Pages

December 30, 2010

Promosi Program Perhimpunan 1000 Jiwa 1 Hati

Promosi program Perhimpunan 1000 Jiwa 1 Hati anjuran Raudathus Sakinah, satu organisasi yang bertanggungjawab membantu menangani masalah gejala sosial yang melanda masyarakat pada hari ini. Program yang amat prihatin ini perlu diberi sokongan bagi menyatakan kepedulian kita terhadap isu semasa dan remaja2 yang sangat memerlukan perhatian dan sentuhan kerohanian sebagai kekuatan untuk mereka melangkah menempuh kehidupan.

December 25, 2010

Mukhayyam Tarbawi 2, Riyadh


Alhamdulillah setinggi2 syukur padaNya yang telah mengizinkan berlangsungnya program Muqayyam Tarbawi 2 anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh (PPM) pada 23 Disember 2010. Bersama gandingan tenaga-tenaga muda para ustaz yang mengerah tenaga, masa dan fikiran untuk menjayakan program kali ini bagi memastikan kelangsungan dakwah tetap berlaku walau di mana bumi dipijak. Juga bersama sokongan yang diberikan oleh para ibu bapa bagi menjayakan program ini mudah2an membawa limpah rahmatNya ke atas anak2 yang sedang membesar dengan cabaran hebat disekeliling mereka. Walaupun sehari cuma namun untuk menjadi titik perubahan bukanlah sesuatu yang mustahil dengan izinNya.

Penyertaan kali ini bukan sahaja menyaksikan anak2 sebagai peserta tetapi juga saya sebagai fasilitator. Lama benar peranan itu telah saya tinggalkan, dan kini berada pada usia yang bukan lagi remaja, terasa juga kejanggalannya. Tugasan yang sering disandang setiap kali program2 motivasi dan program2 kemasyarakatan ketika menuntut di universiti suatu masa dulu. Subhanallah Maha Suci Allah yang mengizinkan proses pentarbiyahan berlaku sepanjang tempoh pembelajaran, walau bukan secara formal tetapi pengalaman itulah yang lebih bermakna. Dan kini mereka juga sedang melaluinya. Proses pembelajara secara praktikal untuk menguruskan sesebuah program, jatuh bangunnya, kejayaan dan kegagalannya akan menjadi pengalaman berharga buat mereka.

Jika dulu di depan saya adalah adik2 yang masih di dalam lingkungan umur yang sama, remaja, tetapi kini di depan saya adalah kategori umur anak2 sendiri. Melihat dalam2 wajah peserta2 program seolah2 melihat anak2 saya sendiri. Ya Allah! tunjukkan jalan yang lurus kepada mereka, bantulah mereka melalui perjalanan hidup yang masih panjang. Bezanya kini kerana saya seorang ibu. Bahasa mereka adalah bahasa anak2 saya, senyuman di bibir mereka adalah senyuman anak2 saya juga.

Di pagi yang dingin dan tenang, tema program kali ini ialah membina ukhuwah mencipta sejarah menjurus kepada merapatkan lagi hubungan antara ahli kumpulan yang tersedia terjalin. Sesi ceramah yang memfokus kepada peranan solat dalam membentuk kehidupan dan menanam kecintaan kepada ar Rasul saw menjadi santapan hati anak2 sebelah pagi. Manakala sesi sebelah petang adalah sesi latihan dalam kumpulan (LDK) membincangkan topik2 semasa masa kini yang perlu diperjelaskan fungsi dan peranannya secara betul agar difahami dan tidak disalahguna. Pengolahan dan penyampaian mesej bergantung kepada kreativiti fasilitator dengan mengambil kira faktor umur peserta. Melihat secara keseluruhan program yang hanya berlangsung sehari ini cuba dioptimumkan sebaik mungkin oleh pihak penganjur supaya setiap ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk proses pembelajaran. Juga berlangsungnya proses perkongsian ilmu dan pengalaman antara peserta dan fasilitator yang menjadi input berguna bukan sahaja kepada para peserta malah juga semua pihak yang terlibat. Semoga usaha ini mendapat limpahan rahmatNya dan generasi Islam akan terus terdidik dan terpelihara untuk mencipta semula sejarah kegemilangan Islam.

Tamatnya program bukan bermakna berakhirnya satu proses pembelajaran tetapi ianya akan terus berlangsung dalam sebuah kehidupan samada disedari atau tidak sehinggalah detik terakhir kita di bumi sementara ini.Semoga cahaya kebenaran akan terus menyinari sepanjang perjalanan kehidupan ini.


December 21, 2010

December 06, 2010

1432H


"Hari ni 1 Muharam bermula tahun baru Islam.."ujar saya memulakan bicara kepada anak-anak.
"1 Muharram tu in english apa ummi..?"tanya si kakak, soalan yang memang saya dah jangka dari awal.
"What is the first month in a year..?"tanya saya semula
"January"jawabnya
"Jadi Muharam tu adalah first month dalam kalendar Islam..."terang saya lagi

"Istimewanya kalendar Islam tu di ambil sempena peristiwa Hijrah. Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah."

"Hijrah tu apa..?" tanya si kakak lagi

"Hijrah tu berpindah atau move, hmmm..transfer from one place to another place," mungkin lebih tepat fikir saya menggunakan istilah bahasa Inggeris bagi  memudahkan mereka memahaminya walaupun istilah Hijrah itu maknanya lebih luas. Keadaan yang semakin menggusarkan saya, semakin mereka membesar semakin kurang penguasaan Bahasa Malaysia walaupun kami sekeluarga menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan di rumah.

"Sebab orang kat Makkah tak suka dengan Rasullullah saw ke?"tanya si abang. Masa tu orang kafir Quraisy tak nak terima bila Rasulullah suruh sembah Allah, mereka nak bunuh Nabi saw. Maka bermulalah perjalanan mencabar Rasulullah saw dan sahabatnya Abu Bakar As Siddiq. Berceritalah kami mengingatkan kembali peristiwa Hijrah Rasul tercinta demi menegakkan Islam di muka bumi ini.

1432 tahun yang lalu berlakunya hijrah Nabi saw dan Khalifah Omar Al Khattab mencatitnya sebagai tahun bermulanya kalendar umat Islam. Banyak pengajaran dan hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa hijrah itu. Rasulullah saw berhijrah dari satu tempat yang menolak Islam ke satu tempat yang menerima baik malah mengalu-alukan kehadiran baginda saw. Berhijrah dari ancaman kepada kebebasan, juga berhijrah dengan dakwah tanpa kuasa kepada dakwah secara berkuasa. Hijrah yang menjadi titik tolak kepada berkembangnya Islam ke seluruh pelusuk dunia, yang nikmatnya dapat dirasa sehinggalah ke hari ini.

Sering permulaan hijrah ini kita diseru menghayatinya, berusaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Menambah baik ibadat-ibadat seharian dengan meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri denganNya. Namun di samping amal2 fardhi itu terkandung juga tuntutan ummah lainnya. Persoalan yang selalunya membuatkan saya berasa kerdil. Mengambil semangat daya juang Asma' binti Abu Bakar ra yang berulang alik menghantar makanan kepada Nabi saw dan bapanya ketika berlindung di Gua Thur atau mencontohi akhlak Siti Khadijah bersama suami tercinta mengajak manusia menyembah Pencipta yang Esa. Terlalu jauh rasanya, namun merasa diri serba kekurangan hanya akan mengundang bisikan2 yang semakin menjauhkan diri dari Nya.  Sikap kepedulian terhadap nasib umat Islam hari ini yang sering tertindas seperti yang berlaku di Palestin sangat diperlukan bagi menyatakan umat akhir zaman ini adalah umat yang terbaik. Walaupun mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan namun sebagai individu muslim kita boleh menyumbang hatta doa menandakan keprihatinan terhadap umat Islam lainnya. Bersama doa semoga kita terhindar dari fitnah akhir zaman dan semoga kemenangan akan menjadi milik umat Islam seluruhnya. Aminn..

December 01, 2010

Jalan-Jalan Hujung Minggu


Dari Riyadh ke Al Khobar

Cuti hujung minggu yang lepas kami berkunjung ke Al Khobar iaitu salah satu bandar pengeluar minyak dan juga bandar nelayan di Saudi Arabia yang terletak berhampiran  Dammam dan Dhahran iaitu kira-kira 4 jam perjalanan menaiki kenderaan dari Riyadh . Menariknya Al-Khobar ini ialah kedudukannya yang terletak di persisiran laut dan berhampiran dengan sempadan negara Bahrain. Jika dari Khobar kita boleh menyeberangi jambatan sehingga ke pintu masuk negara Bahrain tetapi visa diperlukan jika ingin memasuki negara tersebut. Cuaca di Khobar ketika ini sejuk dan  nyaman sesuai bagi mereka yang inginkan kelainan dengan panorama persisiran pantai yang cantik.  Bagi rakyat Malaysia, di sini terdapatnya Restoran Malaysian Kitchen yang menawarkan menu masakan Malaysia.



  
Menyusur jambatan ke Bahrain

Sampai di sini sahaja, pintu masuk ke Bahrain








Telur ayam

segar dan murah
sr7 sekilo
Padang pasir sepanjang jalan





Sungguh manusia dan alam tidak dapat dipisahkan ibarat walau di mana bumi di pijak di situ jualah langit dijunjung, walau sehebat mana alam di dekorasi bagi makna pembangunan, fitrahnya tetap akan kembali ke asal. Sentuhan manusia tidak akan menandingi sentuhan Nya mencipta sesempurnanya. Hanya sanya bagaimana manusia mengambil ibrah dari penciptaanNya untuk mendekatkan lagi diri denganNya.

November 12, 2010

9 Zulhijjah datang lagi


Arafah, 9 Zul Hijjah 1426
"Makcik dari mana?" sapa seorang teman saya kepada dua orang makcik yang kelihatannya dari Malaysia ketika malam pertama kami bermalam di Mina.

"Makcik ni dah terpisah dari kumpulan" balas salah seorang makcik tersebut.

Simpati, kami memberikan serba adanya bekalan makanan yang kami bawa. "Terima kasih nak, hanya Allah sahaja yang mampu membalas pertolongan anak2 hari ini." Ucap makcik-makcik tersebut ketika berpisah setelah ada wakil Tabung Haji yang datang setelah dihubungi melalui telefon bimbit milik salah seorang dari rombongan kami. Itulah antara salah satu peristiwa yang berlaku ketika kami sekeluarga menunaikan haji pada  musim haji 1426.

Coretan pengalaman menunaikan rukun Islam yang ke lima itu terpahat dan kembali segar setiap kali menjelangnya bulan Zulhijjah. Ketika itu kami menetap berhampiran Kuday, Makkah kawasan yang lebih dikenali sebagai tempat mengambil air zam-zam. Tahun tersebut merupakan tahun kedua suami menetap di Makkah, peluang tersebut kami ambil untuk menyertai jutaan umat Islam menjadi tetamu Allah. Bersama Nabil ketika itu berusia  4 tahun dan Nabihah 2 tahun, kami memulakan perjalanan pada pagi 9 Zulhijjah bersama rombongan keluarga dari Pattani yang telah lama menetap di Kota Makkah. Dengan mengoptimakan sepenuhnya kenderaan GMC yang telah lama berkhidmat kepada tuannya nyata membuktikan kekukuhan kenderaan tersebut apabila boleh memuatkan hampir 20 orang!


GMC ke Arafah


Kami sampai dalam kawasan Arafah beberapa jam sebelum masuknya waktu zuhur, kecekapan seluruh ahli keluarga tersebut terjelma bersama pengalaman mereka menunaikan haji setiap tahun. Saya terkesima melihat keupayaan salah saorang warga emas keluarga itu yang begitu gigih dan bertenaga menunaikan setiap tugasan ibadah tersebut. Dari Arafah kami menuju ke Muzdalifah sebentar hanya untuk mengutip batu-batu kecil memandangkan terdapat kanak-kanak dan warga emas yang turut serta.

"Nak susu, nak susu!" teriak Nabil sambil menangis sejurus sahaja kami  mendapat tempat berdepan dengan jamrat untuk bermalam pada malam itu. Tangisannya tenggelam dalam ribuan umat manusia pada malam itu.

Labbaikallah humma labbaik...bersama niat yang satu, jutaan jiwa sangat berkehendak dan mengharapkan rahmat dan keampunanNya, menyerahkan seluruh jiwa dan raga semoga dengan tertunainya rukun Islam kelima itu seolah melahirkan seorang insan baru kedunia. Bersih tanpa noda dan dosa. Menjejaki jejak Rasulullah dan para sahabat menunaikan perintah Allah bagi yang berkemampuan. Segala kepayahan, kesukaran dan sebagainya tenggelam dalam kesungguhan ibadat kepadaNya. Peluang yang bukan mudah untuk diperolehi tidak harus diremehkan dengan permasalahan. Pelbagai ragam manusia dari pelbagai tempat, rencam budaya, bahasa dan tatacara berhimpun atas nama agama yang satu. Berbaik sangka, bertolak ansur dan segala sifat kebaikan sangat diperlukan bagi menongkah bisikan jahat yang boleh mengurangkan pahala ibadah kepadaNya. Ya Allah! terimalah taubat hambamu.. 

“Barangsiapa yang berusaha menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah pula akan menunaikan hajatnya” [Riwayat al-Bukhari]

October 31, 2010

Secawan teh pengubat rindu


Rehat minda
Pemandangan hijau di sana sini, mesra disapa hembusan angin yang mendamaikan, bunyi rintik hujan jatuh di malam hari seakan alunan irama mengasyikkan, sayup kedengaran kokokan ayam menjelang dinihari, bersama kehangatan hubungan kekeluargaan yang erat terjalin, seolahnya melerai suatu simpulan. Gabungan hubungan manusia dan alam yang menghasilkan suatu formula terapi..terapi emosi dan hati.

Kepulangan kami kali ini ke Malaysia membawa seribu makna. Pertemuan setelah dua tahun terpisah oleh jarak dan masa, juga pertemuan Raihanah dengan saudaranya kerana ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Malaysia setelah 2 tahun lahir ke dunia. Tidak banyak yang dapat diungkap dengan kata-kata, hanya mampu di rasa oleh perasaan yang begitu merindui keluarga dan tanah air tercinta. Melihat dalam-dalam wajah-wajah yang jua merindui kami tak sanggup rasanya untuk berpisah lagi, namun apakan daya, tuntutan hidup mengajar kita untuk terus berada di alam realiti tidak fantasi. Jika terpisah di dunia dengan izinNya kita akan bertemu kembali, namun jika terpisah jasad dan nyawa semoga bertemu kembali di negeri abadi, itulah lumrahnya alam..janji Pencipta, tiada yang kekal melainkan Dia. Semoga kehidupan ini membawa kita kepada kehidupan yang lebih baik di sana nanti.

Bersama tuntutan dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan, kami cuba sedaya upaya untuk mengoptimakan percutian agar dapat dirasai keseronokan berada di negara sendiri terutama oleh anak-anak yang membesar di hutan batu di tengah-tengah padang pasir. Mereka membesar dalam ruang lingkup sosio budaya yang jauh daripada apa yang saya dan suami lalui  ketika zaman kanak-kanak. Membawakan pengalaman ke dalam hidup mereka agar merasai sendiri manisnya gula dan pahitnya hempedu. Mengenal alam sekeliling bumi Malaysia, mengenal saudara mara satu keturunan, perkenalan yang diharapkan akan membawa mereka kepada mengenal Pencipta yang Maha Kuasa.

Mungkin kerana lama berkelana, setiap yang ditemui seolah menggamit kenangan. Maka apa sahaja walaupun biasa dipandang penuh rasa. Mungkin inilah fitrahnya manusia berkehendak kepada yang tiada, bila sudah di depan mata hilanglah rasa segalanya biasa. Semoga rasa itu tetap terpelihara dengan niat hanya kerana Dia, memberi izzah ke dalam jiwa yang sentiasa mengharapkan rahmat dan kasihNya.

Dari selatan ke utara
Sambil menyelam sambil minum air mungkin pepatah melayu yang paling tepat untuk menggambarkan percutian kali ini. Sambil berjumpa kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai sambil menikmati buah-buahan dan makanan tempatan, sambil juga menikmati keindahan alam anugerah Maha Pencipta. Destinasi percutian ke Cameron Highland sangat mendamaikan, pemandangan hijau hutan dengan flora dan faunanya ditambah dengan suhu sekitar yang sejuk dan nyaman. Perjalanan yang bukan sahaja untuk dinikmati tetapi banyak yang boleh dipelajari. Inilah rain forest kata saya pada anak-anak yang termangu-mangu dan asyik bertanya bila nak sampai. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam dari Kuala Lumpur. Mereka yang keletihan ditambah jetlag yang masih terasa mungkin rasa biasa sahaja disebabkan kepenatan melebihi perasaan ingin tahu, walaupun pada awalnya seronok untuk tengok sendiri hujan hujan yang selama ini hanya dilihat melalui gambar di buku teks sains. Jika kebiasaan pemandangan padang pasir terbentang luas menemani sepanjang perjalanan kami menuju Kota Makkah atau Madinah tapi kini pemandangan yang jarang sekali dilihat. Saya cuba merakam kembali ketika lawatan saya ke Cameron Highland sewaktu sekolah dulu kira-kira 20 tahun yang lalu, ternyata banyak yang telah berubah.


Air terjun Lata Iskandar


Ladang Teh Sungai Palas, Cameron Highland
 

Ladang Strawberry
 

Periuk Kera
 

Pokok Tomato, MARDI
   Lawatan sambil belajar, itulah istilah yang biasa digunakan oleh pihak sekolah bagi menyampaikan maksud untuk membawa murid-murid mengikuti rombongan sekolah. Bukan jalan-jalan sahaja tapi jalan-jalan ada makna dan tujuan. Namun bergantung juga kepada guru untuk menimbulkan kesedaran pada anak-anak muridnya bahawa melawat sambil menggerakkan deria rasa dan fikir. Inilah dia pokok anggur, yang tu pokok tomato terang saya pada anak-anak laksana guru memberikan penerangan. Mereka mengangguk mengiyakan termasuk Raihanah. Lawatan ke Pusat Mardi banyak memberi informasi mengenai tumbuh-tumbuhan yang boleh dipelajari terutama bagi pelajar di peringkat menengah.

Perjalanan kami teruskan ke utara tanah air iaitu ke taman tema air Bukit Merah Lake Town Resort. Keseronokan anak-anak mandi manda di samping melawat ke Animal Park yang membolehkan mereka melihat binatang-binatang yang dipelajari disekolah. Yang tu mammal sebab dia ada fur..saya senyum melihat gelagat anak-anak yang terlebih excited laksana pelancong asing, segan juga dengan pelancong tempatan yang kelihatannya biasa sahaja, barangkali ada yang berfikir takkan tak pernah jumpa..walaupun ayam dan kambing!
Kenangan..ada orang berkata kita tidak boleh terlalu memikir kenangan silam kerana ia akan membunuh masa depan, tetapi adakalanya dengan kenangan itu kita akan lebih terdorong untuk memacu masa depan. Lebih-lebih lagi kenangan yang mengingatkan kita pada sesuatu yang dekat atau rapat dengan diri sendiri. Hari ini akan menjadi kenangan pada anak-anak, dan semoga dengan kenangan itu akan menjadikan mereka lebih menghargai masa hadapan.



Saujana mata memandang
 

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang

Pick your own strawberries

Durian Cameron Highland

Vespa show
Syukur alhamdulilllah..ucapan yang selayakkan bagi menggambarkan anugerah Allah kepada hambaNya. Tidak akan terhitung walau segala ranting di bumi dijadikan mata pena dan air di lautan dijadikan dakwatnya. Nikmat Islam dan iman, nikmat kasih sayang, nikmat kesihatan dan berbagai lagi nikmat selalunya tidak kita sedari berada di sekeliling kita. Semoga apa sahaja yang dilakukan mendapat ganjaran pahala disisiNya.

October 18, 2010

Kerana Dirimu Sangat Berharga

Di bawah ini saya linkkan hasil tulisan saya beberapa bulan lalu yang ingin saya kongsi bersama pembaca dan peminat laman iLuvislam.com. Tulisan ini bukanlah sesuatu yang hebat namun ianya adalah cetusan hati yang terpanggil apabila saban waktu seolah-olah kita dicabar dengan permasalahan remaja yang saban hari dilaporkan oleh media. Mesej utamanya bukanlah kepada pembaca sebagai penerima tetapi lebih kepada diri saya sendiri sebagai pemberi untuk menjawab persoalan peranan dan tanggungjawab bagi menyatakan kepedulian terhadap permasalahan semasa ketika ini.

iLuvislam.com Discover the Beauty of Islam

October 03, 2010

Kembali ke sekolah

Setelah menghabiskan cuti sekolah musim panas selama lebih kurang 3 bulan (Jun hingga September), anak-anak kini kembali ke sekolah untuk sesi 2010/2011. Abang akan ke Grade 4 manakala kakak akan ke Grade 2. Sesi kali ini kami masih berkeyakinan untuk menghantar mereka ke sekolah yang sama iaitu al-Rowad International Schools. Al Rowad adalah  International Islamic School yang berteraskan kurikulum British dan Amerika di samping turut di ajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Salah satu yang menariknya sekolah ini terdapat unsur pendekatan islamik bukan sahaja dari segi mata pelajaran tetapi dari segi perlaksanaan. Walaupun tidaklah seislamik sekolah-sekolah agama atau tahfiz di Malaysia namun sekurang-kurangnya terdapat usaha ke arah menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri pelajar-pelajar contohnya sekolah akan mengadakan pertandingan menghafal surah-surah dalam Al Quran, membuat aktiviti yang menambah pengetahuan dan kecintaan kepada Rasulullah dan sebagainya. Persekitaran yang terkawal oleh pihak pengurusan yang efektif dan efisyen serta tenaga pengajar yang berkelayakan menambah keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka. Bagi memastikan kepercayaan itu pihak pengurusan perlu mengekalkan dan sentiasa menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

Itu sembang akademiknya bagaimana pula dengan pembangunan sahsiahnya. Jika falsafah pendidikan negara menetapkan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya, adakah ilmu yang diperolehi disekolah mampu membekalkan diri pelajar-pelajar dengan daya tahan dan daya saing yang kuat. Banyak pihak mengatakan gabungan peranan institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat adalah faktor penyumbang kepada keberhasilan individu yang seimbang iaitu bukan sahaja berilmu tetapi utamanya berakhlak dengan akhlak Islam. Inilah tugasan yang lebih mencabar. Cabaran dari pelbagai sudut, cabaran mengasuh dan kemudian mendidik malah cabaran untuk memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin. Persekitaran yang semakin rencam menanti mereka meniti zaman remaja dan seterusnya alam dewasa. Jika hendak dibanding dengan zaman persekolahan dulu banyak bezanya, jika dulu anak-anak ke sekolah untuk survival sebuah kehidupan supaya keluar dari kepompong kemiskinan, berada dalam fasa pembangunan negara, kini anak-anak ke sekolah untuk menjadi seorang yang berilmu, berada dalam fasa kemajuan bersama cabaran kepesatan teknologi yang hebat. Kebimbangan dan kerisauan yang sentiasa menerjah jiwa ibu bapa hari ini yang mahukan anak-anaknya menjadi insan berilmu yang soleh. Kerana itu pengakhirnya, bukan harta di bawa mati tetapi doa anak soleh yang akan mengiringi, semoga niat murni ini mendapat kemudahan dan pertolongan dari Nya.Amin..

September 22, 2010

Sambal Tempoyak Pucuk Ubi


Menu saya hari ini ialah sambal tempoyak pucuk ubi dan petai (gambar). Sambal tempoyak pucuk ubi atau pucuk kayu  ini sangat popular di kalangan orang-orang yang berasal dari Negeri Sembilan. Sebut sahaja sudah terbayang rasanya, aromanya yang menyelerakan apatah lagi di makan bersama nasi panas. Bertambah menariknya apabila menu ini dimasak oleh perantau yang jauh dari tanah air. Bukanlah sesuatu mudah untuk menghasilkan masakan tempatan di tempat orang. Bersama tempoyak, pucuk ubi, petai dan daun kunyit yang dibekalkan oleh mak, saya gabungkan untuk dimasak. Bak kata pepatah ikan di laut, asam di darat dalam periuk bertemu juga. Hasil mahsul dari bumi di Negeri Sembilan telah bertemu dalam periuk di Riyadh..hmm..

Jika ikut resepi asalnya menggunakan bukan sahaja pucuk ubi tetapi sejumlah pucuk antaranya daun kaduk dan pucuk labu. Tetapi memandangkan kesukaran untuk mendapatkan pucuk dan daun-daun yang lainnya, maka resepi ini dipermudahkan mengikut bahan-bahan sedia yang mudah diperolehi. Cara memasaknya mudah sahaja, pucuk ubi (segenggam), dua helai daun kunyit serta lima batang serai dihiris halus dibasuh dan toskan. Ikan bilis ditumbuk kasar, bawang merah dan putih dihiris. Di dalam periuk, masakkan santan, cili padi yang ditumbuk, ikan bilis, serai, bawang merah dan bawang putih serta kunyit. Masukkan  tempoyak, garam secukup rasa dan gula jika perlu. Setelah mendidih, masukkan pucuk ubi dan daun kunyit, kacau rata dan masukkan pula petai. Perlahankan api dan masak sehingga kelihatan pekat dan boleh dihidang. Selamat mencuba!

September 17, 2010

Eid Mubarak 1431 H

Selamat Hari Raya 1431 Hijrah

Assalamualaikum wbt...Salam Aidilfitri, maaf zahir batin kepada semua yang sudi mengunjungi laman blog ini. Maklum telah sekian lama saya tidak 'update' pengisiannya, banyak yang difikir, semakin teliti semakin terasa banyaknya kekurangan diri. Ada ketikanya datang juga idea nak menulis tetapi kekangan masa dan sebagainya sering terlebih dahulu mencuri perhatian..tapi atas alasan apapun tidak sepatutnya menjadi halangan untuk saya mencoretkan sesuatu walaupun ringkas untuk dikongsi bersama.

1 Syawal 1431 Hijrah kali ini saya, suami dan anak2 menyambutnya di Riyadh buat sekelian kalinya. Kali ini merupakan syawal ke 6 saya dan anak2 meraikannya diperantauan. Kami merancang tetapi Allah jua merancang tetapi perancangan dan ketentuan Allah itulah yang terbaik. Kepulangan kami yang dijangka akan menyambut syawal terpaksa diawalkan. Pertemuan kami bersama keluarga awal sebulan mengizinkan kami untuk berpuasa lebih kurang 20 hari di Malaysia. Namun bukanlah sesuatu yang menyeronokkan apabila kita yang telah terbiasa berkumpul bersama ahli keluarga untuk meraikan Aidilfitri tetapi terpaksa berjauhan, sekurang2nya akan ada kesan psikologinya. Begitu jugalah halnya kami sekeluarga. Walau bukan yang pertama namun kali ini hati saya lebih sayu. Mungkin atas beberapa faktor, juga apabila mengenangkan mak abah yang semakin berumur dan rapat dengan anak2 saya, keakraban kami adik beradik dan sebagainya menambah hiba di hati. Pulangnya kami di bumi padang pasir ini seolah meninggalkan sebahagian dari kami di Malaysia. Ditambah2 lagi seluruh umat islam akan menyambut hari kemenangan 10 hari lagi. Saya bungkam..namun membiarkan diri terus dilamun rasa yang tidak menggembirakan bukanlah sesuatu yang mengguntungkan apatah lagi pada malam2 terakhir ramadhan yang sepatutnya dihargai.

Syawal hadir jua...kami menyambutnya dengan penuh syukur dan seadanya. Alhamdulillah masih diberi peluang untuk meraikan hari kemenangan umat islam bersama harapan semoga akan bertemu Ramadhan ditahun2 mendatang. Masih banyak tanggungjawab yang belum terlaksana, masih banyak kekurangan yang belum tertampung..namun itulah sifatnya manusia, tidak akan pernah cukup hatta diberi 100 tahun lagi, ya Allah! ampunilah diri ini, ampunilah dan rahmatilah kedua ibubapa ku, jadikanlah kami insan yang sentiasa berusaha melaksanakan segala suruhan-Mu dan menjauhi larangan-Mu..amin.

June 27, 2010

Kerana Dirimu Sangat Berharga

                               sumber pict : http://www.iluvislam.com/

Saban hari ia dilaporkan
Seolah bukan lagi perkara mengejutkan
Walhal ia bukan persoalan biasa
Ia persoalan hukum, persoalan balasan hari kemudian
Jiwa kecil tidak berdosa menjadi taruhan nafsu tanpa batasan

Wahai jiwa!
Kembalilah kepada asalmu
Kembalilah kepada fitrah kejadianmu
Tanyalah pada diri ke mana akan dibawa masa depanmu
Andai pernah terjatuh dan tersungkur, bangunlah
Belajar agar tidak tersungkur lagi

Usah dicipta alasan untuk berubah
Usah juga akur pada lemah dan kurangnya diri

Bukankah manusia itu makhluk paling istimewa yang tercipta
Kerana padanya ada akal dan hati
Akal yang menimbang baik dan buruk
Hati yang melahirkan kehalusan jiwa
Hati memandu akal berfikir
Namun dalam hati perlu ada iman
Jangan dibiar tandus dan gersang

Usah juga akur pada bisikan yang melemahkan
kerana untuk menjadi nutfah, perlu yang terpantas, terkuat mengharung rintangan
Nah! kekuatan itu ada dalam setiap jiwa
Sayangi dirimu sebelum mengasihi orang lain

Yakinlah! Masih ada masa
Selagi roh belum terpisah dari jasad
Selagi sangkakala belum ditiupkan
Selagi pintu taubat masih terbuka
Namun, usah bertangguh
Mulakan dengan langkah pertama
Mulakan dengan nama Allah, Dia pasti bersama
Nikmatilah usiamu
Tapi bukan dalam dosa dan noda
Berusaha bukan berdiam
Bertindak bukan menanti
Kerana syurga itu mahal harganya
Juga
Kerana dirimu sangat berharga…


by Ummu Nabil, Jun 2010, Riyadh KSA.

June 07, 2010

Riyadh, suhu ketika ini sudah mencecah 45 C sebelah siang, membawa makna musim panas sudah menjelma. Hari ini juga merupakan hari persekolahan terakhir anak2 bagi sessi 2009/2010. Maka mereka akan menjalani ‘summer vacation’ selama lebih 3 bulan di Riyadh buat pertama kalinya yang sudah pasti berbeza dengan summer vacation ketika di Abha pada tahun2 sebelumnya. Bahangnya sudah mula terasa, siang bukanlah masa yang sesuai untuk aktiviti outdoor. Pulang ke Malaysia..insyaAllah tahun ini kami merancang untuk memberikan pengalaman manis kepada anak2, pulang beraya dikampung. Meraikan hari kemenangan di kampung halaman, manakala bagi Raihanah pasti ini agak mendebarkan kerana buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke tanah air yang tidak pernah dikenalinya. Namun dalam segala urusan hidup yang berlangsung seharian perlu juga ditoleh kiri dan kanan, depan dan belakang kerana masih ada tanggungjawab dan keprihatinan yang menanti.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim].

Traffik sebelah petang

Terasa bahangnya

Bangunan tertinggi di Riyadh, Kingdom Tower

Pokok kurma ditengah bandaraya

panas maka lawannya sejuk, koktail dan tabakat

Nabihah dan kawan2 Malaysian

Nabil dan kawan2 Malaysian

Grade 3 Red Knights, Al Rowad Int.

Grade 1 Violet Tressure Chest,Al Rowad Int.