Pages

March 29, 2009

Yanbu, Badar dalam kenangan...

Kini baru kami ketahui sekarang ini ramai rakan2 dari Malaysia yang bekerja di Yanbu. Khabarnya jumlah mencecah ratusan juga. Mengimbas kembali kenangan, kami pernah menjejakkan kaki di Yanbu kira-kira 4 tahun lepas iaitu pada tahun 2005 semasa menetap di Madinah. Ketika itu tidaklah diketahui samada telah ada rakan dari Malaysia yang menetap di Yanbu. Jadi untuk menghabiskan masa dihujung minggu berangkatlah kami satu keluarga ke Yanbu di samping turut merancang untuk singgah melihat kawasan sejarah peperangan Badar.

Perjalanan bermula
Perjalanan dari Madinah mengambil masa lebih kurang 4 jam, di kiri kanan jalan pemandangan bukit bukau, pokok2 padang pasir yang cuma tinggal ranting2 kering sehinggalah kami sampai di kawasan di katakan tempat berlakunya peperangan Badar, berhenti sejenak untuk melihat kawasan yang meninggalkan sejarah kepada kemenangan Islam. Pada ketika itu tidak tergambar rasanya dapat melihat dengan lebih dekat sejarah yang selama ini hanya dibaca melalui buku2 sirah. Alhamdulillah diberi peluang untuk menziarahi kawasan bersejarah yang pernah menyaksikan perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat menegakkan Islam. Oleh kerana kawasan tersebut agak luas dan tiada tourist guide yang mengiringi kami, maka beberapa gambar dari internet diharap dapat membantu mendapatkan lebih gambaran mengenai kawasan peperangan Badar tersebut.


Secara ringkas, Peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Peperangan di antara kaum Muslimin dan Musyrikin Makkah yang sentiasa memusuhi dan menghalang tersiarnya Islam dengan pelbagai cara. Dalam peperangan ini kaum Muslimin hanya berjumlah 313 orang. Dari jumlah yang sebesar itu, yang menunggang kuda hanya 2 orang sahaja, yang menaiki unta hanya 70 orang dan yang selebihnya tidak berkenderaan. Jumlah pasukan Quraisy waktu itu lebih dari 1000 orang. Bergabung didalamnya sejumlah pemuka-pemuka Quraisy dan pahlawan-pahlawan mereka.

Masjid Arish

Sekitar Kawasan Badar

Kawasan Perang Badar 1(pic dr internet)

Dihari itu juga Allah menurunkan rahmat dan pertolonganNya kepada kaum Muslimin. Allah menurunkan sejumlah malaikat yang ikut berperang disamping kaum Muslimin. Kejadian ini dicatat oleh Allah dalam Al-Quran,

"Ingatlah, ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para Malikat: Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah pendirian orang-orang yang beriman, kelak akan aku jatuhkan rasa ketakutan kedalam hati orang-orang kafir. Kerana itu penggallah mereka dan putuskanlah tiap hujung jari mereka". (Al-Anfal:12)

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya”. (Ali Imran:123)

Kawasan Perang Badar 2 (pic dr internet)

Kawasan Perang Badar 3 (pic dr internet)

Akhirnya kemenangan di medan pertempuran Badar berpihak kepada kaum Muslimin. Maha besar Allah yang menunjukkan kekuasaannya, yang mana kaum Musyrikin sudah berkira-kira bahawa kemenangan akan menjadi milik mereka, mereka mempersiapkan segalanya demi menyambut kemenangan itu, tetapi akhirnya kebenaran tetap berada diatas kebatilan.
Dalam peperangan ini kaum musyrikin Quraisy terbunuh seramai 70 orang dan tertawan 70 orang. (Sahih Bukhari dari Barra’bin Azib) Kaum Muslimin yang gugur syahid pula hanya seramai 14 orang sahaja, 6 orang dari kaum Muhajirin dan 8 orang dari kaum Ansar.


Kawasan Makam Shohada Badar (pic dr internet)

Nama-nama Syahid Shohada Badar

Perang Badar merupakan “purnama” dalam sejarah kemanusiaan yang menerangi jalan para penempuh jalan. Perang Badar merupakan “purnama” yang bersinar dilangit dan diraikan oleh para malaikat. Para malaikat yang ikut serta dalam peperangan ini menjadi para malaikat yang paling utama. Perang Badar juga merupakan “purnama” dibumi dan dikalangan penduduknya. Orang-orang yang ikut serta benar-benar menjadi purnama yang cahayanya menerangi seluruh isi kehidupan mereka. Perang Badar merupakan “purnama” yang menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Sampai di Yanbu, sebuah bandar yang agak tenang, terletak berhampiran Laut Merah. Merupakan kawasan perindustrian dan berfungsi sebagai pelabuhan kedua penting selepas pelabuhan Jeddah. Sepanjang berada di Yanbu selama 2 hari 1 malam, melihat kawasan persisiran pantainya yang indah serta sekitar bandar Yanbu.

Jauh berjalan luas pandangan...perjalanan balik ke Madinah benar2 menguji kami, kami tersesat..tersalah pilih simpang yang sepatutnya menuju ke Madinah tetapi menuju ke Jeddah, makanya perjalanan menjadi lebih lama. Bagi sesiapa yang mempunyai pengalaman bermusafir di negara padang pasir ini pasti boleh membayangkan keadaan jalan raya di sini, tidaklah boleh disamakan dengan lebuhraya utara selatan di Malaysia, kurangnya penanda jalan, tiada hentian untuk melepas penat, tandas apatah lagi, sekiranya berjumpa pekan kecil ala pekan koboi pun sudah memadai untuk mengisi petrol dan membeli sedikit makanan. Kali ini perjalanan balik dikiri kanan terbentang padang pasir, pertama kali melihat tanda awas unta melintas! Akhirnya kami sampai juga di Madinah kira2 pukul 10 malam, syukur tidak terhingga....itulah antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan, dan itulah juga harga sebuah pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

2 comments:

Mrs.FHM said...

kak imah...
na penah dok yanbu...masa tu tahun 2007 ader 2 famili msia dok situ... yg bujang ader la 2-3 org chinese. skang ni dah ramai kan...

eh dlm gamba tu bihah kecik lg kan.

Ummu Nabil said...

ye ke na, tp masa g dulu rasanya takda lg org msia...la ni mmg ramai, boleh buat kelas ngaji bhs arab lagi..

bihah masa tu baru 1 tahun 8 bulan..tahun ni masuk 6 tahun, nikmatilah na masa sarah baby ni, nnt bila dah besar nak baby lagi..he he