Pages

March 22, 2011

Pengalaman itu Indah..


"Nabeel…."jerit Rayyan memanggil nama anak sulung saya, rutin biasa tepat jam 5 petang mencari kawan untuk bermain.

Kanak-kanak lainnya juga telah berlari-lari mendapatkan si Rayyan. Umur mereka hampir sebaya. Rayyan, ayahnya berasal dari Jordan manakala ibunya dari tanah besar China, Abha telah menemukan mereka. Berbahasa arab dengan si ayah dan lebih mudah berbahasa Inggeris dengan si ibu, maka tidak sukar untuk mengusai kedua-dua bahasa pada usia yang masih kecil.

Jika pulang bercuti musim panas ke China akan fasih pula berbahasa Cina, tetapi selepas beberapa bulan berada di Abha, tuturnya semakin tersangkut-sangkut. Memiliki kombinasi wajah baba dan mamanya. Kini telah mempunyai seorang lagi adik perempuan, Rawan sebaya Raihanah tetapi lahir di Jordan.

Nana, begitulah nama si ibu Rayyan, teman baik seperjalanan kehidupan ketika di Abha. Walau berlainan bangsa dan agama, namun kami serasi. Rakan ketika senang dan susah. Berkongsi cerita meluah rasa mengubat rindu pada kampung halaman. Sepetang kami berjalan-jalan menghirup udara nyaman sambil saling bertukar cerita tatkala anak-anak bermain riang menaiki basikal mengelilingi kawasan compound, kawasan perumahan berpagar.

Rumah kami dikelilingi jiran-jiran dari timur tengah. Kareem sebaya Nabil, anak jiran depan rumah berasal dari Beirut, Lubnan. Adiknya Ahmad dan Umar. Iras wajah mereka lebih kepada orang Inggeris, berambut perang halus,berhidung mancung, kulit cerah bersih.

Khalid anak jiran sebelah rumah sama umur dengan Nabihah, ibunya berasal dari Mesir manakala bapa dari Palestin. Khalid didaftarkan sebagai warganegara Palestin manakala adiknya, Umar warganegara Mesir. Khalid berambut kerinting, kulit sawo matang persis kebanyakan orang Mesir. Usama, anak jiran belakang rumah berasal dari Syria.

 Itulah antara rakan sepermainan anak-anak saya sepanjang kami di Abha.Tiada istilah lemah lembut ketika bermain, lasak, berani, siapa cepat dia dapat,bergaduh perkara biasa. Karektor yang sinonim dengan mereka, tetapi jika difikir banyak faktor yang menyebabkan lahirnya karektor tersebut. Malah antara karektor itulah yang perlu bagi melahirkan mujahid yang akan memelihara Islam di muka bumi ini.

Ibu-ibu mereka juga kawan-kawan saya. Sesekali kami bermorning coffee, adakalanya menghabiskan masa petang berjalan-jalan sekitar compound. Pernah juga kami berkelah hujung minggu menikmati angin nyaman di As Sauda atau ke Habalah menikmati pemandangan cerunan gunung yang indah. Walau bukan dari rumpun bangsa dan bahasa yang sama tetapi berlangsungnya kehidupan secara harmoni.

Antara asam garam hidup di perantauan. Tidak pernah terbayang bahwa suatu hari nanti saya dan keluarga akan menetap di negara Saudi ini, menetap pula di bahagian sebelah selatan yang kurang dikenali, nama Abha itu sendiri pun tidak pernah didengari sebelum ini.

Jika ada yang bertanya apakah istimewanya Abha, jawapan ringkas yang sering saya berikan ialah cuacanya yang nyaman sepanjang tahun, panorama indah yang bergunung ganang, bunga-bungaan yang mekar sebelum menjelangnya musim panas, namun hakikatnya bagi kami sekeluarga lebih daripada itu, banyak pengalaman hidup yang dikutip di Abha.

Di Abha saya berperanan sepenuhnya sebagai suri rumahtangga, tiada lagi anak-anak didik di hadapan saya, tiada lagi minit mesyuarat yang menanti untuk dibentang huraikan. Tiada lagi rutin keluar pagi pulangnya petang.

Di Abha juga anak-anak membesar menjalani kehidupan sehingga pra sekolah, malah Abha juga tercatatnya tempat lahir Raihanah di sijil kelahirannya, Abha juga menyaksikan pertalian tanpa ikatan sesama kami yang jauh dari negara dan keluarga.

Kunjungan kami ke Jordan dan Syria baru-baru ini menyegarkan kembali ingatan kepada mereka yang pernah mewarnai kehidupan selama berada di Abha.






Teringat kembali pesan seorang sahabat dengan ungkapan di mana bumi di pijak di situ langit di junjung. Mempositifkan fikiran agar tidak terbelenggu dengan keadaan.

Ada yang bertanya tidak bosankah saya duduk tinggal di tempat yang tiada rakan-rakan dari Malaysia. Ada tikanya kita tidak punya pilihan untuk memilih, maka salah satu caranya ialah dengan mencari justifikasi agar tidak menjadikan kehidupan sebagai suatu yang membebankan fikiran sehingga timbulnya kebosanan.

Sungguh lengkap Islam itu sebagai panduan kepada manusia agar dapat mengatur kehidupan dengan sebaiknya. Memberi ketenangan kepada hati yang gelisah, menyemai harapan dan sinar kepada yang kecewa, mengajar redha dengan apa yang di tentukan, walau ada kepayahan namun itulah harganya.

Kini setahun sudah Abha kami tinggalkan, masih banyak catatan kenangan yang ingin saya coretkan sebelum ianya semakin pudar dan jauh dari ingatan kerana sesungguhnya pengalaman itu indah..

1 comment:

ruby said...

hmm..teringat kata2 umi nabil masa nabil baby lagi, bila mak ude tye nnti school kat mane,kat kg nak?msti umi dia jwb,x nak lah.. nabil nnti international school..he2.mkbul doa umi dia..;-) plus kat overseas lg..hmm..nnti mak ude pun nak ckp cam tu la..