Pages

Showing posts with label Catatan perjalanan. Show all posts
Showing posts with label Catatan perjalanan. Show all posts

November 08, 2015

Rehlah Yang Menyegarkan



Menjadi tradisi orang arab gemar ber 'picnic' atau berkelah sambil menghirup gahwah atau kopi arab terutamanya ketika berakhirnya musim panas dan musim sejuk mula menyapa. Kami juga tidak ketinggalan, alah bisa tegal biasa, seolah menjadi salah satu terapi yang menyegarkan. Mungkin juga kerana cara hidup disini yang agak tertutup jika dibanding dengan di Malaysia yang punya ruang atau halaman di luar rumah. 


Jika pada musim sejuk mereka akan berpicnic dipadang pasir membina khemah dan unggun api. Tradisi turun temurun yang diwarisi sejak sekian lama dan masih diamalkan sehingga ke hari ini cuma mungkin turut mengalami modenisasi sesuai dengan keadaan hari ini. 

Boleh juga jika digunakan kata rehlah, rehat sambil berkelah bersama ahli keluarga dan rakan taulan. Merehatkan fizikal dan minda sambil menikmati keindahan alam malah turut boleh merapatkan hubungan silaturrahim. Mana-mana  kawasan boleh menjadi kawasan berpicnic, dari di tengah padang pasir, di tepi highway hinggalah di taman taman permainan yang terhampar rumput hijau atau di atas gunung. Semasa di kami di Abha terdapat satu  kawasan picnic yang sering menjadi tumpuan iaitu di luar pagar Lapangan Terbang Abha, duduk berpicnic sambil memerhatikan kapal terbang yang berlepas dan mendarat! 





Bukanlah sesuatu yang pelik jika ternampak keluarga berpicnic membentang tikar atau karpet dan duduk bersama. Masuk sahaja waktu solat mereka akan terus solat, jika tiada masjid berhampiran maka tikar atau karpet tadi akan menjadi alas sejadah. Air untuk berwudhu bukanlah menjadi masalah besar, samada sentiasa menjaga wudhu atau akan menyediakan air di dalam botol untuk berwudhu, praktikal, mudah dan mesra ibadah. Ibadah solat bukanlah sesuatu yang membebankan. 

JIka dilihat tabiat ini secara relatifnya boleh di kaitkan dengan ibadah haji dimana jemaah haji akan bermalam di mina, tinggal dikhemah, solat apabila masuknya waktu solat. Mereka mempraktikkan dalam kehidupan seharian.  Mungkin ia boleh menjadi salah satu cara untuk melalui hari-hari seterusnya dengan lebih ceria. Kebiasaan ini mungkin turut didorong oleh faktor keselamatan yang agak tinggi disini, walau pun yang berpicnic itu warga asing yang datang mencari rezki, tidak menjadi masalah untuk sama-sama menikmati hidup seperti warga tempatan asal pandai membawa diri dan musibah usah dicari. 

April 24, 2012

Melihat dengan mata hati

Kembara kali ini membawa kami ke utara Saudi Arabia. Memulakan perjalanan dari Riyadh menuju ke Madinah dan seterusnya ke Al Ula yang terletak kira-kira 380km dari Madinah, merupakan sebuah pekan yang menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Berhampiran dengan pekan tersebut iaitu kira-kira 20 km terletaknya Madain Saleh iaitu satu kawasan yang dipercayai pernah didiami oleh kaum Nabi Salleh as, juga lebih dikenali sebagai kaum Thamud sepertimana yang termaktub di dalam Al Quran. Selain itu ia juga dikenali sebagai Al Hijr (bukit berpasir).

Bandar Al Ula dari atas bukit
Di dalam Al Quran banyak kisah menceritakan kehancuran bangsa-bangsa (kaum) yang tidak mahu beriman kepada Allah SWT. Di antaranya, bangsa 'Ad (umat Nabi Hud), kaum Tsamud (umat Nabi Saleh), bangsa Madyan (umat Nabi Syu'aib), kaum Nabi Ibrahim as, serta kaum Nabi Nuh as.
Umat Nabi Saleh as, yaitu kaum Tsamud dihancurkan kerana mereka tidak mau beriman kepada Allah SWT dan tidak mengakui Nabi Saleh as sebagai seorang Nabi. Mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang menggegar sehingga meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka.

Sebelum mereka dibinasakan bangsa Tsamud ini diperintahkan untuk menyembah Allah dan mengikuti ajakan Nabi Saleh as. Namun, mereka enggan melakukannya. Bahkan, ajakan itu  dianggap menghina kaum Tsamud. Lalu, ketika diuji dengan diberikan seekor unta betina yang kemudiannya mereka membunuhnya. Kemudian, Nabi Saleh memperingatkan umatnya.
“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Saleh ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya. Mereka menjawab dengan berkata: “Wahai Saleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dikalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya”.   [Hud : 61-62]
“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarlah dia mencari makan dibumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya.” Mereka kemudiannya menyembelih untu itu, lalu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: “Bersenang-senanglah kamu ditempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah satu janji yang tidak dapat didustakan”. Maka tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Saleh berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa. [ Hud:64 - 66]
Batuan yang dipahat untuk dijadikan tempat tinggal
Kaum Nabi Saleh memilih untuk tidak beriman kepada Allah swt lalu mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang menggelegar sehingga meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka.
Dan orang-orang yang zalim itu,dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur ditempat tinggal masing-masing. (Mereka punah ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.  [Hud:67-69]
 Tempat menyimpan mayat
Dan demi sesungguhnya, penduduk “Al-Hijr” telah mendustakan Rasul-rasul, Dan Kami telah berikan mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya), Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, pada waktu pagi. Maka apa yang telah mereka usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikitpun. [Al Hijr : 80 – 84]
Kerajaan Nabateans yang berpusat di Petra, Jordan kemudiannya menduduki Madain Saleh.  Mereka membina rumah daripada batu batan yang dipahat yang kemudiannya dijadikan tempat menyimpan mayat. Sisa tinggalan kehancuran kaum Thamud boleh dilihat sehingga ke hari ini. Kami beristigfar memohon keampunan daripada Allah swt, sungguh kehinaan itu adalah kesudahan bagi kaum yang sombong dan ingkar.


Salah sebuah istana
Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan) [Al Hajj: 45]
SubhanaALlah…Alhamdulillah…Allahu Akbar…
Jabal Al Fil - Elephant Rock, al Ula
Oleh itu bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.[Al Hajj: 46]


Mereka telah meninggalkan sisa-sisa yang boleh dilihat sehingga ke hari ini, kisah mereka termaktub di dalam Al Quran menjadi pedoman kepada umat sehingga hari kiamat. Semoga Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayahNya serta memelihara iman yang ada agar dengannya tidak menjadikan kehinaan sebagai kesudahan sebuah kehidupan.
"Maha Suci Allah yang ditangan-Nya lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" [Al Mulk: 1 -2]

December 06, 2011

1 Disember 2011, perjalanan umrah kali ini ketika musim sejuk. Kami sampai di Taif kira-kira pukul 4.30 pagi, suhu sekitar 6 darjah celcius. Tiba di Makkah pada pukul 8.30 pagi. Suasana di Masjidil Haram agak lengang ketika mengerjakan tawaf umrah, ramai jemaah haji telah meninggalkan kota Makkah usai mengerjakan haji. Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah swt yang mengizinkan kami untuk melaksanakan ibadah umrah ini.


Kilang zam-zam di Kudai, Makkah


w



Allah mengatur setiap urusan makhlukNya, hukumNya berlaku untuk mereka sesuai dengan hikmah dan keutamaanNya, dan berlaku untuk mereka sesuai dengan hikmah dan keadilanNya. Allah tidak berbuat zalim kepada seorang pun.

"Kami tidak berbuat zalim kepada mereka tetapi merekalah orang-orang yang berbuat zalim terhadap diri mereka sendiri." (Az Zukhruf:76)

Dan sesungguhnya kerosakan hati dan iman itu lebih besar, lebih dasyat dan lebih buruk akibatnya daripada kerosakan dunia. Kerana bila kerosakan dunia itu menimpa manusia, kerugiannya hanya kerugian dunia dan tidak kekal, sedangkan kerosakan agama kerugiannya didunia dan akhirat.

"Katakanlah: 'Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat.' Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata." (Az Zumar :15)

-Petikan edaran tulisan Syeikh Muhammad bin Shaleh Al-Utsaimin

June 13, 2011

Sebuah Perjalanan

Alhamdulillah..segala puji dan syukur hanya milik Nya, buat sekelian kalinya kami diberi peluang dan ruang untuk mengerjakan ibadah umrah.

Kami meninggalkan kota Riyadh pada pukul 10 malam, singgah untuk solat subuh pada jarak kira2 lagi 200 km untuk sampai ke Taif, berhenti untuk miqat di Sail al Kabir,Taif dan meneruskan perjalanan ke kota Makkah.

Sampai di Makkah pada 8 pagi, disebabkan hotel hanya boleh dimasuki pada jam 12 tengahari maka kami mengambil keputusan untuk terus melaksanakan umrah.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, selesai tawaf bersama rembesan peluh dan kemerah-merahan diwajah anak2 mengembirakan saya, biarlah mereka berpanas, merasa terik mentari pagi di kota Makkah ini yang suatu ketika dulu pernah menyaksikan Rasul tercinta dan para sahabat menempuh ujian yang jauh lebih berat demi menegakkan deen Allah ini. Percayalah anak-anakku, perjalanan ini adalah perjalanan mendidik jiwa. Kepayahan dan kesusahan itu akan lebih mendidik jiwa kalian. Sejarah telah membuktikan.

Perjalanan dari Taif ke kota Makkah kami penuhi dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran-Nya. Bergantian pula dengan bacaan al Quran melalui stesen radio.

"Apa yang abin nak doa bila sampai depan Kaabah nanti?" Tanya suami kepada Nabil

"Abin nak doa abin dapat excellent dalam exam math saturday ni". Jawabnya

"Ya boleh doa macam tu, tapi selain tu apalagi yang Abin nak doa?" soal abahnya lagi

"Doa Abin jadi anak yang soleh." Jawabnya lagi

"Selain tu Abin doalah abin mudah hafal ayat-ayat Al Quran,terangkan hati supaya mudah terima pelajaran, supaya Allah selamatkan abin di dunia dan akhirat dari sebarang bahaya. Abin boleh doa apa saja tapi mestilah yang baik-baik." terang abahnya memudah cara.

Nabihah tekun mendengar mungkin turut berfikir doanya ketika di depan Kaabah nanti. "Kenapa kita kena berdoa?" tanyanya spontan.

"Kita kena doa sebab kita hamba Allah, kita manusia lemah yang tak boleh buat apa-apa tanpa keizinan dari Allah.  Disamping kita berusaha, Allah suruh kita doa dan minta dengan sungguh-sungguh, barulah Allah makbulkan dan kalau kita tak berdoa seolah-olah kita dah cukup semuanya dan tak perlukan pertolongan Allah. Sedangkan kita ni Allah yang jadikan dan Allah tahu semua kelemahan kita. Dan juga kalau kita tak berdoa serupa juga kita ni sombong, kalau sombong dengan manusia, kita akan dibenci tapi kalau sombong dengan Allah, neraka tempatnya." Ulas saya panjang lebar.

"Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak memakbulkan doa yang datang dari hati yang lalai." (Riwayat al-Hakim dan at-Tirmizi yang menghasankannya) 

 Memohon semoga dengannya mendapat keampunan atas segala kekhilafan yang samada secara sengaja atau tidak. Semoga Allah memberi kekuatan pada jiwa2 kami dan ibubapa lainnya dalam usaha membentuk dan mendidik anak-anak, menetapkan untuk tetap teguh di atas jalan Islam dan iman.  Melihat kepada masa depan, kemelut masyarakat hari ini yang perlu didepani semakin merungsingkan. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahNya serta memelihara umat Islam seluruhnya dari bencana dan fitnah akhir zaman.

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah daripada manusia dan batu. Di atasnya ada malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang diperintahkan Allah." (At-Tahrim:6)



 
Rumah yang pernah didiami suami ketika bekerja di Makkah

End of Haram Boundary

Air zam-zam dalam botol baru

Hentian SASCO

91 Octane SAR0.45/L, 95 Octane SAR0.60/L
 
Pasu arab



"Katakanlah : Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab : Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?" (Yunus:31)

January 01, 2011

Riyadh_ Makkah, 9-10 Disember 2010


Setelah beberapa bulan berada di Riyadh sekembali dari Malaysia, inilah peluang pertama kami sekeluarga mengerjakan umrah.  Perjalanan yang biasanya mengambil masa lebih kurang 10 jam, tetapi kali ini lebih panjang iaitu 14 jam. Perjalanan jauh yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal bukan sahaja pada saya dan suami malah anak2 juga. Setelah mengambil kira masa untuk merehatkan badan dan solat subuh, sarapan pagi serta berhenti untuk miqat, alhamdulillah kami memasuki kota Makkah dengan rasa penuh kesyukuran. Syukur kerana masih diberi peluang untuk berada di bumi penuh barkah menjejaki jejak para Rasul dan sahabat, para tabi'in dan para pejuang deen Allah ini. Di sinilah hati-hati manusia ditarbiyah agar tunduk dan patuh segala perintahNya, menjauhi laranganNya. Tiada perbezaan pangkat dan darjat, kaya dan miskin, semuaya sama di sisiNya melainkan taqwa.

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam, kepunyaanNyalah segala dilangit dan di bumi. Ya Allah! kami datang dengan penuh rasa rendah diri dan kerinduan pada RumahMu, ampunilah dosa2 kami, ampunilah dosa kedua ibubapa kami. Ya Rabb! Kurniakanlah kami hati dan lisan yang sentiasa mengingatiMu dan sentiasa mensyukuri nikmatmu, kurniakanlah iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar2 mantap. Tunjukilah kami jalan yang lurus dan jauhkanlah kami dari jalan yang sesat serta peliharalah kami dari api nerakaMu. Jangan ya Allah! Engkau hukum kami andai kami terlupa atau terlalai dan janganlah Engkau bebankan kami beban yang tidak sanggup kami memikulnya, berilah kekuatan untuk kami meneruskan kehidupan ini dengan iman dan taqwa kepadaMu. Sesungguhnya kepada Engkaulah tempat kami meminta dan kepada Engkau jualah kami berserah segala-galanya.

Lebih separuh perjalanan, lagi 325km ke Makkah

Hentian SASCO

Masjid tempat Miqat di Sail Al Kabir, Taif 

Miqat Qarn Al Manazil, Taif
Perjalanan balik ke Riyadh, mendaki jalan bukit Al Hada, Taif
Subhanallah, hujan di Taif
Replika teko arab di Taif

Pemandangan sepanjang jalan
'Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan dikembalikan.'

December 01, 2010

Jalan-Jalan Hujung Minggu


Dari Riyadh ke Al Khobar

Cuti hujung minggu yang lepas kami berkunjung ke Al Khobar iaitu salah satu bandar pengeluar minyak dan juga bandar nelayan di Saudi Arabia yang terletak berhampiran  Dammam dan Dhahran iaitu kira-kira 4 jam perjalanan menaiki kenderaan dari Riyadh . Menariknya Al-Khobar ini ialah kedudukannya yang terletak di persisiran laut dan berhampiran dengan sempadan negara Bahrain. Jika dari Khobar kita boleh menyeberangi jambatan sehingga ke pintu masuk negara Bahrain tetapi visa diperlukan jika ingin memasuki negara tersebut. Cuaca di Khobar ketika ini sejuk dan  nyaman sesuai bagi mereka yang inginkan kelainan dengan panorama persisiran pantai yang cantik.  Bagi rakyat Malaysia, di sini terdapatnya Restoran Malaysian Kitchen yang menawarkan menu masakan Malaysia.



  
Menyusur jambatan ke Bahrain

Sampai di sini sahaja, pintu masuk ke Bahrain








Telur ayam

segar dan murah
sr7 sekilo
Padang pasir sepanjang jalan





Sungguh manusia dan alam tidak dapat dipisahkan ibarat walau di mana bumi di pijak di situ jualah langit dijunjung, walau sehebat mana alam di dekorasi bagi makna pembangunan, fitrahnya tetap akan kembali ke asal. Sentuhan manusia tidak akan menandingi sentuhan Nya mencipta sesempurnanya. Hanya sanya bagaimana manusia mengambil ibrah dari penciptaanNya untuk mendekatkan lagi diri denganNya.