Pages

November 08, 2015

Rehlah Yang Menyegarkan



Menjadi tradisi orang arab gemar ber 'picnic' atau berkelah sambil menghirup gahwah atau kopi arab terutamanya ketika berakhirnya musim panas dan musim sejuk mula menyapa. Kami juga tidak ketinggalan, alah bisa tegal biasa, seolah menjadi salah satu terapi yang menyegarkan. Mungkin juga kerana cara hidup disini yang agak tertutup jika dibanding dengan di Malaysia yang punya ruang atau halaman di luar rumah. 


Jika pada musim sejuk mereka akan berpicnic dipadang pasir membina khemah dan unggun api. Tradisi turun temurun yang diwarisi sejak sekian lama dan masih diamalkan sehingga ke hari ini cuma mungkin turut mengalami modenisasi sesuai dengan keadaan hari ini. 

Boleh juga jika digunakan kata rehlah, rehat sambil berkelah bersama ahli keluarga dan rakan taulan. Merehatkan fizikal dan minda sambil menikmati keindahan alam malah turut boleh merapatkan hubungan silaturrahim. Mana-mana  kawasan boleh menjadi kawasan berpicnic, dari di tengah padang pasir, di tepi highway hinggalah di taman taman permainan yang terhampar rumput hijau atau di atas gunung. Semasa di kami di Abha terdapat satu  kawasan picnic yang sering menjadi tumpuan iaitu di luar pagar Lapangan Terbang Abha, duduk berpicnic sambil memerhatikan kapal terbang yang berlepas dan mendarat! 





Bukanlah sesuatu yang pelik jika ternampak keluarga berpicnic membentang tikar atau karpet dan duduk bersama. Masuk sahaja waktu solat mereka akan terus solat, jika tiada masjid berhampiran maka tikar atau karpet tadi akan menjadi alas sejadah. Air untuk berwudhu bukanlah menjadi masalah besar, samada sentiasa menjaga wudhu atau akan menyediakan air di dalam botol untuk berwudhu, praktikal, mudah dan mesra ibadah. Ibadah solat bukanlah sesuatu yang membebankan. 

JIka dilihat tabiat ini secara relatifnya boleh di kaitkan dengan ibadah haji dimana jemaah haji akan bermalam di mina, tinggal dikhemah, solat apabila masuknya waktu solat. Mereka mempraktikkan dalam kehidupan seharian.  Mungkin ia boleh menjadi salah satu cara untuk melalui hari-hari seterusnya dengan lebih ceria. Kebiasaan ini mungkin turut didorong oleh faktor keselamatan yang agak tinggi disini, walau pun yang berpicnic itu warga asing yang datang mencari rezki, tidak menjadi masalah untuk sama-sama menikmati hidup seperti warga tempatan asal pandai membawa diri dan musibah usah dicari. 

September 15, 2015

Assalamualaikum wbt..alhamdulillah sehingga ke saat ini masih diberi peluang untuk bernafas di bumi Allah ini..insyaAllah sy akan update entry setelah lama berehat. Banyak kisah kehidupan yang ingin saya coret dan kongsikan di sini, insyaAllah. Semoga Allah memberi kekuatan untuk saya menulis dan semoga ianya memberi manfaat kepada pembaca. Aamiin..

April 24, 2012

Melihat dengan mata hati

Kembara kali ini membawa kami ke utara Saudi Arabia. Memulakan perjalanan dari Riyadh menuju ke Madinah dan seterusnya ke Al Ula yang terletak kira-kira 380km dari Madinah, merupakan sebuah pekan yang menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Berhampiran dengan pekan tersebut iaitu kira-kira 20 km terletaknya Madain Saleh iaitu satu kawasan yang dipercayai pernah didiami oleh kaum Nabi Salleh as, juga lebih dikenali sebagai kaum Thamud sepertimana yang termaktub di dalam Al Quran. Selain itu ia juga dikenali sebagai Al Hijr (bukit berpasir).

Bandar Al Ula dari atas bukit
Di dalam Al Quran banyak kisah menceritakan kehancuran bangsa-bangsa (kaum) yang tidak mahu beriman kepada Allah SWT. Di antaranya, bangsa 'Ad (umat Nabi Hud), kaum Tsamud (umat Nabi Saleh), bangsa Madyan (umat Nabi Syu'aib), kaum Nabi Ibrahim as, serta kaum Nabi Nuh as.
Umat Nabi Saleh as, yaitu kaum Tsamud dihancurkan kerana mereka tidak mau beriman kepada Allah SWT dan tidak mengakui Nabi Saleh as sebagai seorang Nabi. Mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang menggegar sehingga meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka.

Sebelum mereka dibinasakan bangsa Tsamud ini diperintahkan untuk menyembah Allah dan mengikuti ajakan Nabi Saleh as. Namun, mereka enggan melakukannya. Bahkan, ajakan itu  dianggap menghina kaum Tsamud. Lalu, ketika diuji dengan diberikan seekor unta betina yang kemudiannya mereka membunuhnya. Kemudian, Nabi Saleh memperingatkan umatnya.
“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Saleh ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya. Mereka menjawab dengan berkata: “Wahai Saleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dikalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya”.   [Hud : 61-62]
“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarlah dia mencari makan dibumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya.” Mereka kemudiannya menyembelih untu itu, lalu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: “Bersenang-senanglah kamu ditempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah satu janji yang tidak dapat didustakan”. Maka tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Saleh berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa. [ Hud:64 - 66]
Batuan yang dipahat untuk dijadikan tempat tinggal
Kaum Nabi Saleh memilih untuk tidak beriman kepada Allah swt lalu mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang menggelegar sehingga meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka.
Dan orang-orang yang zalim itu,dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur ditempat tinggal masing-masing. (Mereka punah ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.  [Hud:67-69]
 Tempat menyimpan mayat
Dan demi sesungguhnya, penduduk “Al-Hijr” telah mendustakan Rasul-rasul, Dan Kami telah berikan mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya), Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, pada waktu pagi. Maka apa yang telah mereka usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikitpun. [Al Hijr : 80 – 84]
Kerajaan Nabateans yang berpusat di Petra, Jordan kemudiannya menduduki Madain Saleh.  Mereka membina rumah daripada batu batan yang dipahat yang kemudiannya dijadikan tempat menyimpan mayat. Sisa tinggalan kehancuran kaum Thamud boleh dilihat sehingga ke hari ini. Kami beristigfar memohon keampunan daripada Allah swt, sungguh kehinaan itu adalah kesudahan bagi kaum yang sombong dan ingkar.


Salah sebuah istana
Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan) [Al Hajj: 45]
SubhanaALlah…Alhamdulillah…Allahu Akbar…
Jabal Al Fil - Elephant Rock, al Ula
Oleh itu bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.[Al Hajj: 46]


Mereka telah meninggalkan sisa-sisa yang boleh dilihat sehingga ke hari ini, kisah mereka termaktub di dalam Al Quran menjadi pedoman kepada umat sehingga hari kiamat. Semoga Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayahNya serta memelihara iman yang ada agar dengannya tidak menjadikan kehinaan sebagai kesudahan sebuah kehidupan.
"Maha Suci Allah yang ditangan-Nya lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" [Al Mulk: 1 -2]

December 18, 2011

Alhamdulillah, syukur ucapan yang sering saya ingatkan pada anak-anak setiap kali mengejutkan mereka bangun dari tidur. Walaupun telah melatih mereka sejak kecil sehingga kini saya masih perlu mengingatkan mereka, berulang dan berulang.

Proses mendidik yang tidak ada jalan singkat, walau ada kalanya menguji kesabaran. Tetapi jika difikir semula bukan sahaja anak-anak malah yang telah dewasa juga perlu sentiasa diingatkan walau hakikatnya banyak yang telah atau pernah diketahui. Insan yang lupa, perlu sentiasa kepada peringatan. Usai solat Maghrib berjemaah bersama anak-anak sementara menunggu abah mereka pulang dari kerja, saya kira waktu dan ketika yang paling sesuai untuk sedikit muhasabah, peringatan dan perkongsian walau hakikatnya ianya lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang ibu.

"Ya Allah! Bantulah hambaMu untuk mendidik amanah yang Engkau kurniakan ini dengan sesungguhnya, tiada yang lebih utama dan tujuan selainnya hanya keranaMu Ya Allah!, tunjukkanlah kami jalan yang benar, berilah kami kekuatan, janganlah Engkau campakkan ke dalam hati kami sifat lalai dan leka dalam melaksanakan tugas ini, jangan Ya Allah,  Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah Rahmat dari sisiMu,  terimalah ibadah kami ini dan jauhkanlah kami dari tipu daya syaitan yang menyesatkan, janganlah Ya Allah, Engkau bebankan kami beban yang tidak sanggup kami memikulnya, jauhkanlah kami dari fitnah dunia dan segala kejahatannya serta perliharalah kami dari siksa nerakaMu. Kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil, hanya Engkau (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkau sahajalah tempat kami meminta pertolongan."

December 06, 2011

1 Disember 2011, perjalanan umrah kali ini ketika musim sejuk. Kami sampai di Taif kira-kira pukul 4.30 pagi, suhu sekitar 6 darjah celcius. Tiba di Makkah pada pukul 8.30 pagi. Suasana di Masjidil Haram agak lengang ketika mengerjakan tawaf umrah, ramai jemaah haji telah meninggalkan kota Makkah usai mengerjakan haji. Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah swt yang mengizinkan kami untuk melaksanakan ibadah umrah ini.


Kilang zam-zam di Kudai, Makkah


w



Allah mengatur setiap urusan makhlukNya, hukumNya berlaku untuk mereka sesuai dengan hikmah dan keutamaanNya, dan berlaku untuk mereka sesuai dengan hikmah dan keadilanNya. Allah tidak berbuat zalim kepada seorang pun.

"Kami tidak berbuat zalim kepada mereka tetapi merekalah orang-orang yang berbuat zalim terhadap diri mereka sendiri." (Az Zukhruf:76)

Dan sesungguhnya kerosakan hati dan iman itu lebih besar, lebih dasyat dan lebih buruk akibatnya daripada kerosakan dunia. Kerana bila kerosakan dunia itu menimpa manusia, kerugiannya hanya kerugian dunia dan tidak kekal, sedangkan kerosakan agama kerugiannya didunia dan akhirat.

"Katakanlah: 'Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat.' Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata." (Az Zumar :15)

-Petikan edaran tulisan Syeikh Muhammad bin Shaleh Al-Utsaimin

November 29, 2011

Seimbang Kehidupan

"Dear Parents: No School Tomorrow Tuesday 29th Nov for all students due to the weather conditions."

Mesej sebegini telah beberapa kali diterima semenjak anak-anak bersekolah di Riyadh. Hari persekolahan dibatalkan kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Seingat saya ketika zaman persekolahan di Malaysia dahulu tidak pernah ada hari persekolahan dibatalkan kerana hujan lebat kecuali kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir. Hujan sebelah pagi bermakna perlu meredah kesejukan serta baju dan kasut yang mungkin basah terkena air hujan. Sejuknya memang terasa tetapi tidaklah sehingga perlu memakai jaket ke sekolah.

Berbeza di sini, ketika menjelangnya musim panas dan ketika menjelangnya musim sejuk akan ada perubahan-perubahan cuaca yang tidak menentu. Hari ini 29 November, hujan turun renyai-renyai sepanjang hari. Suhu menurun sehingga 7 darjah celcius, sejuknya terasa. Ketika ini pemanas udara, pemanas air mula berfungsi sepenuhnya setelah direhatkan selama musim panas yan g lalu. Menyeimbangkan persekitaran  agar kekal pada suhu yang sesuai.

Safe Heat Oil Filled Radiator Heater
 Sifat kesimbangan ini samada secara sedar atau tidak banyak mempengaruhi kehidupan kita. Dari hal makan dan minum sehinggalah kepada mencorak sebuah kehidupan. Islam yang syumul  menyeru umatnya  kepada yang seimbang (tawaazun) dalam menjalani kehidupan dunia dengan nilai-nilai ukhrawi.

"Dan carilah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah swt kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada mu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah swt tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al Qasas:70)

Semoga kedatangan tahun baru, 1433H ini akan menyedarkan kita tentang umur dan masa yang telah berlalu, menekuni kesilapan seterusnya berhijrah ke arah yang lebih baik dan semoga dengannya akan mendapat penghayatan Islam yang lebih kukuh dan ibadah yang lebih sempurna.

November 20, 2011

Nabil, belakang sebelah kiri - gambar kredit Ummu Amirul Mukmin
Ketika usianya kira-kira 2 bulan, kami telah menghantarnya ke rumah penjaga yang mesra dipanggil Wan Ani. Bersama beberapa orang kanak-kanak lain, Nabil merupakan yang paling muda. Setiap pagi saya akan menghantarnya bersama sebuah beg berisi tiga pasang baju, lampin pakai buang, dan susu yang akan digunakan seharian. Lewat petang selesai tugas di pejabat dan setelah menempuh kesesakan jalan saya mengambilnya pulang ke rumah. Pernah suatu hari saya lewat mengambilnya, pada usia kurang setahun, dia merajuk tidak mahu pulang bersama, ketika itu terasa kesedihan apabila anak yang usianya belum pun sampai setahun sudah mengerti makna kasih sayang dan perhatian seorang ibu.

Hari ini dia berusia 10 tahun, semoga membesar sebagai anak yang soleh, berjaya di dunia dan akhirat, jejakilah para Rasul dan Sahabat memelihara deen ini dengan sesungguhnya. Bukanlah kejayaan dunia ini yang hakiki namun akhirat juga yang kekal abadi. Pandanglah kehidupan dengan pandangan hati yang punya iman, nescaya akan hadir bersamanya ketenangan. Semoga Allah swt sentiasa memelihara dan merahmati perjalanan kehidupanmu, anakku.

Ummi dan abah sayangkan Nabil.

November 15, 2011

Iman Mutiara



Pulang dari sekolah, ketika sedang menikmati makanan tengaharinya si kakak bertanya,

“Ummi, kenapa syaitan tu tahu Allah yang jadikan, tapi syaitan tak belief in Allah”

Saya terkedu sebentar, barangkali hari ini ada tajuk mengenai Pillar of Iman bagi subjek Islamic Studies, soalan yang tak sempat nak ajukan pada teachernya mungkin.

“Syaitan tahu Allah swt itulah Tuhan Semesta Alam yang jadikan semuanya, tapi tak mahu taat apa yang Allah swt perintahkan, sebab masa Allah swt perintahkan supaya tunduk pada Nabi Adam as, manusia pertama yang Allah swt jadikan, semua malaikat tunduk kecuali syaitan sebab syaitan kata dia diperbuat dari api, sedangkan Nabi Adam as dari tanah. Disebabkan kesombongan syaitan itu Allah swt murka, tetapi syaitan berjanji akan menyesatkan umat manusia sampai hari kiamat.” Jelas saya

“Macam tu..” balasnya sambil mengangukkan kepala

“Jadi janganlah kita jadi kawan syaitan sebab syaitan nak cari ramai kawan supaya boleh sama-sama masuk neraka tapi lepas tu syaitan akan berlepas tangan.”sambung saya lagi

Kisah dalam Al Quran (surah Al-A’Raaf : 11-18)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam),lalu Kami bentuk tubuhmu,kemudian Kami katakan kepada para malaikat:“Bersujudlah kamu kepada Adam”,maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. 

Allah berfirman:“Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu? “Menjawab iblis “aku lebih baik daripadanya:Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Allah berfirman:“Turunlah kamu dari surga itu;karena kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya,maka keluarlah,sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.

Iblis menjawab:“Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.

Allah berfirman:“Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”

Iblis menjawab:“Karena Engkau telah menghukum aku tersesat,aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka,dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).

 Allah berfirman:“Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu,benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.

Setelah berjaya menghasut manusia, syaitan akan berlepas tangan;

“Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu. Sesungguhnya Allah swt telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiada bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku dengan-Nya.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim(yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (Ibrahim : 22)

Dan ini pula janji Allah kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebaikan;

“Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh, ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; ucap selamat sentiasa mereka dapati (dari Malaikat) di dalam syurga-syurga itu.” (Ibrahim : 23)

Semoga kita sentiasa dilindungi daripada Syaitan laknatullah.

November 13, 2011

Memberi makna pada yang ada makna

Pemandangan dari tingkat 11 Faisaliyah Tower
Riyadh kini semakin terasa kesejukannya. Suhu disebelah pagi sekitar 15 darjah Celcius. Anak-anak juga telah mula memakai jaket ke sekolah. Tahun ini merupakan tahun ke 3 kami menempuh musim sejuk di Riyadh ini. Setiap tahun sekiranya masih boleh digunakan lagi, kami gunakan sahaja baju-baju sejuk yang ada. Jika perlu hanya membeli sehelai dua untuk anak-anak yang semakin membesar.

2 malam lepas suami membawa kami sekeluarga makan malam di restoran yang terletak di tingkat sebelas bangunan Al Faisaliyah, salah satu mercu tanda di Riyadh ini. Pada tarikh ulangtahun perkahwinan kesebelas, 11 November 2011, jika menurut kalendar  Islam ianya jatuh pada 15 Dhulhijjah 1432H. Bukanlah kerana digitnya tetapi kerana peristiwanya yang memberi makna.   Memetik kata-kata ustaz Hasrizal di dalam blognya "11/11/11 tidak seharusnya memberi sebarang makna kepada setiap kita yang aqidah, pandangan hidup dan sistem nilainya adalah al-Islam."

Sebetulnya bukanlah menjadi tradisi kami untuk menyambut sebarang ulangtahun,cukup sekadar tanda ingatan kepada hadirnya sesebuah peristiwa istimewa dalam keluarga. Apatah lagi di awal fasa berumahtangga, untuk menikmati makan malam bersama buffet yang beraroma jauh sekali. Bersama gabungan gaji suami sebagai jurutera dan saya sebagai pensyarah kolej setelah ditolak bayaran bulanan kereta, sewa rumah, upah penjagaan nabil ketika itu,belanja bulanan sehingga tibanya hujung bulan, sekadar secukupnya. Alhamdulillah itulah rezeki kami sekeluarga.

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya (Al-Baqarah :172)

Bersyukur dengan rezeki yang kurniakan, sedikit atau banyak bukanlah syaratnya kerana jika dihitung nikmat –nikmat tersebut pasti tidak akan terhitung.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada suami yang menyantuni isteri dan anak-anaknya ini. Namun terasa juga gusarnya janganlah hendaknya anak-anak ini terbiasa dengan segala yang selesa. Pasca anak-anak zaman sekarang yang jauh berbeza dengan zaman saya di zaman kanak-kanak. Suasana pembesaran ketika itu secara automatik menjadi pembelajaran kepada kami adik beradik. Melihat abah yang bekerja keras mencari duit menyara kami, mana mungkin untuk meminta-minta sedang ada banyak keperluan yang lebih utama. Berbeza kini, anak-anak tidak melihat suasana kepayahan itu. Tidaklah juga mudah untuk memahamkan mereka suasana orang dulu-dulu kerana mereka tidak melaluinya. Dalam konteks zaman yang semakin berubah, barangkali cara dan pendekatan juga berubah selagi ianya selari dengan syariat. Semoga Allah mengurniakan iman yang teguh kepada ibubapa menangani cabaran masa kini untuk mendidik anak –anak.

Dia-lah yang telah mengajarkan Al Quran. Dia-lah yang telah menciptakan manusia. Dia-lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima pernyataan. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu; dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu kayan masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikannya (membumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (Ar Rahmaan :2 – 9)

November 11, 2011

11 tahun yang berlalu

Alhamdulillah..tahun ini merupakan tahun ke 11 perkahwinan kami. Dikurniakan 3 orang cahaya mata amanah dari Pencipta. Sebelas tahun berlalu bukanlah bermakna asam garam kehidupan ini telah bertukar kepada manis sepenuhnya, ianya tetap sebuah kehidupan yang penuh dengan pembelajaran dan pengajaran. Belajar dari kesilapan akan memberi kita pengajaran semoga esok lebih baik daripada hari ini.

Mengimbas kembali serba ringkas pertemuan saya dan suami, Alhamdulillah prosesnya mudah dan ringkas. Bertukar-tukar maklumat diri melalui orang tengah, bertunang dan bernikah. Namun , debarannya pasti terasa, mengingat kembali kata-kata seorang teman, melangkahlah dengan lafaz Bismillah, insyaAllah semoga mendapat keyakinan dan dipermudahkanNya. Masakan tidak, proses perkenalan sebelum sah bergelar suami dan isteri tidaklah sama setelah segalanya terikat. Seribu satu macam persoalan hadir.

Siapalah saya untuk memastikan semuanya seperti yang dirancang atau yang impikan. Perasaan yang pelbagai, sekejap positif sekejap negatif. Mak abah dan keluarga tidak banyak bicara, semuanya ceria bakal menerima menantu pertama dalam keluarga, hanya saya yang memendam rasa. Bila direnung ayat-ayat Allah meredakan kerunsingan pengubat hati, jodoh pertemuan semuanya telah ditentukan. Berusahalah dan berbaik sangkalah, insyaAllah Allah permudahkan. Utamanya niat yang hadir di dalam hati keranyaNya semata. Hanya Dia yang Maha Mengetahui ..saya pasrah.

Usai 11 tahun ini, saya bersyukur dengan segala ketentuanNya. Asam garam, pahit dan manis alam berumahtangga mewarnai kehidupan. Pastinya tanpa bersandarkan kepada keimanan kehidupan manusia akan menjadi tidak keruan, terumbang ambing ibarat kapal yang hilang arah di lautan luas di malam yang gelap gelita.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘kami beriman, sedang mereka tidak diuji?” ( Al-Ankabut :2)

Banyak teori dan falsafah yang mungkin boleh kita gunakan untuk membantu melayari bahtera rumahtangga, namun keunikannya tersendiri kerana manusia itu sendiri diciptakan unik dengan segala kelebihan dan kekurangannya, yang membezakan satu manusia dengan manusia yang lain. Unik juga kerana susun atur sesebuah rumahtangga bergantung kepada cara pandang dan fikir seseorang. Mungkin oleh kerana itulah sebuah perkahwinan juga diibaratkan saling lengkap melengkapi, tampung menampung diantara satu sama lain.

Saya bukanlah yang terbaik untuk memberikan nasihat, sekadar berkongsi pengalaman. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui (dengan izinNya), semoga ikatan ini sentiasa terpelihara, diredhai dan diberkatiNya.

“Thank you Allah swt for sending this wonderful man into my life..for my husband thank you for being kindness and love- a great father to the children. May Allah swt grant you His Jannah..”