Pages

Showing posts with label Jendela Hikmah. Show all posts
Showing posts with label Jendela Hikmah. Show all posts

April 22, 2009

“Arafah” Cinta kita!


(Artikel menarik untuk dikongsi bersama)

Jika benar menyambut hari Valentine ini tanda menghargai cinta, maka kitalah yang paling layak menyambutnya, kata saya, “bukan untuk menyerupai orang kafir tetapi Islam benar-benar menghargai cinta.”Itulah kata-kata yang pernah saya lontarkan dalam satu forum dengan pelajar-pelajar UiTM satu ketika dulu. Saya mengatakan demikian kerana Islamlah agama yang paling ke hadapan dalam menjaga kesucian cinta.

Apa tidaknya cinta (antara lelaki dan wanita) lahirnya di tempat yang paling mulia. Cinta lahir di syurga! Ketika semua nikmat di syurga dapat dikecapi, nabi Adam masih terasa ada “kekosongan”. Allah Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya, lalu diciptakannya seorang wanita - Hawa, bersama cinta. Lalu kekosongan itu pun terisi. Cinta adalah nikmat hati. Dan manusia yang pertama mengecap nikmat itu ialah seorang yang mulia - seorang nabi. Di mana? Di syurga!

Syurga itu apa? Syurga adalah tempat penuh nikmat yang tidak dapat dibayangkan oleh pancaindera manusia. Bayangkan yang indah, harum, sedap dan nyaman… syurga lebih indah daripada apa yang termampu kita bayangkan.. Siapa yang layak menjadi penghuni syurga? Jawabnya, orang yang baik-baik di kalangan para Rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin (orang-orang soleh). Tegasnya, syurga adalah tempat tinggal dan kembali orang yang baik-baik.
Bagaimana mahu melayakkan diri untuk memasuki syurga? Jawabnya mudah, jadilah orang yang baik-baik. Bagaimana hendak jadi orang yang baik-baik? Tentulah sahaja dengan melakukan banyak kebaikan. Setiap kebaikan yang dibuat dengan ikhlas, akan dibalas dengan pahala. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Lalu apa kaitan semua ini dengan cinta?

Cinta dilahirkan di tempat yang baik (syurga), dianugerahkan oleh yang Maha baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (nabi Adam a.s) dan diwariskan untuk orang yang baik-baik (para solihin). Sekali lagi, cinta lahir di syurga dan akan berakhir (kembali) ke syurga.

Menyedari hakikat itu, marilah kita sucikan cinta seperti mula ia dianugerahkan Allah. Hanya dengan cinta yang terjaga kesuciannya sahaja manusia yang saling bercinta itu akan memasuki syurga. Jika cinta itu tercemar dan tercalar, maka mereka yang bertanggung jawab ke atasnya akan terkecuali daripada memasuki syurga. Bagaimana menjaga kesucian cinta?

1. Bercinta kerana Allah
Sedarlah sentiasa bahawa cinta itu adalah “hadiah” daripada Allah. Justeru, jangan sekali-kali kita terleka dengan hadiah sehingga melupakan Pemberi hadiah (Allah). Cinta sesama makhluk jangan sampai mengatasi cinta kepada Allah. Cinta bukan Tuhan. Ia hanya hadiah daripada Tuhan. Malangnya, dalam cerita-cerita cinta versi Barat dan Timur, kerap kali dipaparkan seolah-olah cinta itu “Tuhan”.
Lihat, bagaimana Bollywood “mengajar” generasi muda tentang penyimpangan cinta. Secara halus cinta seolah-olah “dinobatkan” sebagai Tuhan. Demi cinta yang suci (kononnya), agama, ibu-bapa, sanak-saudara rela ditinggalkan. Seolah-olah cinta itulah yang paling agung dan utama daripada segala. Hidup merana, menderita malah sanggup mati kerana cintakan kekasih dianggap sikap yang mulia dan suci. Padahal, cinta sesama manusia itu hanya “alat” bukan matlamat. Cinta sesama manusia hanyalah alat untuk mendapat cinta Allah (matlamat). Jadi, untuk menjaga kesucian cinta… jadikanlah cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.

2. Menjaga peraturan cinta
Kedua, cinta itu anugerah Tuhan yang diturunkan bersama peraturannya. Hargailah cinta dan hargai jugalah “peraturan cinta” yang dianugerahkan bersamanya. Apa akan jadi sekiranya kita membuang katalog yang dikepilkan bersama peralatan elektrik yang kita beli? Menempah nahas! Bagaimana kita hendak menggunakan peralatan itu tanpa panduan? Bagaimana kita hendak membaikinya jika berlaku kerosakan?

Maka begitulah dengan peraturan cinta. Jangan dipinggirkan peraturan itu tatkala bercinta. Jika tidak, cinta akan tercemar dan bertukar, dari nikmat yang paling indah menjadi racun pemusnah. Inilah akibatnya melupakan peraturan Tuhan dalam bercinta.

Lihat betapa ramai korban cinta yang gugur… Lihat betapa banyaknya cita-cita yang terkubur. Harapan berkecai, semangat terkulai. Lelaki jadi Qaisy yang hidup bagaikan bangkai bernyawa akibat cinta tidak kesampaian. Wanita jadi bagaikan Laila yang “menggila” apabila hidup merana. Juga jangan jadi Romeo dan Juliet yang mati membunuh diri atas “kebodohan” cinta. Atau Uda dan Dara yang bertindak melulu membunuh dan terbunuh demi cinta. Berbaloi kah?
Peraturan cinta itu apa? Ia adalah syariat - hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus. Jangan dilanggar yang haram kerana cinta. Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Manakala yang makruh dan sunat dipulangkan kepada kebijaksanaan dan kewarakan untuk membuat atau meninggalkannya. Percayalah, kemanisan dengan menempuh jalan yang haram, akan berakhir dengan kepahitan. Percayalah, kepahitan yang dirasai kerana menjaga yang wajib pasti membuahkan kemanisan yang berkekalan.

Kesucian cinta dalam rumah tangga
Telah dikatakan sebelumnya bahawa cinta itu adalah “warisan” Nabi Adam buat orang yang baik-baik di belakang hari. Jadi, untuk menikmati dan menjaga kesucian cinta jadilah orang yang baik-baik dengan selalu membuat kebaikan. Bagi suami isteri yang sudah diikat dengan tali perkahwinan, jadikanlah cinta dalam rumah tangga untuk melaksanakan kebaikan kepada anak-anak, tetangga dan masyarakat.

Raihlah sebanyak-banyaknya pahala sabar, reda, qanaah dan mujahadah semasa berperanan sebagai suami atau isteri. Tuailah sebanyak-banyak pahala dalam menguruskan rumah tangga. Untuk mengekalkan cinta sampai syurga cintailah yang Maha kekal (Allah). Ikut syariat-Nya dalam apa jua keputusan. Katakan pada diri selalu bahawa suami atau isteri bukan milik kita.
Pernah Sayidina Abu Bakar memerintahkan anak lelakinya menceraikan isteri yang baru dikahwininya apabila dilihatnya anak lelakinya itu semakin cuai solat berjemaah kerana asyik “berulit” dengan isteri. Tindakan itu bukan untuk memutuskan cinta keduanya tetapi demi mengikat cinta itu dengan tali Allah. Sayidina Abu Bakar menyedari cinta manusia yang membelakangkan cinta Allah tidak akan sampai ke syurga!

Contohilah Ummu Sulaim yang mengingatkan suaminya bahawa anak adalah “pinjaman” Allah dan bila anak itu kembali ke rahmatullah (mati) ertinya pinjaman itu dikembalikan semula kepada pemiliknya (Allah). Betapa pada malam sebelumnya Ummu Sulaim tega dan rela melayan suaminya tanpa tergugat oleh anaknya yang baru meninggal dunia.
Mungkin contoh itu terlalu sukar untuk diteladani, namun tempuhilah jalan-jalan cinta mereka walaupun kiranya kita tidak sampai setinggi dan sesuci itu. Cukuplah kiranya memaniskan wajah, menahan kata-kata yang buruk dan tindakan-tindakan yang negatif apabila rumah tangga digegarkan ujian. Anak sakit, dihadapi dengan sabar. Belanja keperluan rumah kurang, kita tidak berang.

Ingat selalu, untuk bercinta sampai ke syurga di akhirat jadilah rumah tangga kita “syurga” di dunia - Baiti Jannati. Muhasabah selalu bersama isteri atau suami apakah rumah tangga sekarang sudah layak digelar “syurga”? Jika belum, berusahalah. Bermujahadahlah. Berkorbanlah. Pandang muka isteri (atau suami), pandang seorang demi seorang anak-anak kita… Ucapkan pada diri, “tidak akan aku biarkan seorang pun daripada kamu terpisah di akhirat nanti. Kita semua akan berkumpul sekali lagi… abadi di syurga nanti. Insya-Allah. Amin.”

Bercintalah sampai syurga, jika benar-benar cintakan pasangan kita. Untuk itu bersedialah menempuh kesusahan. Nabi Adam dan Hawa mula bercinta di syurga, diuji dengan satu larangan, tersalah… dan “tercampak” ke dunia. Cinta terpisah sekian lama. Adam di satu penjuru. Hawa di penjuru yang lain. Bertaubat terus-terusan. Raja’na illallah (kembali kepada Allah). Dan akhirnya apabila cinta yang “tercemar” itu kembali bersinar, bertemulah semula cinta mereka di Arafah!

Cinta sampai syurga… jangan melupakan cinta Allah. Jangan dilanggar syariat-Nya. Jika sudah tercemar, gilap kembali agar bersinar. Insya-Allah, akan ada “Arafah” cinta kita. Akan ada syurga kita!

Tip bercinta sampai syurga
Dahulukan hak Allah daripada hak pasangan kita.
Sentiasa bekerjasama untuk membuat kebaikan dalam rumah tangga dan masyarakat.
Sama-sama saling ingat mengingatkan agar menjauhi kemungkaran.
Rela berkorban kesenangan sesama pasangan demi bakti sesama manusia.
Berdoa dan bersedekah sebagai wasilah mengekalkan cinta.
wallahualam

March 25, 2009

Muslimah Harapan Rasulullah

Oleh : Ustazah Yoyoh Yusroh

Menjadi wanita memang menyenangkan, apalagi wanita "Muslimah", sebab muslimah bererti wanita yang telah dipilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya dan menjalankan kehidupan sesuai dengan sunnah Rasul-Nya. Rasulullah sebagai manusia pilihan Allah, sangat peduli terhadap muslimah.

Baginda sangat menyayangi muslimah sehingga beliau berpesan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Tidaklah seorang muslim yang mempunyai anak dua orang perempuan kemudian ia berbuat baik dalam berhubungan dengan keduanya akan bisa memasukannya ke dalam syurga."

Di masa baginda hidup kaum wanita merasakan angin segar dalam kehidupannya, setelah sebelumnya pada masa jahiliyah hidup teraniaya, tidak mendapat hak yang semestinya. Kehidupan wanita muslimah saat itu boleh dikata beruntung dibandingkan dengan wanita sekarang pada umumnya. Kerana muslimah relatif hidup dalam komuniti masyarakat yang memahami nilai Islam secara baik. Hidup mereka betul-betul tersanjung, kerana mereka merasakan hidup sesuai fitrahnya.

Berbeza dengan situasi sekarang, ketika banyak wanita menuntut persamaan hak dan darjat. Boleh dikatakan kehidupan wanita sekarang berada ditengah komuniti masyarakat yang tidak memahami nilai-nilai Islam. Ini menyebabkan keserabutan dalam hidup mereka. Sudah tentu wanita muslimah harus berupaya menghilangkan dugaan tersebut. Caranya adalah dengan mulai mengaktifkan dirinya dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam serta berupaya mengajak wanita lain untuk beramal Islami.

Ustaz Faisal Maulawi, seorang Mufti Lebanon, menyatakan, "Saatnya sekarang keadaan ummat sedang dalam keadaan bahaya, para wanita muslimah yang solehah terjun untuk terlibat aktif dalam membentengi dan memperbaiki ummat."

Untuk menjadi muslimah yang disayang oleh Rasulullah SAW hendaknya diperhatikan empat hal berikut:

1. Faqihah Lidiiniha
Seorang muslimah hendaklah faqih (faham) terhadap din (agamanya). Selayaknya ia dapat membaca Al-Qur'an dengan baik dalam erti tajwid dan makhraj hurufnya. Kemudian dapat membaca hadith dan selalu pula menjadi bacaan hariannya, kerana dengan itu ia memahami keinginan Rasulnya untuk kemudian berusaha menyesuaikan kehidupannya sesuai dengan cara hidup Rasulullah SAW. Ia juga harus berusaha memperkaya diri dan wawasannya melalui belajar kepada seorang guru yang jujur dalam menyampaikan ilmunya, dan berusaha banyak membaca buku agama lainnya seperti tentang aqidah, akhlaq, fiqh, sirah, fiqh da'wah, Tarikh Islam, sejarah dunia dan ilmu kontemporari lainnya. Contoh muslimah yang menguasai ilmu-ilmu ini adalah Aisyah RA.

2. Najihah fi Tarbiyyati Auladiha
Seorang muslimah yang telah berkeluarga hendaklah berupaya dalam mendidik anaknya, bahkan bagi yang belum berkeluarga pun seharusnya mempelajari bagaimana cara mendidik anak dalam Islam, kerana ilmu tersebut fardhu 'ain, sehingga mempelajarinya sama dengan mempelajari wudhu, sholat, puasa, dan sebagainya. Sehingga ia tahu betul cara mendidik anak dalam Islam yang nantinya anak-anak tersebut akan ia persembahkan untuk kejayaan Islam dan kaum muslimin. Insya Allah kelak ia akan menjadi Ibu yang berjaya seperti Hajar dan Khadijah ra.

3. Muayyidah fi Da'wati Zaujiha
Sebagai amal Islami, kepedulian kita bukan hanya kepada masalah luaran, mengupayakan pelaksanaan amal Islam terhadap orang lain, akan tetapi kepedulian terhadap aktiviti keluarga harus lebih diutamakan, misalnya memberikan motivasi amal Islami kepada anak, pembantu, juga suami. Ia menjadi muslimah yang sentiasa menjadi motivator kebaikan suaminya, seperti Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Tholhah dengan mahar syahadat. Namun ketika Abu Tholhah wafat Rasulullah mensolatkannya sampai sembilan kali takbir, menunjukkan sayangnya Rasulullah kepada beliau kerana tidak pernah berhenti dalam beramal dan berjihad bersama Rasul. Hal ini ia lakukan kerana selalu mendapat motivasi dari Ummu Sulaim, isterinya.

4. Naafi'ah Fi Tagyiiri Biiatiha
Ia selalu peduli terhadap lingkungannya, selalu membuka mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sekelilingnya, selalu mengupayakan lingkungannya menjadi lebih baik. Contohnya Ummu Syuraik yang selalu mengelilingi pasar bila saat solat tiba untuk mengingatkan penghuni pasar agar segera melaksanakan solat dengan kalimatnya yang terkenal 'Assolah, Assolah!!!

Demikian semoga dengan empat hal ini kita dapat menjadi Muslimah yang dicintai Rasulullah SAW. Amin.

March 16, 2009

Wanita & Kerjaya

Saya tertarik kepada sinopsis buku ini, bermanfaat untuk dimiliki dan sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat. Menjadi seorang wanita yang berkerjaya dan berjaya adalah impian saya, saya pernah bekerja sebagai penyelidik, pensyarah kolej/matrikulasi dan pengurus akademik, walaupun tidaklah sehebat penulis buku ini atau wanita lain yang mempunyai pengalaman bekerja belasan tahun atau puluhan tahun, tetapi rasa teruja dengan perkembangan kejayaan wanita muslimah berkerjaya hari ini. Bukanlah satu tugas yang mudah apabila semuanya perlu dilakukan serentak, sebagai isteri, ibu dan mempunyai kerjaya. Pengurusan masa, kecekalan hati, kekuatan semangat menjadikan wanita itu hebat (masyaAllah) dan serba boleh. Samada berkerjaya atau tidak, tidak hairanlah wanita itu mempunyai martabat yang tinggi dan mulia di sisi Islam.


Mengapa Saya Bekerja? Kali ini, koleksi cerita yang terdapat dalam buku ini lebih fokus kepada kaum hawa. Pelbagai dilema yang dihadapi dalam memilih bidang kerjaya. Samada bekerja di luar rumah ataupun sebagai suri rumah tangga sepenuh masa. Ada yang berpendapat, wanita tidak patut duduk di rumah sekiranya mereka ini berjaya memiliki segulung ijazah. Namun, ada juga yang berpendapat sebaliknya. Saudara pula bagaimana?

Sebenarnya, kerjaya adalah periuk nasi bagi sesetengah individu yang mementingkan kerjaya. Wang ringgit tidak hanya datang bergolek tanpa sebarang usaha. Mengapa kita perlu bekerja? Mampukah kita hidup di dunia yang segala-galanya memerlukan wang ini sekiranya tidak bekerja. Namun, kerja menjadi lebih murni apabila disertakan dengan niat semata-mata kerana Allah. Kita hanya berusaha, namun Allah jua yang menentukan banyak mana rezeki yang dapat diberikan kepada hambaNya.

Memilih menjadi suri rumah bukanlah disebabkan individu tidak mampu ataupun tidak layak memilih bidang kerjaya. Kemungkinan individu yang sudah berumah tangga memilih jalan ini memikirkan masa hadapan anak-anak dan suami. Mereka tidak yakin ataupun percaya pada pengasuh dan orang gaji. Tambahan pula bermacam-macam cerita yang sering kita dengar kebelakangan ini seperti orang gaji lari, kes dera anak majikan dan pelbagai lagi cerita negatif yang tidak enak didengar dan boleh mendatangkan fobia apabila mendengarnya. Itu baru kes anak-anak, risau pula sekiranya terjadi sesuatu kepada suami.

Sama ada wanita itu bekerja ataupun tidak, bukanlah isu utama dalam meneruskan kehidupan. Ini bergantung pada kemampuan dan kehendak masing-masing. Setiap individu mempunyai pendapatnya tersendiri. Namun, berbekalkan pengalaman suka duka yang diceritakan secara santai dalam buku ini memberi input kepada saudara bagi meletakkan saudara dalam bidang yang mana. Bekerja ataupun tidak bekerja?

Petikan dari buku "Mengapa Saya bekerja......"

Pra kata dari editor. Saya seorang wanita Islam yang berkerjaya. Suka dan duka yang saya telah lalui mewarnai hidup saya yang diharungi pelbagai kerjaya di bidang kejuruteraan. Mengapa saya memilih bidang kejuruteraan ini telah saya tulis dalam buku pertama saya, 'Bagaimana akhirnya saya bertudung' keluaran PTS.

Dalam masa lebih 20 tahun ini, saya telah bekerja sebagai pembantu teknik, pensyarah universiti, penyelidik, jurutera tapak/jurutera projek, usahawan, pengurus dan pengarah projek dan pengarah dalam syarikat jurutera perunding. Selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya ini, inilah cerita benar saya, namun banyak lagi kisah benar mengenai wanita Islam bekerjaya yang lain. Mereka merasa bahagia untuk berkongsi pengalaman, wawasan, kisah suka duka mereka yang di paparkan dalam buku ini.

Saya kumpulkan kisah benar mereka melalui hasil penulisan mereka, soal selidik dalam perbualan telefon, sessi temubual empat mata, 'chat on line' dan juga e-mail.

"Apakah yang sangat penting dalam kehidupan wanita yang berkerjaya?” saya kerapkali bertanya kepada mereka.
"Apakah agaknya yang patut saudari ketahui semasa memulakan hari hari pertama di alam pekerjaan?"
"Apakah agaknya nasihat yang saudari akan berikan kepada anak gadis saudari sebaik sahaja dia bergraduat dari universiti untuk memasuki alam pekerjaan?"
"Apakah agaknya strategi, cadangan, tip-tip wanita Islam bekerjaya dalam menghadapi cabaran dan ujian dalam mengimbangi kehidupan di tempat kerja dan di rumah".

Paparan dalam buku ini saya susun dari pelbagai maklumbalas yang saya kutip dari wanita yang bekerja dalam pelbagai bidang kehidupan. Mereka terdiri dari pengurus rumahtangga sepenuh masa, kerani, setiausaha, pembantu peribadi, jurutera, doktor, akauntan, penulis, pensyarah, guru, pakar psikiatri yang sangat seronok dan bersemangat untuk berkongsi apa yang mereka lalui dan harungi.

Apa yang mengejutkan saya ialah ‘tema’ yang serupa diberikan oleh mereka, samada tua ataupun muda, dari berbagai latarbelakang kerjaya atau di lokasi mana mereka berada.

Jawapan mereka ialah, "Kita semua mesti ada mentor".
"Kita semua mesti ada kumpulan sokongan, samada suami, anak anak, ibu bapa atau keluarga terdekat".
"Ingat, kita bukan superwomen".
"Kita tidak boleh dapat semua yang kita mahu".
"Kita tidak boleh buat semua kerja".
"Kita tidak boleh puaskan hati semua orang".
"Kita perlu memilih medan juang kita dan tentukan keutamaan kita. Ini juga bermaksud kita perlu tahu mana yang perlu didahulukan, mana yang perlu diambil atau di tinggalkan".

Malah ramai wanita wanita yang berjaya mengecap makna ‘kebahagian’ bukan dalam arti kata kebahagian yang diukur dari kejayaan dalam kerjaya, seperti kenaikan pangkat melintang atau menegak, gaji yang lumayan, kerjaya yang mantap atau rumah yang hebat.

Ramai dari wanita ini merasakan semakin mereka berjaya dalam kerjaya mereka, semakin terasa kesunyian dan kehilangan. Mereka merasakan ‘kebahagian’ mereka terletak dalam rumah mereka yang penuh dengan gelak ketawa, suara ceria dan manja anak anak, senda gurau dan belaian suami dalam suasana mesra dan kasih sayang. Mereka sentiasa merindui masa masa bersama ahli keluarga, berkongsi melakukan kerja kerja rumah bersama, melayan hobi masing masing atau pun mengasah bakat bakat lama yang terpendam dan tertinggal.

Dalam menghadapi ‘kekejaman’ dunia pekerjaan yang tidak pernah diduga, wanita wanita teraniaya kerana dibuang kerja, mangsa pilih kasih, politik dan gangguan seksual di tempat kerja, pandangan serong dan chauvinisme, wanita ini menjumpai 'ketenangan' dirumah kecil mereka. Rumah merekalah syurga mereka.

Dalam perbualan dan pergaulan ini saya temui kemarahan, sakit hati, geram, menyampah, bosan dan kepahitan dalam kerjaya. Namun saya juga temui harapan yang menggunung, cita-cita dan wawasan jangka panjang untuk membina generasi, dalam kekuatan diri yang tersembunyi. Saya temui rasa hormat diri atau izzah, kasih sayang, pengorbanan dan kejujuran.

Wanita ini berkongsi ‘tujuan’ matlamat yang sama, menolong wanita lain agar tidak mengulang kesalahan yang sama yang dilakukan wanita terdahulu. Dengan penulisan buku ini saya harapkan dapat memberi makna sesuatu utnuk wanita samada mereka memih untuk bekerja di dalam rumah atau diluar rumah.

Apa yang saya pelajari dari pengumpulan buku ini ialah memberi harapan kepada dunia perkerjaan wanita yang lebih sihat untuk diwarisi oleh anak anak perempuan saya apabila mereka dewasa kelak.Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh wanita yang berkerjaya. Berapa banyak lagi stereotypes yang perlu di perbetulkan, berapa banyak lagi diskriminasi terhadap wanita yang perlu di buang jauh jauh, berapa banyak lagi penderaan dan gangguan seksual yang perlu di hapuskan.

Apa pun yang kita hadapi dalam dunia pekerjaan, saya dapati kepuasan itu terdapat dalam perkataan ‘ikhlas’. Apabila kita ikhlaskan hati dan niat kita. Kita akan jumpai kepuasan. Apabila kita puas kita akan rasa bahagia. Kebahagiaan akan tergambar diwajah yang akan menjelmakan senyuman. Senyuman yang kita berikan akan membahagiakan insan lain. Insan ini pula akan merasa kebahagiaan dan dikongsi oleh insan lain. Kebahagian akan menjalar dari satu insan kepada satu insan yang lain. Kita hanya mendambakan dan menyebarkan kebahagian kepada semua insan seluruh alam. Rahmatan lil alamin.

February 03, 2009

Air Tangan Ibu...

Anak-anak dah ke sekolah, abah mereka pun dah pergi kerja, ye ye masa untuk ummi duk depan laptop, sebelum Raihanah bangun, masa untuk ummi. Esok cuti, makna hari yang sibuk, minggu depan dah mula first term exam, bila anak nak exam, biasanya maklah yang terlebih risau. Macam mak pula nak exam...kalau dulu walaupun seorang ibu tu tak boleh nak ajar anak namun tetap bagi perangsang bila anak nak exam. Cuma mungkin bezanya dulu seorang ibu tak pandai nak serlahkan perasaannya, kebimbangannya cuma jauh disudut hati pasti mahukan anak berjaya. Perasaan yang sama saya rasakan sekarang. Dunia dan zaman berubah tapi peranan ibu tetap sama, sanggup berkorban apa sahaja untuk anak. Kalau anak sakit, ibulah yang berjaga malam, makan anak ibulah yang fikir apa yang anak suka untuk dimasak, pakaian anak ibu jugalah tahu apa yang kurang dan patut di beli (tambahan banyak sale pula sekarang ni..), anak pun kalau nak bercerita dengan ibu, walau pun bekerja atau suri rumah ibu tetap jadi rujukan. Segala galanya ibu, sampai ibu pun kadang kala terpaksa letak tepi keperluannya, kemahuannya. Walaupun rasanya masih banyak yang perlu diperbaiki, namun di mata anak2 ibulah segalanya. Tiada cacat dan celanya walaupun adakalanya dimarahi ibu kerana nakal, namun itu tanda kasih ibu, kasihnya ibu yang membawa ke syurga, kasih ayah berkorban nyawa...teringat lirik lagu yang menyentuh hati. Di sini saya attachkan artikel yang menarik untuk dikongsi, artikel ni saya simpan dah lama, sebab bila membacanya rasa meningkat sikit graf motivasi..

Sentuhan Peribadi Rumah Tangga Moden

Selalu kita dengar orang menyebut-nyebut tentang ‘air tangan’ ibu. Masakan hasil sentuhan tangan ibu lebih sedap dan berkat.
Walaupun ibu masak gitu-gitu saja, letak bahan ala kadar, tapi anak-anak dan suami makan berselera. Sedap macam mana pun makanan di luar, sedap lagi masakan ibu di rumah.
Sebab apa? Sebab ibu masak dengan hati dan perasaan. Ibu niatkan di hati untuk sediakan hidangan yang terbaik dari sentuhan tangannya sendiri buat anak-anak dan suami. Perasaan kasih dan sayangnya tertumpah di situ – sambil dia memotong sayur, menyiang ikan, menggoreng, menumis dan sebagainya.
Ini menunjukkan kerja-kerja mengurus rumah tangga melibatkan jalinan emosi dan tautan hati. Ia bukan sekadar kerja fizikal. Oleh itu, baik sebuah keluarga itu ada pembantu rumah atau tanpa pembantu, sentuhan peribadi seorang isteri atau ibu sangat diperlukan. Kalau pun ada pembantu, ada kerja-kerja tertentu yang lebih sesuai isteri sendiri buat.

Bagi seorang wanita yang sudah berkeluarga, sememangnya dia berkewajipan menyibukkan diri mengurus rumah tangga dan anak-anaknya dengan tangannya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.: "… dan seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah suami dan anak-anaknya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban tentang mereka…"
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)


Dalam suasana ramai wanita keluar bekerja pada hari ini, trend menghantar anak-anak ke nurseri atau mengambil pembantu rumah sudah jadi lumrah. Namun begitu, kemudahan nurseri atau khidmat pembantu rumah tidak seharusnya menyebabkan hilangnya sentuhan peribadi seorang isteri atau ibu di rumah.
Walau sibuk membantu suami mencari nafkah keluarga atau memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat, sentuhan tangan isteri tetap perlu dalam kerja-kerja di rumah. Ini terutamanya dalam kerja memasak, menghidang makanan, melayan suami, mengurus anak-anak dan sebagainya iaitu kerja-kerja yang melibatkan emosi. Di situ saluran bagi isteri atau ibu menumpahkan perasaan keibuan atau kewanitaannya.

Banyak kerja pengurusan rumah tangga sebenarnya menjadi saluran menjalin hubungan emosi dan tautan hati dengan suami dan anak-anak. Ia bukan sekadar saluran khidmat isteri kepada suami. Ini bermakna ada kerja yang boleh diserah kepada pembantu rumah atau pengasuh anak-anak tetapi ada yang tidak.

Katalah seorang wanita itu terlalu sibuk untuk memasak sendiri. Ada pembantu boleh tolong masakkan. Tetapi paling kurang, waktu menghidang dan mencedok makanan ke pinggan suami, isteri sendiri turun tangan. Begitu juga dalam menghidang minuman untuk suami. Kerja-kerja mudah dan layanan kepada suami yang mungkin dipandang remeh ini sebenarnya menyumbang kepada suasana kasih sayang dan membuatkan suami rasa tenteram di rumah.

Firman Allah:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang…" (Ar-Rum: 21)


Kesan sentuhan tangan isteri dan ibu ini dapat dilihat pada perkara-perkara berikut:

1. Penyediaan makan minum sekeluarga
Oleh kerana isteri dan ibu tadi memasak "dengan hati dan perasaan", suami dan anak-anak dapat mencicip rasa kasih sayang yang ditumpahkan itu melalui hidangan yang dimakan. Di samping ada keberkatan pada makanan itu, ada kesan psikologi di sebaliknya. Ia membuatkan suami dan anak-anak semakin jatuh kasih pada isteri dan ibu mereka.
Lebih-lebih lagi jika sewaktu menyediakan makanan, sambil basuh beras atau menanak nasi, lidah isteri sentiasa basah dengan zikir dan selawat. Disertakan pula dengan niat untuk dapatkan keredhaan Allah, hidang makanan yang halal untuk keluarga, membahagiakan keluarga atau lain-lain niat yang murni. Pastilah bertambah keberkatannya.

Kesan ‘air tangan’ ibu akan lebih terasa bagi anak kecil yang disuapkan makanannya oleh ibu. Sesetengah ibu mengunyahkan makanan sebelum disuapkan ke mulut anak agar kasih sayangnya dapat berbaur sekali dengan air liurnya untuk dicicip oleh anak. Saya tidak pasti apakah ada bukti saintifik mengenai hubungkait air liur dengan jalinan kasih sayang ini tapi bukti pengalaman memang ada. Haiwan pun, misalnya kucing, jika diberi makan bekas kunyahan seseorang ia akan jatuh kasih pada orang itu.

2. Hidang minuman untuk suami
Waktu suami balik kerja, sedang duduk membaca di rumah atau baru selesai membersihkan halaman, siapa yang selalunya hidangkan air untuk suami? Perkara ini mungkin kecil tapi memberi kesan yang besar pada hubungan suami isteri. Tangan yang sering membawa hidangan minuman itu sebenarnya tempat tumpahnya kasih sayang suami. Jadi biarlah tangan itu milik isteri, bukan milik pembantu rumah.

3. Raikan suami dan anak-anak di muka pintu
Jika ini dilakukan, tidak timbul soal mengharapkan pembantu rumah untuk menutup pintu rumah atau pintu pagar selepas suami keluar bekerja atau anak-anak keluar ke sekolah. Isteri sendiri patut meraikan suami yang hendak keluar bekerja (jika isteri tidak bekerja). Anak-anak yang hendak melangkah keluar ke sekolah juga perlu diraikan di muka pintu oleh ibu mereka. Begitu juga sewaktu suami dan anak-anak balik. Cara ini akan memberi kesan psikologi yang amat mendalam di hati suami dan anak-anak.
Waktu Rasulullah s.a.w. balik dari Gua Hira’selepas menerima wahyu pertama, Sayidatina Khadijah r.ha menyambutnya di muka pintu. Dengan tangannya sendiri beliau menyelimutkan tubuh baginda dan menenangkan baginda. Dan pada paginya beliau keluar menemui sepupunya Warakah bin Naufal untuk menceritakan keadaan Rasulullah. Beliau tidak menghantar ‘posmen’ untuk menjemput Warakah datang walaupun beliau ada pembantu yang boleh disuruh untuk berbuat demikian. Sentuhan peribadi Khadijah ini sering mengusik kenangan Nabi s.a.w. lama selepas ketiadaannya.

4. Mandikan anak
Sentuhan lembut tangan ibu pada tubuh anak waktu dimandikan juga dapat mentautkan emosi ibu dan anak. Ada petua orang tua-tua yang menggalakkan ibu atau bapa membiarkan air mandiannya jatuh ke tubuh anak ketika mereka sama-sama mandi. Supaya anak jadi rapat dan mudah dengar kata.

5. Kejut anak bangun tidur
Mengejutkan anak untuk bangun Subuh adalah sebahagian dari agenda dalam pengurusan rumah tangga terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat awal remaja. Waktu itu seorang ibu dapat memindahkan rasa sayangnya pada anak dengan memegang lembut sambil memicit-micit hujung kaki anak waktu mengejutkan mereka. Sentuhan tangan ibu yang dirasai oleh anak di permulaan hari pasti ada keberkatannya dan berbekas di hati anak. Terutama apabila dibisikkan sekali doa, zikir atau selawat di telinganya.

6. Penyediaan tempat tidur
Tempat tidur suami isteri sebaik-baiknya disediakan dan dikemas oleh isteri. Begitu juga tugas-tugas lain di bilik tidur suami isteri. Seboleh mungkin jangan diserahkan kepada pembantu rumah. Ia memerlukan sentuhan peribadi isteri kerana bilik tidur lazimnya menyimpan rahsia suami isteri. Di situ juga seharusnya tempat paling tenang, selesa dan ber‘privacy’ bagi suami isteri di dalam rumah selain dari ruang ibadah.

7. Menyelia kerja anak-anak
Anak-anak perlu dilibatkan dalam kerja pengurusan rumah tangga. Paling tidak kerja yang melibatkan keperluan mereka sendiri dan memenuhi keperluan ibu bapa sebagai khidmat bakti mereka. Ini memerlukan sentuhan peribadi seorang ibu dalam menyelia kerja anak-anak. Kadang-kadang ibu hanya perlu menunjuk ajar dan memantau dari dekat sambil anak-anak buat kerja seperti memasak, mencuci pakaian dan menyapu sampah. Dalam masa menunjuk ajar itu terjalin hubungan intim ibu-anak sambil anak dilatih berdikari dan berbakti. Sabda Nabi s.a.w.: "Semoga Allah memberikan kasih sayang kepada orang tua yang mendidik anaknya untuk berbakti kepada dirinya." (Riwayat Abu Asy-Syeikh)

Sering dikatakan bahawa "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia" dan "Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita di belakangnya". Oleh itu jangan pandang kecil pada seorang suri rumah yang kerjanya setiap hari hanya mengurus rumah tangga.
Namanya mungkin tidak pernah disebut-sebut orang. Tetapi kejayaannya membereskan urusan-urusan rumah tangga melalui sentuhan peribadinya harus diberi penilaian yang tinggi. Kerana bermula dari suasana rumah tangga yang beres itu, dia mampu membentuk jiwa anak-anak yang cemerlang dan menjadi pendorong utama di belakang kejayaan suami di luar rumah.
( Penulis; Zakaria Sungib)

January 31, 2009

Apa dah jadi...

Apa dah jadi dengan dunia hari ini, pelbagai ragam peristiwa dapat di lihat di perhati. Hari ini kanak-kanak di Malaysia yang masih di bawah umur malah masih di sekolah rendah sudah pandai melayari laman2 tidak bermoral, bermain permainan video tidak berfaedah malah memudharatkan. Apa dah jadi...

Hari ini kanak2 di Palestine begitu hiba, simpati bagi yang memandang dengan mata hati tatkala negara jiran hanya memerhati dengan mata terkebil-kebil malah masih punya waktu bersukaria meraikan kemenangan pasukan bola sepak yang diwakili. Apa dah jadi..


Situasi yang berbeza walau membawa mesej yang sama iaitu kerisauan...satu kerisauan dengan keruntuhan moral,satu lagi kerisauan bila-bila masa saja maut datang menjemput namun perginya syahid. Kerisauan hilangnya peradaban manusia itu lebih dibimbangi, alpakah kita...siapakah yang bersalah? Apa dah jadi...

Tatkala warga Palestine merayu menagih simpati dan bantuan, tatakala itu anak-anak remaja kita begitu asyik dan leka dengan dunianya. Remaja khayal dengan dunia hiburan keterlaluan, dunia rempit, pergaulan bebas dan pelbagai lagi.......

Mana perginya kepedulian, mana kaburnya keprihatinan, mana hilangnya sensitiviti...ummah semakin terancam, laksana buih2 dilautan, kelihatan banyak namun hilang ditelan ombak. Walau ramai bilangan namun hadirnya tiada peranan. Apa dah jadi...

January 28, 2009

Titipan buat ayah

Pejam celik pejam celik Raihanah sekarang sudah berusia 3 bulan 2 minggu. Terasa cepat masa berlalu. Semakin membesar dan mula mengenali ummi, abah, kakak dan abang. Naluri kurniaan Illahi, walaupun masih bayi tetapi dapat merasakan kasih sayang dikalangan ahli keluarga. Rutinnya akan bangun pagi sama-sama menghantar kakak dan abang di pintu untuk ke sekolah dan tengahari selepas mandi dan tidur semula akan bangun ketika kakak dan abang bangun (mungkin juga sebab mula riuh rendah dengan suara kakak & abang). Kakak dan abang pula apabila sampai sahaja di rumah terus cari dan terkam adik, kadang2 tak sempat nak ke bilik air basuh tangan dan kaki. Itulah ikatan naluri perasaan, walaupun masih kanak2 namun fitrahnya terserlah walau tanpa kata-kata.

Raihanah 3 bulan

Pengalaman pertama, Nabil dihantar ke rumah penjaga, hantar pagi ambil petang sebab dua2 bekerja. Rasa tak sampai hati nak tinggalkan anak pada orang lain tapi tiada pilihan ketika itu. Pernah satu ketika dia merajuk kerana ambil terlalu lewat walaupun usianya baru menjangkau 1 tahun. Pengalaman kedua Nabihah dijaga oleh pembantu rumah indonesia, ketika itu abahnya telah mula bekerja di Mekah sejak usianya sebulan. Manakala umienya pula masih mengaji. Jadi setiap kali pulang bercuti ke Malaysia, bila ternampak saja abahnya terus menangis. Tak kenal...sehinggallah kami membuat keputusan untuk sama2 menetap di Saudi. Raihanah bayi periang, tersenyum riang bila terdengar suara abah, kakak dan abang. Perihal peranan ayah dalam keluarga, sukalah nak berkongsi artikel dibawah yang ditulis oleh Endok Sempo. Sangat berguna dan boleh dijadikan panduan.

Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya, Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.

Anak yang tidak berbapa.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.

Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada beberapa rahsia menjadi ayah yang berkesan:-

Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!

Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Sekian.

Penulis : Endok Sempo Mohd Tahir

January 24, 2009

wanita, isteri dan ibu

Samada memilih untuk berkerjaya atau suri rumahtangga sepenuh masa bergantung kepada keperluan sesebuah institusi rumahtangga. Ianya bersifat subjektif kerana hanya ahli keluarga yang mengetahui dan memahami kehendak keluarga tersebut. Walau apapun pilihannya, peranan wanita sebagai isteri dan ibu tidak boleh dinafikan. Ibu yang perlu menjadi master mind di dalam sesebuah rumah tangga, ibu jua yang perlu mereka bentuk, menyusun atur, menata ruang dan sebagainya. Pendek kata, ibu memiliki bidang kuasa yang besar selepas tanggungjawab seorang ayah. Walaupun jatuh pada tempat yang kedua selepas ketua keluarga, namun peranan yang sangat besar dalam mencorakkan sesebuah rumah tangga.

Jika boleh diumpakan sebuah rumah yang perlukan penataan cahaya yang cukup, susun atur yang sesuai, pemilihan warna yang seimbang, perabot yang selesa, cukup untuk menimbulkan keharmonian di dalam sebuah rumah, begitulah jua jika diumpakan peranan ibu dan isteri. Perlunya perancangan dan perencanaan yang tersusun ataupun well organize, mungkin ada kalanya tersasar dari rencana asal, tetapi sebagai manusia biasa perlu kita belajar dari kesilapan. Kesilapan yan akan mengajar dan mematangkan. Ibu yang bagaimanakah patut kita berperanan, ibu moden yang versetile, ibu yang open minded, ibu yang tradisional dan etc. Jawapannya bersifat subjektif, kerana manusia itu diciptakan unik dan eksklusif. Cuma panduan dan acuan mana yang kita hendak gunakan. Pastinya sebagai muslim kita perlu mengarahkan matlamat berdasarkan Al-quran dan sunnah. Tiada ibu yang inginkan kepincangan dalam hidup anaknya, cuma mungkin pendekatan yang digunakan berbeza. Ada yang memilih untuk menggunakan ketegasan dan disiplin dalam banyak perkara contohnya dalam hal berkaitan pendidikan, keagamaan malah dalam mencari kerjasama menguruskan rumah. Ada juga yang memilih approach anak sebagai kawan. Banyak yang perlu dipertimbangkan dalam memikirkan pendekatan mana yang sesuai antaranya faktor umur, gender, persekitaran dan sebagainya. Banyak pakar motivasi mengatakan perlunya pendekatan bersifat kasih sayang dan berlemah lembut lebih daripada pendekatan secara keras dan hukuman. Hmm..mari kita renungkan.

Apapun, sebagai manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan, tiada istilah sempurna namun apa yang boleh dilakukan ialah peningkatan peranan sebagai ibu atau isteri ke arah yang lebih baik, bersedia melakukan perubahan, sentiasa bermotivasi untuk merencanakan sesuatu untuk ahli keluarga. Rasa beratnya tanggungjawab sebagai isteri dan ibu...namun untuk menggapai syurga Allah itu jua bukanlah jalan yang mudah, perlu padanya kekuatan walaupun menempuh onak dan duri, kerana sesungguhnya manusia itu tidak akan dikatakan beriman selagimana dia belum diuji (al-Ankabut:3).

January 21, 2009

Musafir Kelana

Entah kenapa tajuk ini sangat ku minati, ianya sangat sinonim jika dikaitkan dalam kehidupan. Hidup ini adalah musafir perjalanan, orang yang bermusafir perlukan bekalan secukupnya agar tidak sesat dalam perjalanannya. Dunia adalah jambatan akhirat, bersifat sementara dan kadang kala mengasyikkan. Lantaran itu rasa begitu teruja untuk berkarya melalui blog untuk berkongsi, memberi idea yang kian hari kian terpendam. Apatah lagi mendapat persetujuan suami, sekurang-kurangnya melalui wadah ini dapat juga menyatakan apa yang dirasa dan difikir sehari-hari. Sementelah tugas yang disandang ketika ini tidak mengizinkan untuk berbual-bual, bermesyuarat dan berprogram seperti dulu. Setelah hampir 4 tahun jawatan suri rumah sepenuh masa disandang beberapa pengalaman dan idea boleh dilontarkan dalam laman ini. Sekurang-kurangnya bertindak sebagai jurnal yang merekod agenda harian dan peristiwa yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi yang boleh menggerakkan minda untuk mencetuskan idea-idea baru untuk dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya terisi jua masa senggang ketika anak-anak ke sekolah, sebagai manusia yang tidak pernah lari dari kesilapan sentiasa perlu kepada pengisian terutamanya pengisian kerohanian, spiritual dan emosi.

Sekilas lalu, setelah hampir 4 tahun menetap di Saudi ini, jika diimbas kembali pelbagai kenangan yang telah ditempuh. Bermula di Madinah, kemudian berpindah ke Mekah dan akhirnya di Abha sehingga sekarang. Bumi para anbiya yang menyaksikan perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Pastinya teruja apabila melihat kesan-kesan sejarah umat terdahulu berjuang bermati-matian menggadai nyawa dan harta demi mencari redha Pencipta. Pastinya jua hati tersentuh pabila menziarahi makam baginda Rasulullah tercinta, tatkala dahi mencecah lantai raudhah yang mulia, yang pernah menyaksikan sebuah kehidupan agung bukti kebenaran Al-Quran. Sungguh besar pengorbanan dan perjuangan baginda dan sahabat2, sementelah kita hanya menjadi pengunjung yang menyaksikan peninggalan sejarah. Sedih rasanya dibandingkan peranan umat terdahulu dan peranan hari ini. Kekejaman yang berlaku di Palestine bukti rapuhnya kekuatan umat islam hari ini.

Perjalanan mencari redha Pencipta agar kehidupan selepas dunia ini tenang dan damai. Alhamdulillah kami sekeluarga diizinkan untuk menunaikan haji pada tahun 2006, menyertai ribuan umat manusia yang sama-sama harapkan keampunan dan maghfirahNya. Agar hidup seterusnya diberkati, diberi kekuatan untuk terus beriltizam dan beristiqamah di atas jalanNya.

p/s: Ini adalah percubaan write up, tugasan yang dah lama ditinggalkan, harap sedikit demi sedikit dapat mengembalikan semula semangat untuk menulis,berkarya dengan ilmu yang tidak seberapa.