Pages

Showing posts with label Catatan kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Catatan kehidupan. Show all posts

November 29, 2011

Seimbang Kehidupan

"Dear Parents: No School Tomorrow Tuesday 29th Nov for all students due to the weather conditions."

Mesej sebegini telah beberapa kali diterima semenjak anak-anak bersekolah di Riyadh. Hari persekolahan dibatalkan kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Seingat saya ketika zaman persekolahan di Malaysia dahulu tidak pernah ada hari persekolahan dibatalkan kerana hujan lebat kecuali kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir. Hujan sebelah pagi bermakna perlu meredah kesejukan serta baju dan kasut yang mungkin basah terkena air hujan. Sejuknya memang terasa tetapi tidaklah sehingga perlu memakai jaket ke sekolah.

Berbeza di sini, ketika menjelangnya musim panas dan ketika menjelangnya musim sejuk akan ada perubahan-perubahan cuaca yang tidak menentu. Hari ini 29 November, hujan turun renyai-renyai sepanjang hari. Suhu menurun sehingga 7 darjah celcius, sejuknya terasa. Ketika ini pemanas udara, pemanas air mula berfungsi sepenuhnya setelah direhatkan selama musim panas yan g lalu. Menyeimbangkan persekitaran  agar kekal pada suhu yang sesuai.

Safe Heat Oil Filled Radiator Heater
 Sifat kesimbangan ini samada secara sedar atau tidak banyak mempengaruhi kehidupan kita. Dari hal makan dan minum sehinggalah kepada mencorak sebuah kehidupan. Islam yang syumul  menyeru umatnya  kepada yang seimbang (tawaazun) dalam menjalani kehidupan dunia dengan nilai-nilai ukhrawi.

"Dan carilah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah swt kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada mu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah swt tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al Qasas:70)

Semoga kedatangan tahun baru, 1433H ini akan menyedarkan kita tentang umur dan masa yang telah berlalu, menekuni kesilapan seterusnya berhijrah ke arah yang lebih baik dan semoga dengannya akan mendapat penghayatan Islam yang lebih kukuh dan ibadah yang lebih sempurna.

November 11, 2011

11 tahun yang berlalu

Alhamdulillah..tahun ini merupakan tahun ke 11 perkahwinan kami. Dikurniakan 3 orang cahaya mata amanah dari Pencipta. Sebelas tahun berlalu bukanlah bermakna asam garam kehidupan ini telah bertukar kepada manis sepenuhnya, ianya tetap sebuah kehidupan yang penuh dengan pembelajaran dan pengajaran. Belajar dari kesilapan akan memberi kita pengajaran semoga esok lebih baik daripada hari ini.

Mengimbas kembali serba ringkas pertemuan saya dan suami, Alhamdulillah prosesnya mudah dan ringkas. Bertukar-tukar maklumat diri melalui orang tengah, bertunang dan bernikah. Namun , debarannya pasti terasa, mengingat kembali kata-kata seorang teman, melangkahlah dengan lafaz Bismillah, insyaAllah semoga mendapat keyakinan dan dipermudahkanNya. Masakan tidak, proses perkenalan sebelum sah bergelar suami dan isteri tidaklah sama setelah segalanya terikat. Seribu satu macam persoalan hadir.

Siapalah saya untuk memastikan semuanya seperti yang dirancang atau yang impikan. Perasaan yang pelbagai, sekejap positif sekejap negatif. Mak abah dan keluarga tidak banyak bicara, semuanya ceria bakal menerima menantu pertama dalam keluarga, hanya saya yang memendam rasa. Bila direnung ayat-ayat Allah meredakan kerunsingan pengubat hati, jodoh pertemuan semuanya telah ditentukan. Berusahalah dan berbaik sangkalah, insyaAllah Allah permudahkan. Utamanya niat yang hadir di dalam hati keranyaNya semata. Hanya Dia yang Maha Mengetahui ..saya pasrah.

Usai 11 tahun ini, saya bersyukur dengan segala ketentuanNya. Asam garam, pahit dan manis alam berumahtangga mewarnai kehidupan. Pastinya tanpa bersandarkan kepada keimanan kehidupan manusia akan menjadi tidak keruan, terumbang ambing ibarat kapal yang hilang arah di lautan luas di malam yang gelap gelita.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘kami beriman, sedang mereka tidak diuji?” ( Al-Ankabut :2)

Banyak teori dan falsafah yang mungkin boleh kita gunakan untuk membantu melayari bahtera rumahtangga, namun keunikannya tersendiri kerana manusia itu sendiri diciptakan unik dengan segala kelebihan dan kekurangannya, yang membezakan satu manusia dengan manusia yang lain. Unik juga kerana susun atur sesebuah rumahtangga bergantung kepada cara pandang dan fikir seseorang. Mungkin oleh kerana itulah sebuah perkahwinan juga diibaratkan saling lengkap melengkapi, tampung menampung diantara satu sama lain.

Saya bukanlah yang terbaik untuk memberikan nasihat, sekadar berkongsi pengalaman. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui (dengan izinNya), semoga ikatan ini sentiasa terpelihara, diredhai dan diberkatiNya.

“Thank you Allah swt for sending this wonderful man into my life..for my husband thank you for being kindness and love- a great father to the children. May Allah swt grant you His Jannah..”

November 07, 2011

Salam Aidiladha


Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kami beraya di Riyadh. Ketika berjuta-juta umat Islam sedang menunaikan haji, memohon keampunan dari Allah swt,berkumpul di satu tempat dalam satu masa Subhanallah..,suami pula perlu berkhidmat pada waktu-waktu sebegini. Jauh disudut hati kami juga ingin menyertai jutaan umat manusia itu, namun begitulah setiap tahun semenjak menetap di sini. Apapun, kata kuncinya menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dan bersangka baik merupakan salah satu cara menghadirkan sabar dan redha, semoga Allah sentiasa mengurniakan kami dengan sabar dan redha dalam setiap perkara yang dilalui.

Memandangkan sekarang ini cuti sekolah selama hampir 2 minggu bersempena haji makanya ibu-ibu juga turut bercuti sebentar dari urusan menguruskan anak-anak ke sekolah dan urusan sebagai guru tuisyen. Masa terluang saya suka membaca blog-blog, melihat cara mereka mencurahkan perkongsian dalam bentuk penulisan. Setiap manusia dijadikan begitu istimewa dan unik, setiapnya ada keistimewaan yang tersendiri. Walaupun nampak santai tetapi begitu terkesan. Melihat kepada cara fikir setiap manusia jika disandarkan kepada iman di hati (dengan IzinNya) akan mempengaruhi segala sudut pandangan kehidupannya, semoga saya juga tergolong dalam golongan ini. Sungguh iman dan kehidupan tidak boleh dipisahkan kerana itulah punca kepada tingkah laku seterusnya. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua, membekalkan kekuatan untuk sentiasa memelihara iman.


Selamat Hari Raya Aidiladha dari kami sekeluarga.

October 25, 2011


Buat sekalian kalinya kami menziarahi kota bercahaya ini. Jarak perjalanan masih berbaki 50km ketika jam menunjukkan kira-kira pukul 3.30 pagi, Kami sampai beberapa minit sebelum berkumandangnya azan Subuh. Subhanallah, Maha Suci Allah yang memelihara kota suci ini.

June 20, 2011

Damai desa


Ketika ini kami mula menghitung hari.

Anak-anak menghitung hari untuk bertemu atuk dan wan, mak long dan pak long, pak lang dan mak lang, makcik, mak teh, mak uda dan pak su serta sepupu-sepupu mereka.

Saya kira cukup setahun tempoh memisahkan kami berlainan benua. Tempoh yang perlu untuk bertemu kembali, memudarkan rasa rindu perantau seperti kami pada ayah bonda dan kampung halaman. Tempoh yang cukup untuk mengembalikan hak kepada yang berhak.

Pulang ke kampung halaman seolah kembali ke asal yang mendamaikan. Sukar digambar rasa jiwa seorang perantau yang kembali ke kampung halaman setelah berjauhan. Fitrah rasa yang dititipkan oleh yang Mencipta bukan rekaan. Kembali ke desa kembali ke asalnya.

June 07, 2011

Riyadh kini sudah terasa bahangnya.

Suhu adakalanya mencecah 45 darjah celcius, panas dan kering.

Ketika ini fungsi  pendingin udara adakalanya tidak boleh menampung seluruh ruang rumah, setiap ruang dan bilik malah dapur juga memerlukan pendingin udara yang bergantian dengan pemanas udara ketika musim sejuk yang lalu.

Sesi persekolahan juga sudah mula berakhir bagi peringkat rendah, yang masih berlangsung hanyalah kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir sebelum bermulanya cuti musim panas selama kira-kira 2 bulan. Ramai yang merancang percutian sempena cuti sekolah dan ketika memuncaknya kepanasan di negara padang pasir ini.  



Suhu di luar ketika 4.53 petang

Kesesakan di Batha

Sekitar pasar ikan Batha


 Kehidupan harian berlangsung hari demi hari meninggalkan peristiwa demi peristiwa. Manusia semakin dihambat oleh kesibukan menguruskan segala macam urusan. Hanya sanya pada kehidupan itu ada nilai andai berpaksi iman yang teguh bersama takwa yang memagarinya.

Seperti ungkapan dialog antara Ubai bin Ka'ab dengan Umar al-Khattab r.a:

Umar al Khattab telah bertanya kepada Ubai bin Ka'ab r.a tentang takwa. Lalu Ubai menjawab (dengan bertanya soalan), "Pernahkah engkau lalu di jalan yang banyak duri?" Umar menjawab, "Sudah tentu!" Ubai bertanya, "Justeru apa yang engkau lakukan?" Umar menjawab,"Aku akan mengangkat sedikit kainku dan aku akan melangkah dengan berhati-hati." Ubai berkata,"Itulah yang dimaksudkan dengan takwa."

'Wahai orang-orang yang beriman! bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam' (terjemahan surah Ali 'Imran: 102)

October 03, 2010

Kembali ke sekolah

Setelah menghabiskan cuti sekolah musim panas selama lebih kurang 3 bulan (Jun hingga September), anak-anak kini kembali ke sekolah untuk sesi 2010/2011. Abang akan ke Grade 4 manakala kakak akan ke Grade 2. Sesi kali ini kami masih berkeyakinan untuk menghantar mereka ke sekolah yang sama iaitu al-Rowad International Schools. Al Rowad adalah  International Islamic School yang berteraskan kurikulum British dan Amerika di samping turut di ajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Salah satu yang menariknya sekolah ini terdapat unsur pendekatan islamik bukan sahaja dari segi mata pelajaran tetapi dari segi perlaksanaan. Walaupun tidaklah seislamik sekolah-sekolah agama atau tahfiz di Malaysia namun sekurang-kurangnya terdapat usaha ke arah menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri pelajar-pelajar contohnya sekolah akan mengadakan pertandingan menghafal surah-surah dalam Al Quran, membuat aktiviti yang menambah pengetahuan dan kecintaan kepada Rasulullah dan sebagainya. Persekitaran yang terkawal oleh pihak pengurusan yang efektif dan efisyen serta tenaga pengajar yang berkelayakan menambah keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka. Bagi memastikan kepercayaan itu pihak pengurusan perlu mengekalkan dan sentiasa menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

Itu sembang akademiknya bagaimana pula dengan pembangunan sahsiahnya. Jika falsafah pendidikan negara menetapkan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya, adakah ilmu yang diperolehi disekolah mampu membekalkan diri pelajar-pelajar dengan daya tahan dan daya saing yang kuat. Banyak pihak mengatakan gabungan peranan institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat adalah faktor penyumbang kepada keberhasilan individu yang seimbang iaitu bukan sahaja berilmu tetapi utamanya berakhlak dengan akhlak Islam. Inilah tugasan yang lebih mencabar. Cabaran dari pelbagai sudut, cabaran mengasuh dan kemudian mendidik malah cabaran untuk memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin. Persekitaran yang semakin rencam menanti mereka meniti zaman remaja dan seterusnya alam dewasa. Jika hendak dibanding dengan zaman persekolahan dulu banyak bezanya, jika dulu anak-anak ke sekolah untuk survival sebuah kehidupan supaya keluar dari kepompong kemiskinan, berada dalam fasa pembangunan negara, kini anak-anak ke sekolah untuk menjadi seorang yang berilmu, berada dalam fasa kemajuan bersama cabaran kepesatan teknologi yang hebat. Kebimbangan dan kerisauan yang sentiasa menerjah jiwa ibu bapa hari ini yang mahukan anak-anaknya menjadi insan berilmu yang soleh. Kerana itu pengakhirnya, bukan harta di bawa mati tetapi doa anak soleh yang akan mengiringi, semoga niat murni ini mendapat kemudahan dan pertolongan dari Nya.Amin..

September 17, 2010

Eid Mubarak 1431 H

Selamat Hari Raya 1431 Hijrah

Assalamualaikum wbt...Salam Aidilfitri, maaf zahir batin kepada semua yang sudi mengunjungi laman blog ini. Maklum telah sekian lama saya tidak 'update' pengisiannya, banyak yang difikir, semakin teliti semakin terasa banyaknya kekurangan diri. Ada ketikanya datang juga idea nak menulis tetapi kekangan masa dan sebagainya sering terlebih dahulu mencuri perhatian..tapi atas alasan apapun tidak sepatutnya menjadi halangan untuk saya mencoretkan sesuatu walaupun ringkas untuk dikongsi bersama.

1 Syawal 1431 Hijrah kali ini saya, suami dan anak2 menyambutnya di Riyadh buat sekelian kalinya. Kali ini merupakan syawal ke 6 saya dan anak2 meraikannya diperantauan. Kami merancang tetapi Allah jua merancang tetapi perancangan dan ketentuan Allah itulah yang terbaik. Kepulangan kami yang dijangka akan menyambut syawal terpaksa diawalkan. Pertemuan kami bersama keluarga awal sebulan mengizinkan kami untuk berpuasa lebih kurang 20 hari di Malaysia. Namun bukanlah sesuatu yang menyeronokkan apabila kita yang telah terbiasa berkumpul bersama ahli keluarga untuk meraikan Aidilfitri tetapi terpaksa berjauhan, sekurang2nya akan ada kesan psikologinya. Begitu jugalah halnya kami sekeluarga. Walau bukan yang pertama namun kali ini hati saya lebih sayu. Mungkin atas beberapa faktor, juga apabila mengenangkan mak abah yang semakin berumur dan rapat dengan anak2 saya, keakraban kami adik beradik dan sebagainya menambah hiba di hati. Pulangnya kami di bumi padang pasir ini seolah meninggalkan sebahagian dari kami di Malaysia. Ditambah2 lagi seluruh umat islam akan menyambut hari kemenangan 10 hari lagi. Saya bungkam..namun membiarkan diri terus dilamun rasa yang tidak menggembirakan bukanlah sesuatu yang mengguntungkan apatah lagi pada malam2 terakhir ramadhan yang sepatutnya dihargai.

Syawal hadir jua...kami menyambutnya dengan penuh syukur dan seadanya. Alhamdulillah masih diberi peluang untuk meraikan hari kemenangan umat islam bersama harapan semoga akan bertemu Ramadhan ditahun2 mendatang. Masih banyak tanggungjawab yang belum terlaksana, masih banyak kekurangan yang belum tertampung..namun itulah sifatnya manusia, tidak akan pernah cukup hatta diberi 100 tahun lagi, ya Allah! ampunilah diri ini, ampunilah dan rahmatilah kedua ibubapa ku, jadikanlah kami insan yang sentiasa berusaha melaksanakan segala suruhan-Mu dan menjauhi larangan-Mu..amin.

June 07, 2010

Riyadh, suhu ketika ini sudah mencecah 45 C sebelah siang, membawa makna musim panas sudah menjelma. Hari ini juga merupakan hari persekolahan terakhir anak2 bagi sessi 2009/2010. Maka mereka akan menjalani ‘summer vacation’ selama lebih 3 bulan di Riyadh buat pertama kalinya yang sudah pasti berbeza dengan summer vacation ketika di Abha pada tahun2 sebelumnya. Bahangnya sudah mula terasa, siang bukanlah masa yang sesuai untuk aktiviti outdoor. Pulang ke Malaysia..insyaAllah tahun ini kami merancang untuk memberikan pengalaman manis kepada anak2, pulang beraya dikampung. Meraikan hari kemenangan di kampung halaman, manakala bagi Raihanah pasti ini agak mendebarkan kerana buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke tanah air yang tidak pernah dikenalinya. Namun dalam segala urusan hidup yang berlangsung seharian perlu juga ditoleh kiri dan kanan, depan dan belakang kerana masih ada tanggungjawab dan keprihatinan yang menanti.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim].

Traffik sebelah petang

Terasa bahangnya

Bangunan tertinggi di Riyadh, Kingdom Tower

Pokok kurma ditengah bandaraya

panas maka lawannya sejuk, koktail dan tabakat

Nabihah dan kawan2 Malaysian

Nabil dan kawan2 Malaysian

Grade 3 Red Knights, Al Rowad Int.

Grade 1 Violet Tressure Chest,Al Rowad Int.

May 09, 2010

Didedikasikan buat semua yang bergelar Ibu dan Ayah, istimewa buat mak dan abah di NS.

October 17, 2009

Bermulanya sesi persekolahan..

Hari ini bermulalah rutin harian baru bagi anak2 setelah menjalani cuti sekolah yang panjang iaitu kira2 empat bulan. Begitu gembira mereka untuk ke sekolah, bersedia untuk bertemu kawan2 baru, suasana baru yang lain dari biasa lebih2 lagi bagi Nabil dan Nabihah kerana mereka akan ke sekolah baru sejak berpindah ke Riyadh. Hari ini juga Nabil akan ke Grade 3 atau Darjah 3 manakala adiknya, Nabihah akan memulakan sesi pembelajarannya dalam Grade 1 atau di Malaysia, Darjah 1. Bermulalah satu peristiwa penting dalam hidupnya iaitu memasuki alam persekolahan.


Masih teringat ketika zaman saya mula bersekolah, selesai pendaftaran dan pembahagian kelas akan kelihatan ibu atau bapa yang berdiri mencuri pandang anak2 dari luar tingkap. Di mana anaknya ditempatkan, siapakah kawan2 sekelasnya, gurunya dan pelbagai maklumat yang cuba dirakam dalam ingatan. Hari ini saya dapatkan merasakan apakah yang tersemat di hati ibu dan bapa yang menunggu dan mencuri2 pandang di luar tingkap itu walaupun cuma bersahaja, namun jauh di sudut hati mereka mahu anaknya berjaya, anaknya celik huruf dan celik akal, meneroka seberapa banyak ilmu, menjadi seseorang yang bermakna, itu harapan walaupun ibu bapa dulu tidak pandai mengungkapkan kata2 namun kesungguhannya, kepayahannya cukup menyatakan dia mahu anaknya berjaya, tidak susah melalui hidup. Malah juga dengan kepayahan itu menjadi faktor pendorong anak2 untuk berjaya, tidak wujud ketika itu program2 motivasi seperti yang ada hari ini. Impak dari kesusahan jika dilihat secara positif akan memberikan kesan yang lebih baik dan bertahan lebih lama.

Walaupun zaman berubah, namun harapan ibu dan bapa tetap sama, mahu yang terbaik untuk anak2 mereka. Melihat anak2 ke sekolah hati ibu dan ayah penuh dengan doa dan harapan, semoga perjalanan yang akan di lalui mereka dipermudahkan, inilah yang dapat dibekalkan dan semoga dengan ilmu itu dapat menyuluh sepanjang perjalanan kehidupan dunia malah akhirat juga.

Menaiki bas ke sekolah


Al Rowad International School, Riyadh

Genap setahun



Pada 14 Oktober lalu Raihanah genap setahun, semoga membesar dengan sihat dan ceria. Ummi, abah, abang dan kakak sayang hana..Happy Birthday Sayang!

September 28, 2009

Kenangan lalu..


Alhamdullillah..kami kini berada di Riyadh, meneruskan kembara kehidupan di negara padang pasir ini. Setelah kira2 3 tahun setengah menetap di Abha, kini kami berhijrah ke kota metropolitan ini. Bersedia dengan pelbagai perubahan, kami ke kediaman yang baru, anak2 akan ke sekolah baru, teman2 baru, pendek kata persekitaran yang baru. Makanya ramadhan dan syawal kali ini agak berbeza dengan tahun2 sebelumnya semenjak berada diperantauan. Tahun ini meriah dikelilingi rakan2 yang sama budaya, sama negara.

“Wan apa khabar?” Tanya saya memulakan perbualan dengan nenek di kampung.

“Alhamdulillah..sihat, sedara mara baru je balik,ramai yang datang beraya tadi, ingat jugak kat wan ni...” ujarnya penuh semangat dalam loghat Negeri Sembilan.

“Angah, tak lama lagi wan nak pindah ke rumah sewa..” sambungnya.

“Eh, kenapa pulak wan?” tanya saya

“Dah takda sapa lagi kat sini, jiran belakang rumah tu nak pindah, rumah mesra rakyat yang dia mintak dulu dah siap, tinggal wan saja kat sini.” ujarnya lagi.

Setelah masuk tahun ke 7 arwah atuk meninggalkannya, dia akan sekejap2 saja tinggal di rumah anak2, selebihnya lebih selesa tinggal di rumah sendiri, tetapi memandangkan rumah itu jauh dari rumah2 yang lain dan penghuni kampung itu juga seorang demi seorang pergi menyahut panggilan Illahi, maka kesunyiannya bertambah2. Yang ada hanyalah pekerja Indonesia yang tinggal berdekatan mengerjakan ladang sawit. Dan yang selebihnya kera2 hutan yang datang berhimpun terutamanya apabila musim buah menjelang. Rumah wan dikelilingi oleh pokok buah2an termasuk durian, manggis, rambutan, langsat, kundang, jambu air, cempedak, nangka dan pelbagai lagi. Pokok2 yang di tanam sendiri oleh arwah atuk dan dapat dimakan oleh anak cucu malah cicitnya, anak saya yang sulung.

“Takpalah wan, kalau itu yang terbaik, ada juga nanti jiran2 yang dekat, taklah sunyi sangat.” ujar saya memujuk, kerana saya tahu dia sedih untuk meninggalkan rumah itu.

Sebenarnya jauh disudut hati saya juga sedih..sedih apabila mengenangkan rumah yang pernah menyaksikan kemeriahan suasana desa kini tinggal sunyi dan sepi. Suasana syawalnya juga berbeza, tiada lagi bunyi mercun dimalam raya, tiada juga suara takbir rumah ke rumah memuji kebesaran Ilahi, begitu juga para ibu dan anak2 gadis yang sibuk di dapur. 30 tahun sudah berlalu, namun banyak kenangan yang masih segar diingatan. Kenangan yang pada hemat saya sangat manis untuk dikenang.

Kehidupan desa ketika itu tidak sunyi, penuh dengan aktiviti harian yang sibuk bermula seawal selepas subuh. Arwah atuk sangat tegas orangnya, dia imam dimasjid kampung itu. Setiap waktu solat dia akan ke masjid dengan motosikalnya kerana masjid terletak agak jauh dari rumah. Ketika saya di zaman kanak2, arwah atuk bersawah padi, disamping itu juga mempunyai kebun getah dan membela lembu. Apabila menjelang senja, atuk akan membakar sabut2 kelapa kering yang mengeluarkan asap, nak halau nyamuk, katanya. Apabila tiba musim buah2an datanglah peraih2 buah membeli buah2an. Kenapa murah sangat diaorang ambil? rungut saya ketika itu, habis tu nak buat apa buah ni banyak2, nak buat tempoyak pun dah banyak, sahut wan. Ada ketikanya arwah atuk akan masuk ke hutan bersama anak lelaki dan menantunya mencari petai dan jika ada rezeki bertemu pelanduk hutan, kendurilah kami. Jika selepas hujan pula, dia akan balik dengan sebaldi cendawan yang tumbuh segar dicelah2 batang pokok yang tumbang. Sumber makanan kampung yang sihat dan murah, masak gulai ikan sungai salai atau ayam kampung dimakan bersama tempoyak berulamkan sayur2an dari keliling rumah. Persekitaran yang dikelilingi oleh sumber alam yang kaya dan tidak tercemar.

Namun kini segalanya menjadi lipatan kenangan. Kenangan yang mengajar erti nilai sebuah kehidupan. Kini tinggallah wan saya bersendirian meniti hari2 tuanya tanpa insan bernama suami. Lama juga wan mengambil masa memulihkan semula kekuatan selepas arwah atuk meninggal, sehingga terjejas kesihatan mata dan badannya. Yang ada hanyalah anak cucu datang menjenguk yang turut dihambat oleh masa untuk meneruskan kehidupan di zaman serba mencabar ini. Bila diimbas kembali mengapa hanya apabila kita kehilangan sesuatu maka barulah kita sedar dan terasa kehilangan seterusnya timbul rasa rindu. Dan perasaan yang sama juga terhadap ramadhan yang telah berlalu, sempatkah untuk bersama ramadhan yang akan datang? Semoga kita masih belum terlewat untuk menilai dan menghargai detik2 ketika ini agar kehilangannya tidak terlalu dirasai.

p/s: Salam Aidilfitri kepada pengunjung blog ini, semoga syawal ini memberi kemenangan yang lebih bermakna.

July 22, 2009

Abha oh Abha!

Nampaknya ucapan selamat tinggal Abha terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu atas permintaan ramai…sayang benar untuk kami meninggalkan Abha dan ketika ini kami masih di sini, di bumi Abha meneruskan musim panas disini tatkala teman2 lain melerai rindu bertemu kaum keluarga dan sanak saudara di Malaysia. Ditunda ke suatu tarikh yang belum pasti, mungkin bulan depan, atau bulan satu lagi..belum pasti. Setelah kebanyakan barang2 telah disusun kemas di dalam kotak, line internet pun dah ditamatkan perkhidmatan, disk TV dah di turunkan dari atas bumbung, semuanya telah sedia, pokok2 pasuan juga telah diserahkan kepada penjaga yang baru.

Apapun segalanya perlu diterima dengan hati yang terbuka, pujuklah, berbaik sangka segalanya perlu berhikmah supaya sabar, redha dan pasrah lebih mendominasi. Pastinya Dia yang lebih mengetahui setiap hikmah dan pengajaran. Ya, Dia Maha Mengetahui, hatta sehelai daun gugur ke bumi, sungguh terkesan apabila teringat ungkap kata bahawa setiap yang berlaku semuanya telah diatur dengan cantik, indah dan begitu tersusun. Apapun yang telah, sedang dan akan terjadi itulah yang terbaik walaupun mungkin kita tidak mengkehendakinya atau menyukainya.

Walaupun begitu sebagai manusia berserah sahaja bukanlah penyelesaian yang terbaik, kita perlu kepada kehendak atau usaha kerana Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (ar Ra’ad:11)

Syukur…apabila kita bersyukur maka Allah akan tambah lagi tetapi apabila kufur dengan nikmat maka buruklah padahnya. Ya! Itu janji Allah. Menjadi hambanya yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang tidak terhitung, hatta jika segala ranting dipepohon dijadikan pena dan air dilautan dijadikan tinta untuk menulis nikmat yang Allah berikan pun belum cukup untuk mencatat semuanya.

Menggamit Kenangan..
Beberapa minggu ini bumi Abha saban hari diselubungi awan mendung membawa hujan lewat petang dan malam. Angin sejuk dan nyaman menyapa seolah mengucapkan selamat datang kepada pengunjungnya. Terubat juga sedikit rindu pada tanah air apabila mendengar dan melihat titik titik hujan turun membasahi bumi. Mengimbas setahun yang lalu ketika ini menikmati keenakan buah2an tempatan di Malaysia, durian, rambutan, manggis dan sebagainya. Anak2 gembira berlarian di tepian pantai menyedut udara petang, lambaian daun kelapa begitu indah dan mengasyikkan. Tidak lupa juga pastinya masak gulai cili api yang digemari Nabil, anak yang sulung. Apa sahaja bahan utamanya, ayam kampung, ikan salai bersama bacang muda, asal gulai itu dia makan berselera sungguh. Mana mungkin boleh disamakan dengan masakan sebegitu di Abha, di rumah atuk, santan kelapa segar daripada buah kelapa dari pokok belakang rumah, cili api pula dipetik dari pokok di halaman rumah, kata saya apabila dia mula membandingkan masak gulai cili api di Malaysia dan di Abha.

Pulang ke Alor Setar pula terhidang pemandangan indah hijau menguning padi di bendang. Begitu damai dan tenang. Menurut resam padi semakin berisi semakin tunduk, terkandung makna yang begitu tersirat. Sejauh mana pun destinasi, selangit mana pun kejayaan digapai tidakkah itu sepatutnya menjadikan kita semakin tunduk, tunduk pada yang Memberi. Menjadikan kita punya hati yang sentiasa insaf dan sedar akan keupayaan dan kekurangan diri. Begitulah betapa sempurna ciptaan Nya menyusun setiap kejadian alam, saling berkait dan berkerjasama.

‘Dan sesungguhnya orang-orang yang berjihad (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik’ (Al-Ankabut ;69)

Tetamu dari Makkah
Minggu lepas kami dikunjungi oleh tetamu dari Makkah, Hj.Azam dan Niza. Aktiviti bersama yang menggembirakan apatah anak2. Jika di Abha ketika ini pastinya tapak perkelahan as Souda dan Al Habalah yang menerima ramai pengunjung disamping Abha Shopping Festival yang menyediakan pelbagai pilihan barangan terutama dari Cina.



Laluan masuk ke Al Habalah

Pemandangan cerun gunung di Al Habalah

Hana, 9 bulan

Ceria bersama uncle Azam & aunti Niza

June 28, 2009

Selamat tinggal Abha!


Selang beberapa hari lagi kami akan meninggalkan Khamis Mushayat, Abha. Kali ini kami akan menetap pula di Bandar Metropolitan, Riyadh, insyaAllah. Manusia merancang, namun segalanya atas ketentuan yang Maha Berkuasa, itulah kata2 yang selalu memberi kekuatan dan semangat. Rasa sedih juga nak meninggalkan bandar Abha yang terkenal dengan cuacanya yang nyaman..meninggalkan banyak kenangan bagi kami sekeluarga. Rasa yang sama ketika kami meninggalkan kota Makkah dulu sebelum ke Abha. Namun itulah resam kehidupan, malah kita juga akan meninggalkan dunia yang sementara ini. Membuat persiapan untuk berpindah dalam masa yang singkat kira2 seminggu cuma, semuanya perlu diatur sebaik mungkin, dari proses mengklasifikasikan barang2, proses penghantaran dan sebagainya. Terfikir juga, ini baru proses perpindahan daerah, bagaimana sekiranya perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh. Adakah cukup persediaan amal sekiranya dijemput menemui Pencipta, tanpa sebarang isyarat dan kesuntukan masa, tatakala itu malaikat maut datang menjalankan tugas, ngeri rasanya bila ingatkan, sempatkah kita? Sekurang2nya meninggalkan pesanan buat insan2 yang tersayang. Mudah2an kita sentiasa bersedia dan tergolong di kalangan mereka yang diberi taufik dan hidayahNya.



Bertukar angin..dari angin di atas gunung kali ini kami ke bandaraya yang dikelilingi padang pasir. Menyertai rakan2 Malaysia yang ramai di sana, pengalaman yang membuka lembaran baru. Syukran jazilan diucapkan kepada sahabat2 yang bersama2 mencari dan memberi info mengenai penempatan dan sekolah di sana. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Semoga urusan kita semua dipermudahkanNya.

June 18, 2009

Abha dalam kenangan..

Lain jer tajuk entry kali ni..yelah dimana2 pun sementara, hatta kita di dunia ni pun sementara, semuanya pinjaman semata. Jika suatu hari nanti kami perlu tinggalkan bumi Abha ini, pastinya banyak peristiwa yang akan menjadi kenangan atau nostalgia yang tidak akan luput dari ingatan. Banyak yang ingin saya rakamkan setiap kali berlaku sesuatu peristiwa. Melihat anak2 membesar menjalani kehidupan zaman kanak2. Di sinilah mereka memulakan alam persekolahan, belajar membaca, mengira dan menulis. Di sinilah juga Raihanah dilahirkan 8 bulan yang lalu, malah di Abha juga kami meraikan Hari Raya Aidilfitri, Raya Korban, hari lahir, ulangtahun perkahwinan dan pelbagai lagi.

Ya, sememangnya Abha banyak menyimpan cerita suka duka hidup diperantauan.

Masih saya ingat lagi, ketika kami kerjakan haji pada tahun 2006 antara doa saya ketika itu ialah supaya suami diberikan kerja di tempat yang tetap, kerana pada masa itu kami berpindah randah dari satu daerah ke satu daerah, alhamdulillah Allah tetapkan kami di sini. Jika diberi pilihan daerah yang akan dikunjungi di negara padang pasir ini pastilah bukan Abha menjadi pilihan utama, namun bagi kami sekeluarga yang menetap di sini seperti kata pepatah alah bisa tegal biasa. Mula2 terasa asing dan janggal, lama kelamaan rasa serasi. Rasa serasi dengan persekitaran sosial di sini walaupun taklah sama bergaul dengan rakan senegara, rasa serasi dengan cuacanya yang bermusim, proses adaptasi yang berlangsung dengan masa. Namun tidaklah dinafikan ada kalanya terasa kekosongan kerana tidak berada dalam lingkungan sosio budaya yang sama. Hujan emas dinegeri orang, ataupun jika takut dilambung ombak jangan berumah ditepi pantai, atau alang2 menyeluk pekasam.. mungkin lebih kurang begitulah perumpamaannya, dengan pilihan yang ada kita perlu memberi justifikasi secara positif atas keputusan atau pilihan kita sendiri. Manusia hanya merancang dan berusaha, tapi perancangan dan perencanaan Allah itulah yang terbaik.

Kakak pegang Hana kuat2 ye

my baby Raihanah, 8 month

my son..Muhammad Nabil

my daughter..Nur Nabihah

semoga jadi anak yang soleh & solehah..

June 12, 2009

Abha oh Abha..

Hujung minggu kali ini kami mendapat jemputan makan malam di rumah rakan2 Malaysia. Seronok juga sekali sekala menjadi tetamu. Suhu di Abha kini sebelah siang lebih kurang 30 darjah celcius dan sebelah malam pula kira2 18 - 20 darjah celcius, sememangnya inilah antara tarikan di Abha, cuacanya yang nyaman. Ketika inilah lebih seronok duduk di luar rumah pada sebelah malam kerana bahan buatan rumah di sini serap haba, maka di dalam rumah lebih panas berbanding di luar rumah pada sebelah malam. Suasana di sekitar kejiranan juga lebih meriah. Kelihatan yang ramai yang duduk bersantai di luar rumah berbual2 sambil minum teh atau kopi panas. Menjelang musim panas dan cuti sekolah tidak lama lagi maka akan bertambahlah bilangan pengunjung di Abha. Bagi rakyat tempatan yang tidak bercuti ke luar negara, Abha menjadi destinasi percutian alternatif kerana cuacanya. Di fahamkan juga ada di antaranya mereka memiliki rumah di sini bagi menghabiskan sepanjang waktu percutian musim panas. Ketika inilah juga harga hotel berganda dan tiket kapal terbang selalunya penuh.

Hujung minggu lepas sempat juga kami berkunjung ke Al-Habalah, terletak kira2 50 km iaitu sejam perjalanan dari rumah. Sesuai sebagai kawasan perkelahan yang menyajikan pemandangan pergunungan yang indah, ala grand canyon, batu batan yang terbentuk hasil proses luluhawa, begitu indah dan unik. Kali pertama kami berkunjung ke Al Habalah kira2 3 tahun lepas. Tapi tak sempat nak ambil banyak gambar, hujan turun dan kami pun sebentar saja.


Gunung batu yang membentuk lurah yang dalam

Antara hobi mereka, menyusun batu pada kereta

Antara pemandangan menuju ke Al Habalah
outdoor cooking..

Hana, lagi 2 hari 8 bulan

Hidangan bersama bihun goreng, udang bakar dan sambal kicap

ikan dibakar..

Biskut semperit pun ada..nyummi

persediaan musim panas

Hana dan abah, sambil duduk2 menikmati angin malam

April 15, 2009

Cerita semalam..

Hari ini apabila saya membaca posting saya semalam, tiba2 kakak datang dan tunjuk pada gambar kami bersama Tun M semalam, katanya yang tu (merujuk pada Tun M) macam biasa tengok kat TV je umi, alamak! kakak baru tahu ke, tu lah sebab semalam umi pesan elok2, be a good girl...kalau saya kata bekas Perdana Menteri pun dia tak faham lagi, kalau saya kata ketua mungkin dia faham, takpalah, gambar2 itu nanti akan mengingatkan bahawa dia pernah bertemu Perdana Menteri Malaysia yang ke empat itu, ye apabila satu hari nanti dia membuka lembaran buku sejarah dia akan tahu...tapi apa yang lebih menariknya pertemuan semalam apabila Tun M bukan lagi seorang pemimpin dan tidak lagi berkuasa. Dia sebagai manusia biasa yang telah berusia, melihatnya sama seperti melihat orang seusianya yang perlu dihormati walau mungkin berbeza pandangan. Begitu juga tatkala saya melihat TSH yang sentiasa memegang jari Raihanah, sekarang baru saya teringat semula ketika arwah atuk saya masih hidup antara cerita yang selalu diceritakan pada kami ialah ketika Tanah Melayu di jajah oleh Jepun, dia diserang oleh tentera Jepun, kakinya terkena peluru dan yang merawatnya ketika itu ialah Dr Siti Hasmah, cerita itu selalu diulang ulangnya setiap kali keluarga kami berkumpul, dia akan bercerita dengan begitu bersemangat sekali, katanya ketika itu dia mengaji di sekolah pondok di Kedah, dan sekarang tangan yang pernah merawat arwah atuk saya , memegang jari anak saya, cicitnya, ketika ini belumpun Raihanah menjejakkan kaki di Malaysia, ye tersentuh juga bila mengenangkan, kerana saya sangat sayang arwah atuk (al fatihah), beliau sangat bercita2, tegas dan bermotivasi. Kata2nya banyak mendorong saya, antara pesannya hormati, sayangilah ibu sebab kalau ibu dah tiada walau ke hujung dunia kita mencarinya tetap tak akan berjumpa. Kini setelah 7 tahun pemergiannya meninggalkan banyak kenangan, yang pasti pemergiannya sangat dirasai oleh semua ahli keluarga. Cerita semalam akan menjadi kenangan, cerita hari ini juga akan menjadi kenangan, maka dengan kenangan atau sejarah itulah kita belajar sesuatu.

April 08, 2009

Pagi yang tenang...

Akhirnya terlerai juga masalah laptop yang membelenggu selama beberapa minggu ni, lama juga tak update blog, terima kasih kepada yang sudi mengunjungi laman kecil yang tidak seberapa ini. Namun, diharap sedikit sebanyak dapat memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada pengunjung.

Seharian bekerja mengurus rumahtangga, anak2 dan suami, rasanya tetap dihambat oleh masa. Pagi anak2 ke sekolah, sekejap saja dah tengahari, masak, anak2 balik sekolah, petang bantu anak selesaikan kerja2 sekolah dan malam, rutin yang sama berulang dan berulang. Adakalanya rasa terlalu pantas masa berlalu, yelah semestinya masa tak pernah berhenti berpusing apatah lagi berundur, sedar sedar anak pun dah besar, tahun demi tahun berlalu. Lagi sepuluh tahun anak saya yang sulung akan menjangkau usia remaja 18 tahun, yang nombor dua 16 tahun dan yang kecil 10 tahun, masa 10 tahun itu akan hadir, insyaAllah, seperti usia perkahwinan kami 9 tahun ini rasanya sekejap cuma, sedar2 dah tahun ke 9, maknanya lagi 10 tahun jika diizinkanNya untuk menempuh masa itu bukanlah masa yang terlalu lama (semoga diberi peluang untuk membesarkan dan mendidik amanah Allah ini). Esok lusa atau tulat tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku, kita hanya merancang, Dia yang menentukan dan semoga kita bukan tergolong dikalangan orang2 yang rugi oleh kerana masa. Sememangnya banyak perkara yang kita telah tahu dan sedia maklum, cuma kadangkala ada perkara yang terlepas pandang, terlupa dan macam2 lagi, itulah manusia, ibarat ombak ada pasang dan surut, makanya perlu sedikit ruang untuk mendapat suntikan baru, hmmm…macam nak bagi ceramah motivasilah pula, takpalah kan, baik jadi teladan, buruk jadi sempadan. Sebagai manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan, cumanya semoga esok lebih baik daripada hari ini.

Abha sejak dua tiga hari lepas panas disebelah pagi, mendung dan hujan di sebelah malam. Malam tadi hujan turun dengan lebatnya, terasa seperti di Malaysia pula, macam di rumah mak saya, atapnya zink jadi bila hujan turun kedengaran titik2 hujan, makin, lebat hujan bunyinya makin kuat, makin terasa sejuk, masa sekolah dulu kalau hujan sebelah malam cukup liat nak bangun pagi, masa tu terfikir bestnya kalau hari tu cuti sekolah. Tapi bila terfikirkan abah saya yang tidak boleh ke kebun untuk menoreh, tak hujan sebelah malam pun takapa. Kesian saya bila lihat riak muka abah yang susah hati sebab tak boleh menoreh ketika itu, sekarang ini hujan malam pun tak jadi masalah, sebab pokok getah dah bertukar pokok sawit, abah tak perlu susah payah ke kebun, semuanya diuruskan. Terkenang pula masa dulu2…tempat jatuh lagi dikenang.

Berbalik ke Abha, sebelah pagi matahari bersinar, apa yang seronoknya ketika ini, sebelah pagi bunyi/kicauan burung yang begitu meriah sekali, pokok dibelakang rumah jiran menjadi tempat mereka bersarang dan bertelur, makanya bunyi anak2 burung begitu riuh rendah minta makanan. Sekali sekala saya bawa hana keluar berjalan2 sekitar compound, rasalah sedikit panas berbanding duduk dalam rumah, sebab bahan binaan di sini direka serap haba, kalau sejuk malam tadi, walaupun diluar panas dalam rumah tetap sejuk. Hana pun kurang seminggu lagi berusia 6 bulan, sekejap kan, rasanya baru saja mak abah menemankan saya disini, menanti cucu yang ke 5. Sekarang dah boleh makan bubur yang dikisar, moi kalau loghat utaranya. Walaupun anak yang ke 3, tapi kerja2 memasak dan menyuapkan bubur dulunya saya tak lakukan. Masih teringat apabila bibik, pembantu rumah suapkan Bihah sambil dukung nak tarik perhatian. Bila saya suapkan Hana sekarang ni terasa juga sukarnya, sambil suap tangan sebelah lagi pegang mainan yang boleh tarik perhatiannya, hasilnya bila bubur habis bukan saja bib, baju pun comot. Sememangnya saya patut berterima kasih pada bibik dan baby sitter yang membesarkan anak2 saya pada tahun2 pertama tumbesaran mereka. Tapi terasa satu kerugian kerana saya telah miss satu step yang seharusnya saya lakukan. Kini Hana diperingkat menguatkan koordinasi otot2 tangan dan kakinya, gigi pertama juga dah mula kelihatan nak tumbuh. Sekali sekala dia meniarap lepas tu menangis tak tahu nak buat apa. Kegemarannya masih suka menghisap ibu jari jika nak tidur dan bila bawa jalan2, suka tidur dalam stroller. Hujung minggu lepas juga dapur tak berasap dua hari sebab management compound ni berbesar hati nak tukar kitchen cabinet yang dah lama hingga repui kayunya, itupun kira2nya setahun juga menunggu nak tukar..


Inilah kawasan kejiranan sindabad compound

Burung apa tu ye...pagi2 meriah berkicau

Ini bunga betul..bukan plastik tau

dapur baruku...wpun bukan kayu nyatoh, ada iras kayu pun oklah

Akses ke belakang rumah, ada bilik stor

Moi yang siap di masak bersama sup ikan salmon, brokoli dan lobak yang dikukus..

Kisar guna chopper, mudah juga..

Satu untuk hari ini, satu untuk esok..

sedia nak makan..