Pages

Showing posts with label Peringatan buat diri. Show all posts
Showing posts with label Peringatan buat diri. Show all posts

November 13, 2011

Memberi makna pada yang ada makna

Pemandangan dari tingkat 11 Faisaliyah Tower
Riyadh kini semakin terasa kesejukannya. Suhu disebelah pagi sekitar 15 darjah Celcius. Anak-anak juga telah mula memakai jaket ke sekolah. Tahun ini merupakan tahun ke 3 kami menempuh musim sejuk di Riyadh ini. Setiap tahun sekiranya masih boleh digunakan lagi, kami gunakan sahaja baju-baju sejuk yang ada. Jika perlu hanya membeli sehelai dua untuk anak-anak yang semakin membesar.

2 malam lepas suami membawa kami sekeluarga makan malam di restoran yang terletak di tingkat sebelas bangunan Al Faisaliyah, salah satu mercu tanda di Riyadh ini. Pada tarikh ulangtahun perkahwinan kesebelas, 11 November 2011, jika menurut kalendar  Islam ianya jatuh pada 15 Dhulhijjah 1432H. Bukanlah kerana digitnya tetapi kerana peristiwanya yang memberi makna.   Memetik kata-kata ustaz Hasrizal di dalam blognya "11/11/11 tidak seharusnya memberi sebarang makna kepada setiap kita yang aqidah, pandangan hidup dan sistem nilainya adalah al-Islam."

Sebetulnya bukanlah menjadi tradisi kami untuk menyambut sebarang ulangtahun,cukup sekadar tanda ingatan kepada hadirnya sesebuah peristiwa istimewa dalam keluarga. Apatah lagi di awal fasa berumahtangga, untuk menikmati makan malam bersama buffet yang beraroma jauh sekali. Bersama gabungan gaji suami sebagai jurutera dan saya sebagai pensyarah kolej setelah ditolak bayaran bulanan kereta, sewa rumah, upah penjagaan nabil ketika itu,belanja bulanan sehingga tibanya hujung bulan, sekadar secukupnya. Alhamdulillah itulah rezeki kami sekeluarga.

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya (Al-Baqarah :172)

Bersyukur dengan rezeki yang kurniakan, sedikit atau banyak bukanlah syaratnya kerana jika dihitung nikmat –nikmat tersebut pasti tidak akan terhitung.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada suami yang menyantuni isteri dan anak-anaknya ini. Namun terasa juga gusarnya janganlah hendaknya anak-anak ini terbiasa dengan segala yang selesa. Pasca anak-anak zaman sekarang yang jauh berbeza dengan zaman saya di zaman kanak-kanak. Suasana pembesaran ketika itu secara automatik menjadi pembelajaran kepada kami adik beradik. Melihat abah yang bekerja keras mencari duit menyara kami, mana mungkin untuk meminta-minta sedang ada banyak keperluan yang lebih utama. Berbeza kini, anak-anak tidak melihat suasana kepayahan itu. Tidaklah juga mudah untuk memahamkan mereka suasana orang dulu-dulu kerana mereka tidak melaluinya. Dalam konteks zaman yang semakin berubah, barangkali cara dan pendekatan juga berubah selagi ianya selari dengan syariat. Semoga Allah mengurniakan iman yang teguh kepada ibubapa menangani cabaran masa kini untuk mendidik anak –anak.

Dia-lah yang telah mengajarkan Al Quran. Dia-lah yang telah menciptakan manusia. Dia-lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima pernyataan. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu; dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu kayan masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikannya (membumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (Ar Rahmaan :2 – 9)

June 26, 2011

Kenangan Hari ini


United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR)
Kami menghabiskan saki baki hari sebelum meninggalkan bumi Riyadh ini buat sementara sebelum kembali semula menjelang Ramadhan, insyaAllah.

Menyediakan dan menyenaraikan apa yang perlu untuk diselesaikan dengan harapan semoga semua yang dirancang memudahkan lagi perjalanan percutian dan sekembalinya ke bumi Riyadh ini.

Setelah beberapa tahun menetap di negara ini, Riyadh dan beberapa tempat yang pernah kami diami bukanlah lagi asing pada kami sekeluarga. Kejanggalan itu semakin jauh dari perasaan.

Melihat kepada budaya dan masyarakatnya mungkin seperkara dua tidak seiringan dengan adat budaya masyarakat melayu, tetapi semakin lama semakin terasa keserasiannya bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.

Semakin lama semakin serasi apabila azan berkumandang maka segala urusan jual beli berhenti seketika demi menghormati dan menyahut seruanNya, semakin selesa apabila para wanita memelihara pandangan para lelaki dengan hijabnya, semakin tenang apabila diberi peluang mengunjungi Baitullah dan Kota Madinah dengan izinNya. Jika dahulu selera kami sekeluarga adalah selera kampung bersama nasi putih dan segala lauk pauknya, tetapi kini bukanlah menjadi masalah untuk menjamu selera dengan nasi kabsa dan  nasi mandy. 
Walau begitu tempat jatuh lagi di kenang ibarat hujan emas di negeri orang, walau jauh beribu batu namun kedamaian dan ketenangan ada di situ.

Kami akan merindui sementara rakan taulan, jiran tetangga yang mewarnai kehidupan di sini. Apatah lagi pemusafiran ke Kota Makkah dan Madinah yang membawa bersama doa dan harapan. Semuanya akan tercatat sebagai kenangan yang berharga di dalam perjalanan sebuah kehidupan.

Ada yang berkata menentukan siapakah diri yang ingin di bawa mengembara adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, 'Siapa kamu menentukan cara kamu melihat'. Kesannya pula ialah, 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat'. - petikan buku Secangkir Teh Pengubat Letih, karya ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Ada yang merantau demi mencari ilmu dan kefahaman, tidak kurang juga atas nama mencari rezeki, namun selagi niat dan tujuannya beriringan dengan syariat, semoga keberadaan di perantauan ini tidak sekadar habuan dunia malah juga imbuhan akhirat.


January 23, 2011

Peringatan buat diri..



Kuala Pilah, NS
Kesejukan terus membungkus bumi Riyadh ketika ini, beberapa hari lalu bumi padang pasir ini disimbahi hujan. Subhanallah..Maha Suci Allah yang mengatur segalanya..panas dan sejuk, siang dan malam segalanya patuh tanpa sebarang bantahan kepada yang Mencipta. Manusia juga makhluk ciptaanNya, ciptaan istimewa kerana punya akal dan nafsu. Boleh memilih mana-mana suka, pokoknya terpulang, sendiri mau ingat..bahasa popular muda mudi masa kini. Sedikit peringatan buat diri sendiri tatkala sendirian dirumah sementara menunggu anak-anak pulang dari sekolah.

Buku Murabbi Cinta tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dibelek lembaran demi lembaran. Tak cukup dengan itu, buku You Can Be The Happiest Woman in The World tulisan Dr A'id al Qarni juga diselak beberapa lembaran. Namun masih tak mampu memujuk hati yang serba tak kena. Suasana mendung di luar seolah mengiyakan mendungnya rasa hati. Sunyi..barangkali tidak, semenjak menghuni di apartment yang mesra dipanggil AF5 ini tidak pernah rasanya terasing, rakan ibarat saudara punya pertalian, walau berlainan karakter namun saling menerima.  Fikiran terus melayang ke tanah air tercinta, mungkin rindu pada kampung halaman, mak dan abah, hening desa tatkala ditimpa hujan..jauh melayan fikiran sehingga menerjah zaman ketika menuntut di universiti. Andainya masa boleh diundur, ingin diulang kembali masa dan ketika itu. Kenangan pahit dan manis yang diadun bersama memberi sebuah pengalaman hidup yang bermakna. Kembara ilmu selama lima tahun itu tidak hanya untuk segulung ijazah. Melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih terarah, makna hidup sebagai hamba ada tujuan dan pengertian. Makanya soal boleh memilih mana-mana suka bukanlah suatu pengakhir kerana ada balasan besertanya. Pilih yang baik maka baiklah kesudahannya dan begitu sebaliknya. Maka jika difikir tidak mudah menjadi manusia, perlu sentiasa berfikir sebelum bertindak, mana yang baik mana yang buruk. Tatkala iman pula ada pasang ada surutnya. Namun untuk berserah tanpa ikhtiar seolah membiar diri terusan alpa. Begitu unik makhluk bergelar manusia dicipta sedemikian rupa, maka sesuatu perlu dilakukan agar tidak lalai dan lupa. Tidak sahaja jasmani malah perlu juga terisi rohani agar sejahtera dan harmoni iman di jiwa.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : 'Kami beriman'; sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-'Ankabut : 2-3)

Semoga iman akan terus terpelihara dan sentiasa dalam rahmatNya.

November 07, 2009

Peringatan buat diri

Tatkala anak2 mula lena dibuai mimpi, saya kuatkan juga jari jemari ini untuk menaip sesuatu untuk dimuatkan dalam blog yang telah lama tidak dikemaskini. Tidaklah boleh dijadikan alasan kesibukan seharian sebagai penghalang. Cuma mungkin tumpuan kini lebih kepada anak2 yang semakin membesar, tuntutan harian yang adakalanya membuatkan kita lupa pada insan lain yang memerlukan. Jika dulu barang beberapa minit sebelum memulakan kuliah saya akan memberi sedikit kata2 nasihat kepada para pelajar sebagai santapan halwa telinga, jika dulu juga saya akan menyertai adik2 dalam kem2 motivasi membawa mereka kembara mencari makna arah tuju kehidupan. Namun itu cerita dulu, tugas yang tidaklah seberapa tetapi dapat memberikan kepuasan apabila dapat melakukan sesuatu yang boleh mendorong, memudah cara insan lain bergerak ke arah yang lebih baik atas nama individu muslim.
Apabila dibuai oleh rutin tugas yang sama, serupa juga halnya dengan hati manusia perlu kepada pengemaskinian, update kepada hal2 hubungannya dengan Pencipta, begitu juga hubungan dengan masyarakat yang tidak boleh diabaikan. Berada dalam lingkungan batas kemampuan yang terhad semoga Allah memberi kekuatan dan memudahkan jalan.

"Engkau-lah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkau-lah kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang2 yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang2 yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang2 yang sesat."(Al Fatihah : 5 - 7)


May 24, 2009

Rempah ratus kehidupan


Rempah ratus sememangnya telah diketahui umum digunakan sejak zaman berzaman dalam bidang masakan. Rempah ratus yang sifatnya boleh membangkitkan rasa dan aroma tersendiri mampu memberikan citarasa kepada sesuatu masakan. Maka tidak hairanlah nilai eksotiknya begitu tinggi dan masyur di mana sahaja. Bila memasak makanan kita akan tambah pelbagai bahan bagi menambah rasa sesuatu makanan seperti rasa manis, masin, masam, pahit dan sebagainya.
Begitu juga halnya dengan sebuah kehidupan. Kehidupan sementara yang dipinjamkan kepada kita sebagai makhluk di muka bumi. Banyak perkara yang dilalui, terkandung di dalamnya pelbagai rasa. Jika dengan makanan kita boleh merasainya melalui deria rasa yang dikurniakan kepada manusia yang kemudiannya ditafsirkan oleh otak untuk memberi penilaian rasa tersebut. Manakala rasa melalui peritiwa atau keadaan hanya mereka yang menempuhnya akan mengerti dan memahaminya. Pelbagai peristiwa dan ragam hidup yang dilalui. Adakalanya gembira, ceria, suka, tenang dan adakalanya sedih, sayu, sunyi dan pelbagai lagi. Rasa yang pelbagai mengadun sebuah kehidupan yang semakin bermakna, harapnya begitulah.

Ada juga pepatah mengatakan asam garam kehidupan, asam memberikan rasa masam manakala garam memberikan rasa masin, walau masam dan masin namun kedua2nya mampu berperanan sebagai penambah rasa dalam masakan apabila disatukan. Mungkin boleh diertikan makna yang tersirat iaitu walaupun pahit dan sedih yang dilalui namun mampu menambah nilai sesebuah kehidupan. Selalunya apabila ditimpa sesuatu musibah seperti kepayahan dan keperitan kita akui bahawa kita sedang diuji, jarang benar disedari yakni apabila berada dalam kesenangan atau kegembiraan bahawa kita juga sebenarnya sedang diuji. Maka mungkin dengannya juga jarang sekali kita temui peribahasa atau pepatah yang mengaitkan sesuatu yang manis dan ceria untuk menggambarkan pahit maung sebuah kehidupan.

Dua minggu lepas suami dimasukkan ke hospital untuk menjalani minor operation untuk membuang batu karang, kesakitan secara tiba2 sejurus selesai bertugas sebelah malam. Walaupun cuma minor operation, situasi yang sedikit sebanyak menguji kekuatan. Perasaaan yang berbeza dapat dirasa apabila berhadapan dengan situasi anak sakit atau diri sendiri yang sakit. Lebih2 lagi bila duduk jauh dari keluarga dan sanak saudara…Ya sememangnya kita akan diuji, dan ketika itu kata kuncinya ialah pasrah dan sabar, maka inilah jua antara rencah kehidupan. Rencah yang mengajar agar sentiasa memperbaiki atau mempertingkatkan lagi hubungan dengan Khaliq, Pencipta alam semesta. Tiada daya dan upaya selain usaha, dan selebihnya adalah kepunyaanNya.

Bersama bantuan jiran2 dan rakan2 Malaysia yang berada di Abha, alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Syukran jazilan juga diucapkan kepada ahli keluarga dan rakan2 yang sentiasa mendoakan dan bertanya khabar. Semoga Allah melimpahkan rahmat serta maghfirah dan mawaddahNya kepada semua.

Ya Allah! Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang2 sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir (Al-Baqarah :284-286)