Pages

November 13, 2011

Memberi makna pada yang ada makna

Pemandangan dari tingkat 11 Faisaliyah Tower
Riyadh kini semakin terasa kesejukannya. Suhu disebelah pagi sekitar 15 darjah Celcius. Anak-anak juga telah mula memakai jaket ke sekolah. Tahun ini merupakan tahun ke 3 kami menempuh musim sejuk di Riyadh ini. Setiap tahun sekiranya masih boleh digunakan lagi, kami gunakan sahaja baju-baju sejuk yang ada. Jika perlu hanya membeli sehelai dua untuk anak-anak yang semakin membesar.

2 malam lepas suami membawa kami sekeluarga makan malam di restoran yang terletak di tingkat sebelas bangunan Al Faisaliyah, salah satu mercu tanda di Riyadh ini. Pada tarikh ulangtahun perkahwinan kesebelas, 11 November 2011, jika menurut kalendar  Islam ianya jatuh pada 15 Dhulhijjah 1432H. Bukanlah kerana digitnya tetapi kerana peristiwanya yang memberi makna.   Memetik kata-kata ustaz Hasrizal di dalam blognya "11/11/11 tidak seharusnya memberi sebarang makna kepada setiap kita yang aqidah, pandangan hidup dan sistem nilainya adalah al-Islam."

Sebetulnya bukanlah menjadi tradisi kami untuk menyambut sebarang ulangtahun,cukup sekadar tanda ingatan kepada hadirnya sesebuah peristiwa istimewa dalam keluarga. Apatah lagi di awal fasa berumahtangga, untuk menikmati makan malam bersama buffet yang beraroma jauh sekali. Bersama gabungan gaji suami sebagai jurutera dan saya sebagai pensyarah kolej setelah ditolak bayaran bulanan kereta, sewa rumah, upah penjagaan nabil ketika itu,belanja bulanan sehingga tibanya hujung bulan, sekadar secukupnya. Alhamdulillah itulah rezeki kami sekeluarga.

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya (Al-Baqarah :172)

Bersyukur dengan rezeki yang kurniakan, sedikit atau banyak bukanlah syaratnya kerana jika dihitung nikmat –nikmat tersebut pasti tidak akan terhitung.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada suami yang menyantuni isteri dan anak-anaknya ini. Namun terasa juga gusarnya janganlah hendaknya anak-anak ini terbiasa dengan segala yang selesa. Pasca anak-anak zaman sekarang yang jauh berbeza dengan zaman saya di zaman kanak-kanak. Suasana pembesaran ketika itu secara automatik menjadi pembelajaran kepada kami adik beradik. Melihat abah yang bekerja keras mencari duit menyara kami, mana mungkin untuk meminta-minta sedang ada banyak keperluan yang lebih utama. Berbeza kini, anak-anak tidak melihat suasana kepayahan itu. Tidaklah juga mudah untuk memahamkan mereka suasana orang dulu-dulu kerana mereka tidak melaluinya. Dalam konteks zaman yang semakin berubah, barangkali cara dan pendekatan juga berubah selagi ianya selari dengan syariat. Semoga Allah mengurniakan iman yang teguh kepada ibubapa menangani cabaran masa kini untuk mendidik anak –anak.

Dia-lah yang telah mengajarkan Al Quran. Dia-lah yang telah menciptakan manusia. Dia-lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima pernyataan. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu; dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu kayan masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikannya (membumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (Ar Rahmaan :2 – 9)

1 comment:

ruby said...

thanks angah update blog, hu2, saje snggah, skl ade new entry..semngat skt :-)