Pages

November 20, 2011

Nabil, belakang sebelah kiri - gambar kredit Ummu Amirul Mukmin
Ketika usianya kira-kira 2 bulan, kami telah menghantarnya ke rumah penjaga yang mesra dipanggil Wan Ani. Bersama beberapa orang kanak-kanak lain, Nabil merupakan yang paling muda. Setiap pagi saya akan menghantarnya bersama sebuah beg berisi tiga pasang baju, lampin pakai buang, dan susu yang akan digunakan seharian. Lewat petang selesai tugas di pejabat dan setelah menempuh kesesakan jalan saya mengambilnya pulang ke rumah. Pernah suatu hari saya lewat mengambilnya, pada usia kurang setahun, dia merajuk tidak mahu pulang bersama, ketika itu terasa kesedihan apabila anak yang usianya belum pun sampai setahun sudah mengerti makna kasih sayang dan perhatian seorang ibu.

Hari ini dia berusia 10 tahun, semoga membesar sebagai anak yang soleh, berjaya di dunia dan akhirat, jejakilah para Rasul dan Sahabat memelihara deen ini dengan sesungguhnya. Bukanlah kejayaan dunia ini yang hakiki namun akhirat juga yang kekal abadi. Pandanglah kehidupan dengan pandangan hati yang punya iman, nescaya akan hadir bersamanya ketenangan. Semoga Allah swt sentiasa memelihara dan merahmati perjalanan kehidupanmu, anakku.

Ummi dan abah sayangkan Nabil.

November 15, 2011

Iman Mutiara



Pulang dari sekolah, ketika sedang menikmati makanan tengaharinya si kakak bertanya,

“Ummi, kenapa syaitan tu tahu Allah yang jadikan, tapi syaitan tak belief in Allah”

Saya terkedu sebentar, barangkali hari ini ada tajuk mengenai Pillar of Iman bagi subjek Islamic Studies, soalan yang tak sempat nak ajukan pada teachernya mungkin.

“Syaitan tahu Allah swt itulah Tuhan Semesta Alam yang jadikan semuanya, tapi tak mahu taat apa yang Allah swt perintahkan, sebab masa Allah swt perintahkan supaya tunduk pada Nabi Adam as, manusia pertama yang Allah swt jadikan, semua malaikat tunduk kecuali syaitan sebab syaitan kata dia diperbuat dari api, sedangkan Nabi Adam as dari tanah. Disebabkan kesombongan syaitan itu Allah swt murka, tetapi syaitan berjanji akan menyesatkan umat manusia sampai hari kiamat.” Jelas saya

“Macam tu..” balasnya sambil mengangukkan kepala

“Jadi janganlah kita jadi kawan syaitan sebab syaitan nak cari ramai kawan supaya boleh sama-sama masuk neraka tapi lepas tu syaitan akan berlepas tangan.”sambung saya lagi

Kisah dalam Al Quran (surah Al-A’Raaf : 11-18)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam),lalu Kami bentuk tubuhmu,kemudian Kami katakan kepada para malaikat:“Bersujudlah kamu kepada Adam”,maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. 

Allah berfirman:“Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu? “Menjawab iblis “aku lebih baik daripadanya:Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Allah berfirman:“Turunlah kamu dari surga itu;karena kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya,maka keluarlah,sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

Iblis menjawab:“Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

Allah berfirman:“Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”

Iblis menjawab:“Karena Engkau telah menghukum aku tersesat,aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka,dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).

 Allah berfirman:“Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu,benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.

Setelah berjaya menghasut manusia, syaitan akan berlepas tangan;

“Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu. Sesungguhnya Allah swt telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiada bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku dengan-Nya.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim(yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (Ibrahim : 22)

Dan ini pula janji Allah kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebaikan;

“Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucap selamat sentiasa mereka dapati (dari Malaikat) di dalam syurga-syurga itu.” (Ibrahim : 23)

Semoga kita sentiasa dilindungi daripada Syaitan laknatullah.

November 13, 2011

Memberi makna pada yang ada makna

Pemandangan dari tingkat 11 Faisaliyah Tower
Riyadh kini semakin terasa kesejukannya. Suhu disebelah pagi sekitar 15 darjah Celcius. Anak-anak juga telah mula memakai jaket ke sekolah. Tahun ini merupakan tahun ke 3 kami menempuh musim sejuk di Riyadh ini. Setiap tahun sekiranya masih boleh digunakan lagi, kami gunakan sahaja baju-baju sejuk yang ada. Jika perlu hanya membeli sehelai dua untuk anak-anak yang semakin membesar.

2 malam lepas suami membawa kami sekeluarga makan malam di restoran yang terletak di tingkat sebelas bangunan Al Faisaliyah, salah satu mercu tanda di Riyadh ini. Pada tarikh ulangtahun perkahwinan kesebelas, 11 November 2011, jika menurut kalendar  Islam ianya jatuh pada 15 Dhulhijjah 1432H. Bukanlah kerana digitnya tetapi kerana peristiwanya yang memberi makna.   Memetik kata-kata ustaz Hasrizal di dalam blognya "11/11/11 tidak seharusnya memberi sebarang makna kepada setiap kita yang aqidah, pandangan hidup dan sistem nilainya adalah al-Islam."

Sebetulnya bukanlah menjadi tradisi kami untuk menyambut sebarang ulangtahun,cukup sekadar tanda ingatan kepada hadirnya sesebuah peristiwa istimewa dalam keluarga. Apatah lagi di awal fasa berumahtangga, untuk menikmati makan malam bersama buffet yang beraroma jauh sekali. Bersama gabungan gaji suami sebagai jurutera dan saya sebagai pensyarah kolej setelah ditolak bayaran bulanan kereta, sewa rumah, upah penjagaan nabil ketika itu,belanja bulanan sehingga tibanya hujung bulan, sekadar secukupnya. Alhamdulillah itulah rezeki kami sekeluarga.

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya (Al-Baqarah :172)

Bersyukur dengan rezeki yang kurniakan, sedikit atau banyak bukanlah syaratnya kerana jika dihitung nikmat –nikmat tersebut pasti tidak akan terhitung.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada suami yang menyantuni isteri dan anak-anaknya ini. Namun terasa juga gusarnya janganlah hendaknya anak-anak ini terbiasa dengan segala yang selesa. Pasca anak-anak zaman sekarang yang jauh berbeza dengan zaman saya di zaman kanak-kanak. Suasana pembesaran ketika itu secara automatik menjadi pembelajaran kepada kami adik beradik. Melihat abah yang bekerja keras mencari duit menyara kami, mana mungkin untuk meminta-minta sedang ada banyak keperluan yang lebih utama. Berbeza kini, anak-anak tidak melihat suasana kepayahan itu. Tidaklah juga mudah untuk memahamkan mereka suasana orang dulu-dulu kerana mereka tidak melaluinya. Dalam konteks zaman yang semakin berubah, barangkali cara dan pendekatan juga berubah selagi ianya selari dengan syariat. Semoga Allah mengurniakan iman yang teguh kepada ibubapa menangani cabaran masa kini untuk mendidik anak –anak.

Dia-lah yang telah mengajarkan Al Quran. Dia-lah yang telah menciptakan manusia. Dia-lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima pernyataan. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu; dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu kayan masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikannya (membumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (Ar Rahmaan :2 – 9)

November 11, 2011

11 tahun yang berlalu

Alhamdulillah..tahun ini merupakan tahun ke 11 perkahwinan kami. Dikurniakan 3 orang cahaya mata amanah dari Pencipta. Sebelas tahun berlalu bukanlah bermakna asam garam kehidupan ini telah bertukar kepada manis sepenuhnya, ianya tetap sebuah kehidupan yang penuh dengan pembelajaran dan pengajaran. Belajar dari kesilapan akan memberi kita pengajaran semoga esok lebih baik daripada hari ini.

Mengimbas kembali serba ringkas pertemuan saya dan suami, Alhamdulillah prosesnya mudah dan ringkas. Bertukar-tukar maklumat diri melalui orang tengah, bertunang dan bernikah. Namun , debarannya pasti terasa, mengingat kembali kata-kata seorang teman, melangkahlah dengan lafaz Bismillah, insyaAllah semoga mendapat keyakinan dan dipermudahkanNya. Masakan tidak, proses perkenalan sebelum sah bergelar suami dan isteri tidaklah sama setelah segalanya terikat. Seribu satu macam persoalan hadir.

Siapalah saya untuk memastikan semuanya seperti yang dirancang atau yang impikan. Perasaan yang pelbagai, sekejap positif sekejap negatif. Mak abah dan keluarga tidak banyak bicara, semuanya ceria bakal menerima menantu pertama dalam keluarga, hanya saya yang memendam rasa. Bila direnung ayat-ayat Allah meredakan kerunsingan pengubat hati, jodoh pertemuan semuanya telah ditentukan. Berusahalah dan berbaik sangkalah, insyaAllah Allah permudahkan. Utamanya niat yang hadir di dalam hati keranyaNya semata. Hanya Dia yang Maha Mengetahui ..saya pasrah.

Usai 11 tahun ini, saya bersyukur dengan segala ketentuanNya. Asam garam, pahit dan manis alam berumahtangga mewarnai kehidupan. Pastinya tanpa bersandarkan kepada keimanan kehidupan manusia akan menjadi tidak keruan, terumbang ambing ibarat kapal yang hilang arah di lautan luas di malam yang gelap gelita.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘kami beriman, sedang mereka tidak diuji?” ( Al-Ankabut :2)

Banyak teori dan falsafah yang mungkin boleh kita gunakan untuk membantu melayari bahtera rumahtangga, namun keunikannya tersendiri kerana manusia itu sendiri diciptakan unik dengan segala kelebihan dan kekurangannya, yang membezakan satu manusia dengan manusia yang lain. Unik juga kerana susun atur sesebuah rumahtangga bergantung kepada cara pandang dan fikir seseorang. Mungkin oleh kerana itulah sebuah perkahwinan juga diibaratkan saling lengkap melengkapi, tampung menampung diantara satu sama lain.

Saya bukanlah yang terbaik untuk memberikan nasihat, sekadar berkongsi pengalaman. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui (dengan izinNya), semoga ikatan ini sentiasa terpelihara, diredhai dan diberkatiNya.

“Thank you Allah swt for sending this wonderful man into my life..for my husband thank you for being kindness and love- a great father to the children. May Allah swt grant you His Jannah..”

November 07, 2011

Salam Aidiladha


Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini kami beraya di Riyadh. Ketika berjuta-juta umat Islam sedang menunaikan haji, memohon keampunan dari Allah swt,berkumpul di satu tempat dalam satu masa Subhanallah..,suami pula perlu berkhidmat pada waktu-waktu sebegini. Jauh disudut hati kami juga ingin menyertai jutaan umat manusia itu, namun begitulah setiap tahun semenjak menetap di sini. Apapun, kata kuncinya menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dan bersangka baik merupakan salah satu cara menghadirkan sabar dan redha, semoga Allah sentiasa mengurniakan kami dengan sabar dan redha dalam setiap perkara yang dilalui.

Memandangkan sekarang ini cuti sekolah selama hampir 2 minggu bersempena haji makanya ibu-ibu juga turut bercuti sebentar dari urusan menguruskan anak-anak ke sekolah dan urusan sebagai guru tuisyen. Masa terluang saya suka membaca blog-blog, melihat cara mereka mencurahkan perkongsian dalam bentuk penulisan. Setiap manusia dijadikan begitu istimewa dan unik, setiapnya ada keistimewaan yang tersendiri. Walaupun nampak santai tetapi begitu terkesan. Melihat kepada cara fikir setiap manusia jika disandarkan kepada iman di hati (dengan IzinNya) akan mempengaruhi segala sudut pandangan kehidupannya, semoga saya juga tergolong dalam golongan ini. Sungguh iman dan kehidupan tidak boleh dipisahkan kerana itulah punca kepada tingkah laku seterusnya. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua, membekalkan kekuatan untuk sentiasa memelihara iman.


Selamat Hari Raya Aidiladha dari kami sekeluarga.

October 25, 2011


Buat sekalian kalinya kami menziarahi kota bercahaya ini. Jarak perjalanan masih berbaki 50km ketika jam menunjukkan kira-kira pukul 3.30 pagi, Kami sampai beberapa minit sebelum berkumandangnya azan Subuh. Subhanallah, Maha Suci Allah yang memelihara kota suci ini.

September 28, 2011



Rutin telah kembali seperti sediakala

seperti kira-kira 3 bulan yang lalu

Berakhirnya cuti sekolah musim panas

Berakhirnya bulan Ramadhan yang mulia

dan bermulanya sesi persekolahan bagi anak-anak

Masa berlalu, tahun silih berganti

keranaNya kami disini

keranaNya kami tinggalkan keluarga dan tanah air tercinta

moga adanya kami disini memberi makna bukannya sia-sia

pada dunia dan akhirat jua

Ummu Nabil
Riyadh, Saudi Arabia

June 26, 2011

Kenangan Hari ini


United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR)
Kami menghabiskan saki baki hari sebelum meninggalkan bumi Riyadh ini buat sementara sebelum kembali semula menjelang Ramadhan, insyaAllah.

Menyediakan dan menyenaraikan apa yang perlu untuk diselesaikan dengan harapan semoga semua yang dirancang memudahkan lagi perjalanan percutian dan sekembalinya ke bumi Riyadh ini.

Setelah beberapa tahun menetap di negara ini, Riyadh dan beberapa tempat yang pernah kami diami bukanlah lagi asing pada kami sekeluarga. Kejanggalan itu semakin jauh dari perasaan.

Melihat kepada budaya dan masyarakatnya mungkin seperkara dua tidak seiringan dengan adat budaya masyarakat melayu, tetapi semakin lama semakin terasa keserasiannya bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.

Semakin lama semakin serasi apabila azan berkumandang maka segala urusan jual beli berhenti seketika demi menghormati dan menyahut seruanNya, semakin selesa apabila para wanita memelihara pandangan para lelaki dengan hijabnya, semakin tenang apabila diberi peluang mengunjungi Baitullah dan Kota Madinah dengan izinNya. Jika dahulu selera kami sekeluarga adalah selera kampung bersama nasi putih dan segala lauk pauknya, tetapi kini bukanlah menjadi masalah untuk menjamu selera dengan nasi kabsa dan  nasi mandy. 
Walau begitu tempat jatuh lagi di kenang ibarat hujan emas di negeri orang, walau jauh beribu batu namun kedamaian dan ketenangan ada di situ.

Kami akan merindui sementara rakan taulan, jiran tetangga yang mewarnai kehidupan di sini. Apatah lagi pemusafiran ke Kota Makkah dan Madinah yang membawa bersama doa dan harapan. Semuanya akan tercatat sebagai kenangan yang berharga di dalam perjalanan sebuah kehidupan.

Ada yang berkata menentukan siapakah diri yang ingin di bawa mengembara adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, 'Siapa kamu menentukan cara kamu melihat'. Kesannya pula ialah, 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat'. - petikan buku Secangkir Teh Pengubat Letih, karya ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Ada yang merantau demi mencari ilmu dan kefahaman, tidak kurang juga atas nama mencari rezeki, namun selagi niat dan tujuannya beriringan dengan syariat, semoga keberadaan di perantauan ini tidak sekadar habuan dunia malah juga imbuhan akhirat.


June 20, 2011

Damai desa


Ketika ini kami mula menghitung hari.

Anak-anak menghitung hari untuk bertemu atuk dan wan, mak long dan pak long, pak lang dan mak lang, makcik, mak teh, mak uda dan pak su serta sepupu-sepupu mereka.

Saya kira cukup setahun tempoh memisahkan kami berlainan benua. Tempoh yang perlu untuk bertemu kembali, memudarkan rasa rindu perantau seperti kami pada ayah bonda dan kampung halaman. Tempoh yang cukup untuk mengembalikan hak kepada yang berhak.

Pulang ke kampung halaman seolah kembali ke asal yang mendamaikan. Sukar digambar rasa jiwa seorang perantau yang kembali ke kampung halaman setelah berjauhan. Fitrah rasa yang dititipkan oleh yang Mencipta bukan rekaan. Kembali ke desa kembali ke asalnya.

June 13, 2011

Sebuah Perjalanan

Alhamdulillah..segala puji dan syukur hanya milik Nya, buat sekelian kalinya kami diberi peluang dan ruang untuk mengerjakan ibadah umrah.

Kami meninggalkan kota Riyadh pada pukul 10 malam, singgah untuk solat subuh pada jarak kira2 lagi 200 km untuk sampai ke Taif, berhenti untuk miqat di Sail al Kabir,Taif dan meneruskan perjalanan ke kota Makkah.

Sampai di Makkah pada 8 pagi, disebabkan hotel hanya boleh dimasuki pada jam 12 tengahari maka kami mengambil keputusan untuk terus melaksanakan umrah.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, selesai tawaf bersama rembesan peluh dan kemerah-merahan diwajah anak2 mengembirakan saya, biarlah mereka berpanas, merasa terik mentari pagi di kota Makkah ini yang suatu ketika dulu pernah menyaksikan Rasul tercinta dan para sahabat menempuh ujian yang jauh lebih berat demi menegakkan deen Allah ini. Percayalah anak-anakku, perjalanan ini adalah perjalanan mendidik jiwa. Kepayahan dan kesusahan itu akan lebih mendidik jiwa kalian. Sejarah telah membuktikan.

Perjalanan dari Taif ke kota Makkah kami penuhi dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran-Nya. Bergantian pula dengan bacaan al Quran melalui stesen radio.

"Apa yang abin nak doa bila sampai depan Kaabah nanti?" Tanya suami kepada Nabil

"Abin nak doa abin dapat excellent dalam exam math saturday ni". Jawabnya

"Ya boleh doa macam tu, tapi selain tu apalagi yang Abin nak doa?" soal abahnya lagi

"Doa Abin jadi anak yang soleh." Jawabnya lagi

"Selain tu Abin doalah abin mudah hafal ayat-ayat Al Quran,terangkan hati supaya mudah terima pelajaran, supaya Allah selamatkan abin di dunia dan akhirat dari sebarang bahaya. Abin boleh doa apa saja tapi mestilah yang baik-baik." terang abahnya memudah cara.

Nabihah tekun mendengar mungkin turut berfikir doanya ketika di depan Kaabah nanti. "Kenapa kita kena berdoa?" tanyanya spontan.

"Kita kena doa sebab kita hamba Allah, kita manusia lemah yang tak boleh buat apa-apa tanpa keizinan dari Allah.  Disamping kita berusaha, Allah suruh kita doa dan minta dengan sungguh-sungguh, barulah Allah makbulkan dan kalau kita tak berdoa seolah-olah kita dah cukup semuanya dan tak perlukan pertolongan Allah. Sedangkan kita ni Allah yang jadikan dan Allah tahu semua kelemahan kita. Dan juga kalau kita tak berdoa serupa juga kita ni sombong, kalau sombong dengan manusia, kita akan dibenci tapi kalau sombong dengan Allah, neraka tempatnya." Ulas saya panjang lebar.

"Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak memakbulkan doa yang datang dari hati yang lalai." (Riwayat al-Hakim dan at-Tirmizi yang menghasankannya) 

 Memohon semoga dengannya mendapat keampunan atas segala kekhilafan yang samada secara sengaja atau tidak. Semoga Allah memberi kekuatan pada jiwa2 kami dan ibubapa lainnya dalam usaha membentuk dan mendidik anak-anak, menetapkan untuk tetap teguh di atas jalan Islam dan iman.  Melihat kepada masa depan, kemelut masyarakat hari ini yang perlu didepani semakin merungsingkan. Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahNya serta memelihara umat Islam seluruhnya dari bencana dan fitnah akhir zaman.

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah daripada manusia dan batu. Di atasnya ada malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang diperintahkan Allah." (At-Tahrim:6)



 
Rumah yang pernah didiami suami ketika bekerja di Makkah

End of Haram Boundary

Air zam-zam dalam botol baru

Hentian SASCO

91 Octane SAR0.45/L, 95 Octane SAR0.60/L
 
Pasu arab



"Katakanlah : Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab : Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?" (Yunus:31)