Pages

Showing posts with label wacana minda. Show all posts
Showing posts with label wacana minda. Show all posts

March 11, 2009

Pendidikan & cabaran masa kini

Menjadi seorang ibu adalah satu tugas yang sangat mencabar. Apatah lagi ibu yang berada di luar Malaysia, seperti di Saudi ini. Bukanlah maksudnya ibu2 di Malaysia tiada cabarannya, tetapi berbeza, kerana berada di luar, tidak berada di dalam lingkungan yang sama, perbezaan budaya, bahasa, tatacara dan sebagainya. Jika diamati dari segi sistem persekolahan yang jauh berbeza dengan sistem persekolahan di Malaysia, tidak perlu bandingkan dengan sekolah persendirian/swasta, cukup hanya dengan sekolah kebangsaan biasa, banyak yang boleh disimpulkan. Mahu tak mahu sebagai ibu yang pastinya mahukan keseimbangan dalam diri anak2 perlu mengadakan sistem sokongan yang kuat supaya dapat mengimbangi kualiti tersebut. Mudah bicara tidak boleh terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada pihak sekolah untuk membentuk keseimbangan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani anak2. Jika dari segi intelek mungkin benar tapi tidak menyeluruh kepada keupayaan rohani dan emosi. Pendidikan hanya sebagai gedung ilmu yang disampaikan semasa sesi persekolahan, setakat itu, tidak ada unjuran yang boleh dilihat kesannya kepada hubungan praktikal seharian, contohnya nilai2 murni yang boleh diterapkan pada diri seorang pelajar.

Jika difikir impaknya bagi jangka masa panjang, kemungkinan akan wujudnya ketidakseimbangan dalam diri anak2 jika tidak diacu mengikut acuan yang sepatutnya. Ya kita boleh belajar dari kesilapan, tetapi ini bukannya eksperimen yang boleh kita lakukan beberapa kali sekiranya gagal mendapatkan keputusan yang dikehendaki. Lebih dibimbangi sekiranya wujud kecelaruan dalam jiwa anak2 terutamanya bagi yang semakin meningkat remaja.

Pendidikan adalah proses yang berterusan, tidak hanya tertumpu kepada sesi persekolahan. Pengalaman saya semasa menjalani sesi praktikal ketika mengambil kursus KPLI di sebuah sekolah berasrama penuh, sekolah yang dikenali sebagai sekolah elit, pelajar2nya memang berkeupayaan dari segi akademik, guru2 yang berdedikasi kerana sekiranya peratus keputusan jatuh dari tahun sebelumnya maka guru yang akan dipersalahkan kerana murid sememangnya boleh berjaya kerana pandai2 belaka. Namun dalam kebaikan itu tersimpul juga kekurangan, pernah seorang pelajar yang ditangkap kerana sering mengambil barang kawan2nya tanpa kebenaran, dalam erti kata mencuri, tapi bukanlah maknanya pelajar ini keluarganya miskin tetapi itu adalah hobinya menurut guru2 disitu, maka ibu bapa dipanggil oleh pengetua untuk memaklumkan perihal anaknya, namun respon yang diterima sebaliknya, ibubapa menyebelahi anak, tidak percaya perlakuan anak seperti tuduhan yang nyatakan oleh pengetua.

Inilah contoh kekeliruan jiwa yang berlaku, apatah lagi sekiranya ibu bapa sebagai sekolah pertama anak2 merelakannya. Jika difikir seimbas lalu, seperti tidak masuk akal, apatah lagi ibu bapa pelajar yang terdiri dari orang cerdik pandai atau educated, tetapi itulah yang berlaku, malah banyak juga disiarkan dalam akhbar, kes yang melibatkan ibubapa sanggup mengupah peguam untuk membela anak. Ya lah siapa tak sayang anak, kalau anak mengadu kena marah di sekolah pun dah rasa nak marah, kalau boleh nak jumpa dengan guru yang marah itu. Itulah cabarannya, kes itu berlaku apabila ibubapa menyerahkan bulat2 proses pendidikan kepada pihak sekolah. Perspektif yang berbeza, dari sudut pandangan seorang guru dan ibu bapa.

Masing2 perlu memainkan peranan, apatah apabila berada diluar lingkungan ini, peranan secara aktif supaya anak2 bukan sahaja celik membaca, menulis dan mengira malah lebih2 lagi dari aspek kerohanian. Berat tanggungjawab itu, namun itulah hakikatnya, fenomena, senario, situasi apapun istilahnya yang boleh diguna pakai bagi menerangkan keadaan semasa yang berlaku pada zaman ini, zaman yang lebih terkehadapan dari pelbagai aspek. Semoga kekuatan itu menjadi milik ibubapa yang sentiasa inginkan kebaikan bagi anak2nya, seperti mana firmanNya Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya, Ar Ra’ad:11.

February 18, 2009

Oleh Ali Bukhari Amir Mon Feb 09, 09 11:58:44 pm MYT

Perlahan-lahan, Tun Nila Utama masuk mengadap dan bersembah di hadapan Baginda Sultan selesai perguruan ilmu persilatannya. Ketika diajukan pertanyaan sama ada beliau mahu beristeri atau tidak, maka Tun Nila pun berkata,
"Anak kepada sekalian dato' menteri itu bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata.."

"Tun Nila! Apa bezanya antara perempuan dengan betina?" Sultan Alam Syah Bana, Raja bagi kerajaan Pura Cendana mula murka. Seumur hidupnya, barangkali baru kali ini baginda mendengarkan ungkapan biadap sebegitu yang jelas menghina kaum wanita di negerinya.

"Perempuan.. memelihara maruah," kata Tun Nila.
"Tetapi betina.. menjualnya.."
Oleh kerana kejujuran mempertahan pendapatnya itu, beliau dititah keluar negeri untuk akhirnya kembali semula mempersembah seorang wanita bermaruah di hadapan baginda sultan dan pembesar negeri tersebut. Akhir daripada pencarian, Tun Nila memang berjaya membawa pulang seorang perempuan.

Kalau tidak ditafsirkan betul-betul, nanti kaum wanita marah pula. Tentu mereka tertanya-tanya, apakah bezanya antara lelaki dan jantan. Maka jawapannya tetaplah sama, iaitu lelaki memelihara maruah serta jantan itu telah menjualnya.


Jantan dan betina adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa manusia itu bukan lagi makhluk bergelar khalifah yang seluruh kehidupannya dibungkus hias dan didandan oleh sifat-sifat kemanusiaan.

Arakian.. rupa-rupanya, sekalian bangsawan dan pembesar di negeri itu ada masalah besar dengan kaum wanita. Menteri Nikah Kahwin pun sanggup menceroboh rumah Puspawangi saat Tun Nila Utama mencari Musang Berjanggut.

"Apa hukumnya, seorang lelaki menceroboh masuk ke rumah wanita ketika ketiadaan suaminya?" tanya Puspawangi kepada Menteri Nikah Kahwin.
"Oh, itu salah besar.."
"Jadi.. kanda pun salah jugalah,"
balas Puspawangi.
"Eh, salah jugalah.. tapi tak apa-apa. Sebabnya, undang-undang dalam negeri ini kanda yang pegang. Itu semua boleh padam.."

Ertinya, kelelakian kaum Adam pun boleh runtuh ke taraf jantan apabila mereka telah menjual maruahnya. Sama sahaja keadaannya. Tanpa maruah, kewanitaan dan kelelakian telah tercabut daripada jiwa mereka.

Cuma.. dalam fahaman Melayu, ungkapan 'anak jantan' itu masih lagi bermaksud mulia kerana diungkap perkataan itu untuk menunjukkan darjah keperwiraan mereka untuk membela hak dan keadilan pusaka, tanahair dan maruah. Maka, dalam konteks penggunaan lafaz ini, 'anak jantan' memang memiliki konotasi yang sangat baik.

Sementara itu, kepenggunaan lafaz 'anak jantan' pada zaman purbakala juga boleh merujuk kepada keadaan tidak bermaruah jikalau 'anak jantan' itu takut merampas dan mengganggu isteri orang, membuat onar serata kampung termasuk mengintai anak dara mandi di tepi sungai. Ini semua gejala-gejala tidak bermaruah, tetapi dianggap tidak jantan jika mereka tak berani melakukannya.

Pada zaman sekarang, seseorang lelaki mungkin dianggap tidak jantan jika tidak pandai merempit, tidak menghisap rokok, berjudi, membuat tatu, memakai anting-anting, menindik hidung dan main perempuan. Walhal, ini semua adalah gejala yang bakal meruntuhkan anak bangsa. Dan, kebanyakan 'anak jantan' yang berani melakukan hal ini secara terbuka adalah anak kepada orang kenamaan, VVIP yang tidak boleh disentuh oleh polis kerana bapa mereka adalah orang terhormat.

Demikianlah.. seorang menteri dianggap tidak bermaruah apabila sanggup menggunakan wangnya untuk membeli kaum wanita, bercakap tidak serupa bikin, tidak jujur dengan undang-undang negara yang digubal melalui lidah, jiwa dan fikirannya. Cakap tidak serupa bikin, memadam kesalahan dengan memperalat perundangan adalah sikap tidak bermaruah menteri.


Makna maruah

Dalam bahasa Arab, mar'atun ertinya perempuan. Daripada segi ini, hubungan kaum perempuan dengan maruah itu jauh lebih akrab berbanding kaum lelaki. Barangkali, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa maruah sesuatu bangsa atau maruah agama itu terletak kepada maruah kaum wanita bagi sesuatu bangsa dan agama itu.

Misalnya, jika wanita Melayu itu rosak, maka rosaklah maruah Melayu. Atau, jika wanita muslimah itu rosak, maka maruah seluruh umat Islam itu pun tercalarlah sudah. Namun, haruslah diingat juga bahawa..jika wanita bagi sesuatu bangsa itu sudah rosak, maka kaum lelaki bagi sesuatu bangsa itu mestilah segera bertanggungjawab dan memainkan peranannya!
Ini kerana.. ada banyak kejadian yang menunjukkan bahawa kaum lelaki itu jugalah yang telah menyebabkan kaum wanitanya telah tergadai maruah. Kalau wanita itu menjadi penari di sebuah kelab, maka pemilik kelab itu kemungkinannya seorang lelaki juga! Mereka inilah yang telah memperalatkan kaum wanita itu tadi dengan segala janji manis.

Maka, apakah usahanya untuk kita kembali menyedarkan umat ini berhubung persoalan maruah?
Tidak dapat tidak.. memang kita perlu berusaha keras mengkaji, menelaah dan jujur bermuhasabah mengenai kelemahan diri lalu berusaha memperbaikinya daripada semasa ke semasa.

Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan maruah sebagai kehormatan (diri), dan harga diri. Dalam pengertian yang kedua, kamus itu juga menunjukkan pertalian hubungan maruah dengan sifat laki-laki, keberanian dan kegagahan.

Kita boleh juga menyatakan bahawa orang yang bermaruah itu adalah mereka yang berani mempertahan pendirian, tak mudah goyah prinsip perjuangan dan tidak boleh dijualbeli pendiriannya melalui tawaran wang, pangkat, kekuasaan dan wanita yang cantik.

Wanita itu bagaikan cermin

Sementara itu, mir'aatun dalam bahasa Arab bermaksud cermin. Jadi, isteri bagaikan cermin di mana gambaran wajah suami terpantul dalam cermin tersebut. Atau, kita boleh juga menyebutkan bahawa kaum wanita itu bagaikan cermin yang akan memantulkan gambaran sebenar kaum lelaki dalam dirinya.

Jika cermin (wanita) itu gelap, berhabuk dan berdebu, maka kaum lelaki itulah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membasuh dan menggilapnya supaya imej gambaran dan bayangan dirinya akan kembali terang dan cerah di dalam cermin itu. Kaum wanita itu cerminan bagi diri kaum lelaki.

Kalau cermin itu retak dan pecah, maka gambaran lelaki itu sendiri akan turut menjadi cacat. Cermin yang akan cacat dan telah dirosakkan inilah yang akan menebarkan segala benih sengketa di dunia akibat kaum lelaki sudah tidak lagi ambil kisah, tidak peduli dan bersikap tidak bertanggungjawab memelihara, memuliharanya daripada semasa ke semasa.

Sultan Alam Syah Bana akhirnya turut berasa malu berikutan kejadian dirinya tertangkap sebagai penceroboh dalam rumah anaknya sendiri tatkala cuba berbuat serong terhadap menantu perempuannya.

Pemerintahan yang bermaruah

"Yang sebenarnya, ayahanda ingin mengetahui apa perbezaan antara perempuan dengan betina. Sekarang barulah ayahanda tahu," kata baginda ketika mula menginsafi kesilapannya. Di sini dapat dilihat betapa sulitnya untuk kita berusaha memulihkan sebuah pemerintahan yang bermaruah.

Kita mungkin boleh memimpin rakyat bawahan dengan mengendong seribu satu macam inti pengajaran guna mengasuh pemikiran darihal pengertian maruah. Tapi, bagaimana cara mengasuh penguasa agar mereka dapat mengusung pemerintahan bermaruah? Hal ini memerlukan kesungguhan yang mendalam, keberanian, kejujuran bertindak dan keikhlasan mempertahan pendirian.

Syahadan wal arakian..

February 03, 2009

PPSMI...

Apabila terbaca artikel mengenai PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ), teringat perbualan melalui telefon bersama seorang teman yang sama-sama menuntut ketika mengambil KPLI.

Saya : Apa khabar? Macam mana kerja, mengajar subjek apa?

Kawan : Khabar baik…pening-pening…

Saya :
Kenapa?

Kawan : Yelah, cubalah bayangkan sekarang ni kena aku kena mengajar Sains
Tingkatan 5 dalam Bahasa Inggeris pulak tu, last sekali aku belajar Sains masa
Tingkatan 5 dulu tu pun dalam Bahasa Malaysia. Mana tak peningnya…(kawan
saya
ni ambil kursus civil eng. masa degree)

Saya :
Yelah, dah jadi cikgu ni kenalah serba boleh dengan apa-apa subjek pun.

Kawan :
Budak-budak ni bukannya faham sangat walaupun dah mula dari Tingkatan 3 lagi.
Mana nak fikir pasal subjek, nak fikir pasal budak-budak lagi.

Itulah antara dilema guru hari ini. Terutama yang melibatkan mata pelajaran Sains dan Matematik. Sejak dilaksanakan enam tahun lalu iaitu pada tahun 2003, banyak pihak telah menyatakan bantahan termasuk cendiakawan, pencinta bahasa ,NGO dan yang lainnya. Saya pun tak bersetuju dengan perlaksaan PPSMI ni, selain membebankan guru dan murid, ianya juga tidak membudayakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Banyak kajian mendapati para saintis terkemuka lahir dari pengajian sains dan matematik dalam bahasa ibunda mereka sendiri seperti di China, Rusia dan Perancis. Perlaksanaan yang seolah-olah melepaskan batuk ditangga, pelajar-pelajar terutamanya dari kawasan pendalaman menjadi mangsa. Mereka mungkin cemerlang bagi subjek Bahasa Inggeris tapi tidak untuk Sains dan Matematik.

Namun rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang tinggi dan menghormati orang lain, contoh terdekat yang boleh dilihat, bila tiba saja di KLIA, maka kedengaranlah pengumuman dalam pelbagai bahasa bagi kemudahan orang ramai. Kalau dulu cuma Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, tahun lepas sesampai saja di KLIA dah jadi empat bahasa, termasuk Mandarin dan Bahasa Arab. Ni masih di Saudi ke dah sampai Malaysia, mesra pengguna ...jika airport di Saudi tak pernah pula dengar announcement dalam Bahasa Malaysia walaupun saban tahun, bulan dan hari ada sahaja rakyat Malaysia yang menggunakan kemudahan tersebut. Kalau ada pun baru ni saya menziarahi Raudhah di Madinah tertera di papan tanda ejaannya dalam Bahasa Malaysia tapi bila baca bunyinya jadi bahasa Indonesia, takpalahkan asalkan faham dari tak faham langsung. Perasaan yang berbunga-bunga apabila negara lain menggunakan bahasa ibunda kita. Dan kalau ada pun penjual-penjual di kedai-kedai sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, mari! mari! murah! Ye ye siti nurhaliza! Hmm..bagus strategik pemasaran mereka ni. Namun tak terbayang berbunga-bunganya jika di airport Jeddah ada pengumuman dalam Bahasa Malaysia!

Memang ada pro dan kontranya. Jika benar nak menerapkan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar supaya boleh bersaing diperingkat global, banyak cara boleh dilakukan. Bukanlah maknanya menolak penguasaan Bahasa Inggeris malah di dalam islam sendiri dituntut supaya umatnya menuntut ilmu, termasuklah menguasai pelbagai bahasa supaya mudah melaksanakan tugas penyampaian ilmu dan dakwah.

Itu pendiriannya, walaupun anak saya sekarang ni mengaji Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Di sekolah tiada pilihan, sebagai satu-satunya rakyat Malaysia perbualan seharian juga di dalam Bahasa Inggeris. Seharusnya saya gembira, mudah bagi mereka apabila kembali ke Malaysia namun sekiranya memorandum yang akan di serahkan pada Mac depan berjaya, bermakna saya pula perlu terjemahkan Sains dan Matematik ke dalam Bahasa Malaysia untuk anak-anak. Namun sebagai rakyat Malaysia perlu untuk saya memartabatkan bahasa kebangsaan. Bahasa yang telah menongkah arus menundukkan penjajah dan memerdekakan tanah melayu.

Bahasa Jiwa Bangsa.