Mu’tah.
Medan Perang Mu'tah
Perjalanan rehlah di teruskan menuju ke Laut Mati. Panorama dan kesegaran angin pagi menuruni jalan bergunung dari Karak ke pinggir Laut Mati sangat mengasyikkan. Subhanallah..ianya terapi minda dan hati. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Betapa besar hikmah kembara untuk mengambil iktibar dari kejadian alam. Mentaddabur alam, melihat tidak hanya dengan mata mendengar bukan hanya di telinga, tetapi gabungan pancaindera yang menimbul rasa menginsafkan jiwa.  Sungguh segala puji hanya milikNya, Pencipta alam semesta.
Pemandangan menuruni jalan gunung dari Karak ke Laut Mati

Laut Mati

Ketulan garam yang terbentuk

Muafakat membawa berkat, tatacara bermusafir yang memberi hikmah dan pengajaran. Kami sepakat untuk meneruskan perjalanan ke negara Syria. Senyuman terukir di wajah anak-anak, walau penat kerana lama masa perjalanan namun mood bermain dan berkawan yang sentiasa ada di minda mereka menyebabkan keseronokan mengatasi kebosanan.  Kehadiran kami di Syria disambut oleh hujan ais yang menambah kesejukan petang itu. Perjalanan diteruskan ke utara bahagian negara Syria iaitu Zabadani berhampiran Lebanon yang terletak hanya kira-kira 17 km sahaja. Pohonan zaitun tumbur subur seperti mana kelihatannya di Jordan.



Kegembiraan anak-anak terserlah apabila berpeluang bermain salji di puncak Jabal Bloudan, iaitu kira-kira 2 km dari Zabadani.


Souq al Hamidiyeh, Damascus
Kami seterusnya menuju ke ibu kota Syria, Damascus atau dalam bahasa arabnya dikenali sebagai Damsyik mengunjungi Pasar Al Hamidiyeh serta Masjid Umayyad iaitu di antara masjid yang tertua dan masyur di Damsyik. Bersebelahannya terletak makam Salehuddin al Ayubi.

Perjalanan pulang ke sempadan Saudi kami melalui al Ghurayyat yang jaraknya lebih dekat dengan Amman berbanding Aqabah.


Kenangan bersama peserta rehlah di Ghurayyat, Saudi Arabia

Kembara ini adalah juga kembara ilmu, bagi anak-anak rehlah ini mungkin tidak begitu difahami tetapi suatu hari nanti mereka akan menghargai detik menjejakkan kaki di bumi bersejarah ini.



January 23, 2011

Peringatan buat diri..



Kuala Pilah, NS
Kesejukan terus membungkus bumi Riyadh ketika ini, beberapa hari lalu bumi padang pasir ini disimbahi hujan. Subhanallah..Maha Suci Allah yang mengatur segalanya..panas dan sejuk, siang dan malam segalanya patuh tanpa sebarang bantahan kepada yang Mencipta. Manusia juga makhluk ciptaanNya, ciptaan istimewa kerana punya akal dan nafsu. Boleh memilih mana-mana suka, pokoknya terpulang, sendiri mau ingat..bahasa popular muda mudi masa kini. Sedikit peringatan buat diri sendiri tatkala sendirian dirumah sementara menunggu anak-anak pulang dari sekolah.

Buku Murabbi Cinta tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dibelek lembaran demi lembaran. Tak cukup dengan itu, buku You Can Be The Happiest Woman in The World tulisan Dr A'id al Qarni juga diselak beberapa lembaran. Namun masih tak mampu memujuk hati yang serba tak kena. Suasana mendung di luar seolah mengiyakan mendungnya rasa hati. Sunyi..barangkali tidak, semenjak menghuni di apartment yang mesra dipanggil AF5 ini tidak pernah rasanya terasing, rakan ibarat saudara punya pertalian, walau berlainan karakter namun saling menerima.  Fikiran terus melayang ke tanah air tercinta, mungkin rindu pada kampung halaman, mak dan abah, hening desa tatkala ditimpa hujan..jauh melayan fikiran sehingga menerjah zaman ketika menuntut di universiti. Andainya masa boleh diundur, ingin diulang kembali masa dan ketika itu. Kenangan pahit dan manis yang diadun bersama memberi sebuah pengalaman hidup yang bermakna. Kembara ilmu selama lima tahun itu tidak hanya untuk segulung ijazah. Melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih terarah, makna hidup sebagai hamba ada tujuan dan pengertian. Makanya soal boleh memilih mana-mana suka bukanlah suatu pengakhir kerana ada balasan besertanya. Pilih yang baik maka baiklah kesudahannya dan begitu sebaliknya. Maka jika difikir tidak mudah menjadi manusia, perlu sentiasa berfikir sebelum bertindak, mana yang baik mana yang buruk. Tatkala iman pula ada pasang ada surutnya. Namun untuk berserah tanpa ikhtiar seolah membiar diri terusan alpa. Begitu unik makhluk bergelar manusia dicipta sedemikian rupa, maka sesuatu perlu dilakukan agar tidak lalai dan lupa. Tidak sahaja jasmani malah perlu juga terisi rohani agar sejahtera dan harmoni iman di jiwa.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : 'Kami beriman'; sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-'Ankabut : 2-3)

Semoga iman akan terus terpelihara dan sentiasa dalam rahmatNya.

January 17, 2011

Minggu Peperiksaan

Juara Kumpulan Program Muqayyam Tarbawi 2010
Terasa begitu pantas masa berlalu, kini telah masuk bulan ke empat anak-anak ke sekolah, jika di Malaysia Januari merupakan bulan pertama, tetapi di sini permulaan semester adalah pada bulan September. Minggu ini merupakan minggu exam bagi Nabil yang sekarang berada di Grade 4. Peperiksaan akhir bagi semester pertama. Pada usia sebegini, minggu peperiksaan bermakna juga adalah minggu untuk duduk bersama-sama anak mengulangkaji pelajaran. Lebih-lebih lagi semenjak berada di boys section. Perbezaan fitrah perempuan dan lelaki.  Untuk memastikan tekanan tidak menyebelahi saya, saya perlu membuat strategi. Bagi mata pelajaran Bahasa Arab, Bahasa Perancis, Komputer, Islamic Education dan Sosial Studies tidaklah begitu memeningkan. Cuma perlu pengukuhan dan soal semula bagi mengetahui tahap kefahamannya. Manakala bagi Matematik boleh dikatakan hampir semua bab memerlukan ingatan pada sifir. Pengukuhan secara latih tubi perlu bagi mengelakkan kelalaian ketika menjawab soalan, mungkin langkah pertama betul tetapi disebabkan kecuaian pada langkah seterusnya maka jawapan keseluruhan akan terbabit.

Manakala bagi subjek sains saya perlu mengajar, memahamkan dan pengukuhan ingatan. Kondisi telah dikenalpasti, dia kurang berminat kerana mungkin banyak teks yang perlu dibaca, difahami dan dihafal juga. Saya perlu menggunakan pendekatan komunikasi dua hala, mengajar dan menyoal semula. Nota ringkas bentuk kreatif mungkin boleh memberi peranan kepada otak kanan dan kiri untuk menyampaikan maksud.  Kelebihannya menggunakan buku Scott Foresman ini ialah adanya kesinambungan bagi setiap topik pada setiap tahap atau grade. Beserta semua itu juga, perlu ada persediaan psikologi bagi memastikan proses pembelajaran berlangsung secara harmoni, kurangkan tekanan. Di samping mengambil kira tahap kemampuan anak, realiti..sebagai seorang ibu dan seorang guru, perasaannya tidak sama. Seorang ibu tidak dapat tidak mengharap dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ibu bersama tugasan dan cabaran lainnya juga memerlukan kekuatan dan motivasi untuk merancang dan bertindak. Jika sagu menjadi idaman, ruyungnya dulu perlu dipecahkan. Di mulakan dengan Bismillah...semoga kekuatan itu menjadi milik kita..para ibu.

January 01, 2011

Riyadh_ Makkah, 9-10 Disember 2010


Setelah beberapa bulan berada di Riyadh sekembali dari Malaysia, inilah peluang pertama kami sekeluarga mengerjakan umrah.  Perjalanan yang biasanya mengambil masa lebih kurang 10 jam, tetapi kali ini lebih panjang iaitu 14 jam. Perjalanan jauh yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal bukan sahaja pada saya dan suami malah anak2 juga. Setelah mengambil kira masa untuk merehatkan badan dan solat subuh, sarapan pagi serta berhenti untuk miqat, alhamdulillah kami memasuki kota Makkah dengan rasa penuh kesyukuran. Syukur kerana masih diberi peluang untuk berada di bumi penuh barkah menjejaki jejak para Rasul dan sahabat, para tabi'in dan para pejuang deen Allah ini. Di sinilah hati-hati manusia ditarbiyah agar tunduk dan patuh segala perintahNya, menjauhi laranganNya. Tiada perbezaan pangkat dan darjat, kaya dan miskin, semuaya sama di sisiNya melainkan taqwa.

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam, kepunyaanNyalah segala dilangit dan di bumi. Ya Allah! kami datang dengan penuh rasa rendah diri dan kerinduan pada RumahMu, ampunilah dosa2 kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami. Ya Rabb! Kurniakanlah kami hati dan lisan yang sentiasa mengingatiMu dan sentiasa mensyukuri nikmatmu, kurniakanlah iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar2 mantap. Tunjukilah kami jalan yang lurus dan jauhkanlah kami dari jalan yang sesat serta peliharalah kami dari api nerakaMu. Jangan ya Allah! Engkau hukum kami andai kami terlupa atau terlalai dan janganlah Engkau bebankan kami beban yang tidak sanggup kami memikulnya, berilah kekuatan untuk kami meneruskan kehidupan ini dengan iman dan taqwa kepadaMu. Sesungguhnya kepada Engkaulah tempat kami meminta dan kepada Engkau jualah kami berserah segala-galanya.

Lebih separuh perjalanan, lagi 325km ke Makkah

Hentian SASCO

Masjid tempat Miqat di Sail Al Kabir, Taif 

Miqat Qarn Al Manazil, Taif
Perjalanan balik ke Riyadh, mendaki jalan bukit Al Hada, Taif
Subhanallah, hujan di Taif
Replika teko arab di Taif

Pemandangan sepanjang jalan
'Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan dikembalikan.'

December 30, 2010

Promosi Program Perhimpunan 1000 Jiwa 1 Hati

Promosi program Perhimpunan 1000 Jiwa 1 Hati anjuran Raudathus Sakinah, satu organisasi yang bertanggungjawab membantu menangani masalah gejala sosial yang melanda masyarakat pada hari ini. Program yang amat prihatin ini perlu diberi sokongan bagi menyatakan kepedulian kita terhadap isu semasa dan remaja2 yang sangat memerlukan perhatian dan sentuhan kerohanian sebagai kekuatan untuk mereka melangkah menempuh kehidupan.

December 25, 2010

Mukhayyam Tarbawi 2, Riyadh


Alhamdulillah setinggi2 syukur padaNya yang telah mengizinkan berlangsungnya program Muqayyam Tarbawi 2 anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh (PPM) pada 23 Disember 2010. Bersama gandingan tenaga-tenaga muda para ustaz yang mengerah tenaga, masa dan fikiran untuk menjayakan program kali ini bagi memastikan kelangsungan dakwah tetap berlaku walau di mana bumi dipijak. Juga bersama sokongan yang diberikan oleh para ibu bapa bagi menjayakan program ini mudah2an membawa limpah rahmatNya ke atas anak2 yang sedang membesar dengan cabaran hebat disekeliling mereka. Walaupun sehari cuma namun untuk menjadi titik perubahan bukanlah sesuatu yang mustahil dengan izinNya.

Penyertaan kali ini bukan sahaja menyaksikan anak2 sebagai peserta tetapi juga saya sebagai fasilitator. Lama benar peranan itu telah saya tinggalkan, dan kini berada pada usia yang bukan lagi remaja, terasa juga kejanggalannya. Tugasan yang sering disandang setiap kali program2 motivasi dan program2 kemasyarakatan ketika menuntut di universiti suatu masa dulu. Subhanallah Maha Suci Allah yang mengizinkan proses pentarbiyahan berlaku sepanjang tempoh pembelajaran, walau bukan secara formal tetapi pengalaman itulah yang lebih bermakna. Dan kini mereka juga sedang melaluinya. Proses pembelajara secara praktikal untuk menguruskan sesebuah program, jatuh bangunnya, kejayaan dan kegagalannya akan menjadi pengalaman berharga buat mereka.

Jika dulu di depan saya adalah adik2 yang masih di dalam lingkungan umur yang sama, remaja, tetapi kini di depan saya adalah kategori umur anak2 sendiri. Melihat dalam2 wajah peserta2 program seolah2 melihat anak2 saya sendiri. Ya Allah! tunjukkan jalan yang lurus kepada mereka, bantulah mereka melalui perjalanan hidup yang masih panjang. Bezanya kini kerana saya seorang ibu. Bahasa mereka adalah bahasa anak2 saya, senyuman di bibir mereka adalah senyuman anak2 saya juga.

Di pagi yang dingin dan tenang, tema program kali ini ialah membina ukhuwah mencipta sejarah menjurus kepada merapatkan lagi hubungan antara ahli kumpulan yang tersedia terjalin. Sesi ceramah yang memfokus kepada peranan solat dalam membentuk kehidupan dan menanam kecintaan kepada ar Rasul saw menjadi santapan hati anak2 sebelah pagi. Manakala sesi sebelah petang adalah sesi latihan dalam kumpulan (LDK) membincangkan topik2 semasa masa kini yang perlu diperjelaskan fungsi dan peranannya secara betul agar difahami dan tidak disalahguna. Pengolahan dan penyampaian mesej bergantung kepada kreativiti fasilitator dengan mengambil kira faktor umur peserta. Melihat secara keseluruhan program yang hanya berlangsung sehari ini cuba dioptimumkan sebaik mungkin oleh pihak penganjur supaya setiap ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk proses pembelajaran. Juga berlangsungnya proses perkongsian ilmu dan pengalaman antara peserta dan fasilitator yang menjadi input berguna bukan sahaja kepada para peserta malah juga semua pihak yang terlibat. Semoga usaha ini mendapat limpahan rahmatNya dan generasi Islam akan terus terdidik dan terpelihara untuk mencipta semula sejarah kegemilangan Islam.

Tamatnya program bukan bermakna berakhirnya satu proses pembelajaran tetapi ianya akan terus berlangsung dalam sebuah kehidupan samada disedari atau tidak sehinggalah detik terakhir kita di bumi sementara ini.Semoga cahaya kebenaran akan terus menyinari sepanjang perjalanan kehidupan ini.