Pages

November 11, 2011

11 tahun yang berlalu

Alhamdulillah..tahun ini merupakan tahun ke 11 perkahwinan kami. Dikurniakan 3 orang cahaya mata amanah dari Pencipta. Sebelas tahun berlalu bukanlah bermakna asam garam kehidupan ini telah bertukar kepada manis sepenuhnya, ianya tetap sebuah kehidupan yang penuh dengan pembelajaran dan pengajaran. Belajar dari kesilapan akan memberi kita pengajaran semoga esok lebih baik daripada hari ini.

Mengimbas kembali serba ringkas pertemuan saya dan suami, Alhamdulillah prosesnya mudah dan ringkas. Bertukar-tukar maklumat diri melalui orang tengah, bertunang dan bernikah. Namun , debarannya pasti terasa, mengingat kembali kata-kata seorang teman, melangkahlah dengan lafaz Bismillah, insyaAllah semoga mendapat keyakinan dan dipermudahkanNya. Masakan tidak, proses perkenalan sebelum sah bergelar suami dan isteri tidaklah sama setelah segalanya terikat. Seribu satu macam persoalan hadir.

Siapalah saya untuk memastikan semuanya seperti yang dirancang atau yang impikan. Perasaan yang pelbagai, sekejap positif sekejap negatif. Mak abah dan keluarga tidak banyak bicara, semuanya ceria bakal menerima menantu pertama dalam keluarga, hanya saya yang memendam rasa. Bila direnung ayat-ayat Allah meredakan kerunsingan pengubat hati, jodoh pertemuan semuanya telah ditentukan. Berusahalah dan berbaik sangkalah, insyaAllah Allah permudahkan. Utamanya niat yang hadir di dalam hati keranyaNya semata. Hanya Dia yang Maha Mengetahui ..saya pasrah.

Usai 11 tahun ini, saya bersyukur dengan segala ketentuanNya. Asam garam, pahit dan manis alam berumahtangga mewarnai kehidupan. Pastinya tanpa bersandarkan kepada keimanan kehidupan manusia akan menjadi tidak keruan, terumbang ambing ibarat kapal yang hilang arah di lautan luas di malam yang gelap gelita.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘kami beriman, sedang mereka tidak diuji?” ( Al-Ankabut :2)

Banyak teori dan falsafah yang mungkin boleh kita gunakan untuk membantu melayari bahtera rumahtangga, namun keunikannya tersendiri kerana manusia itu sendiri diciptakan unik dengan segala kelebihan dan kekurangannya, yang membezakan satu manusia dengan manusia yang lain. Unik juga kerana susun atur sesebuah rumahtangga bergantung kepada cara pandang dan fikir seseorang. Mungkin oleh kerana itulah sebuah perkahwinan juga diibaratkan saling lengkap melengkapi, tampung menampung diantara satu sama lain.

Saya bukanlah yang terbaik untuk memberikan nasihat, sekadar berkongsi pengalaman. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui (dengan izinNya), semoga ikatan ini sentiasa terpelihara, diredhai dan diberkatiNya.

“Thank you Allah swt for sending this wonderful man into my life..for my husband thank you for being kindness and love- a great father to the children. May Allah swt grant you His Jannah..”

1 comment:

ruby said...

Selamat ulang tahun perkahwinan ke-11 buat angah tersayang..Terima kasih Allah kerana menganugerahkan hj.ahmad fauzi kepada angah...semoga kalian bercinta hingga syurga..

"wanita2 yg baik adalah utk lelaki2 yang baik, & lelaki2 yg baik utk wanita2 yang baik..."24:26