Pages

March 03, 2009

Kemahiran keibubapaan elak anak terabai

Artikel yang menarik untuk dikongsi bersama.

Oleh Faridah Maludin
SEORANG ibu berkata: “Makcik dulu orang susah, nak menyara lima anak bersekolah, ditambah lagi dua anak saudara yang tinggal dengan makcik. Suami makcik hanya tentera dan selalu pula masuk hutan. “Bila suami pencen, kami dapat peluang sertai rancangan Felda. Masa itu anak semua masih bersekolah, yang sulung baru tingkatan empat. Makcik terus berdoa dan menanam azam sekolahkan anak hingga ke peringkat paling tinggi dan simpan duit untuk tunaikan haji.” Selepas 20 tahun, impian ibu itu tercapai di mana anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan manakala beliau dan suaminya dapat menunaikan ibadat haji pada tahun 80-an.

Kisah hidup tadi mempamerkan kepada kita bagaimana tekad seorang ibu mendidik dan membesarkan anak sehingga berjaya walaupun terpaksa melalui pelbagai kepayahan. Ramai ibu bapa mempunyai hasrat menggunung terhadap anak mereka. Bagaimanapun, apabila anak tidak memenuhi impian, terdengarlah keluhan: “Kenapa anakku tidak seperti yang diimpikan?” Selain menghukum diri sendiri atas kegagalan itu, ada juga ibu bapa menyalahkan anak kerana degil dan susah untuk dibentuk. Dalam menempuh cabaran globalisasi, pengalaman saja tidak mencukupi. Sebaliknya, ibu bapa perlu memiliki ilmu keibubapaan dalam mendidik anak cemerlang dalam semua aspek, sama ada rohani, mental dan fizikal. Ibu bapa yang berjaya dalam tugas mendidik anak sentiasa tenang dan yakin dalam tindakan mereka, lebih banyak memulakan langkah proaktif berbanding tindak balas reaktif.

Antara cara menjadi ibu bapa efektif ialah: Ibu bapa perlu mempunyai matlamat keibubapaan yang jelas. Jangan hanya mahu anak-anak cemerlang, sebaliknya gariskan nilai kendiri yang ingin dibina secara khusus seperti taat, bertakwa, sabar, pintar, kuat bekerja, jujur, positif, bermotivasi, berilmu dan istiqamah. Ibu bapa perlu menyedari bahawa tugas mendidik adalah amanah yang mesti dilaksanakan. Ini kerana manusia dijadikan oleh Allah dengan tujuan tertentu, maka sudah pasti matlamat keibubapaan itu tidak boleh lari dari apa yang telah ditetapkan dan mesti selari ke arah keredaan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:“Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)·

Sikap ibu bapa menjadi paksi yang akan menentukan kualiti anak. Keikhlasan, sikap positif, terbuka, sabar, prihatin, suka mendengar, tidak mudah menyanggah akan menyediakan iklim yang sihat untuk mendidik anak-anak. Sikap prihatin terhadap perkembangan anak, penampilan dirinya, sentiasa mengambil berat, selalu berbincang melahirkan hubungan yang mesra dan secara tidak langsung meningkatkan kepercayaan anak kepada ibu bapa. Kelainan peribadi anak-anak, faktor usia, pengaruh luar akan menyulitkan tugas untuk menjadi ibu bapa berkesan kerana berdepan dengan anak kecil tentulah tidak sama apabila ibu bapa berhadapan kerenah anak remaja. Apakah kemahiran diperlukan?

Ibu bapa perlu memahami sikap dan kemahuan anak yang inginkan perhatian dan saling berhubung (berkomunikasi). Ada kalanya anak menunjukkan sikap memberontak dan ibu bapa perlu mahir dalam tidak balas mereka. Masalah anak menjadi kronik disebabkan ibu bapa tidak memahami sikap anak dan suka melabel anak dengan nilai negatif. Kemahiran berkomunikasi iaitu boleh menyampaikan dan mendengar dengan berkesan. Dalam proses interaksi, ibu bapa adalah pemimpin yang patut mengemudi supaya suasana menjadi gembira, aman dan tiada tekanan.

Tingkatkan empati dan kesabaran dalam berkomunikasi, lebih-lebih lagi apabila berlaku konflik antara ibu bapa dan anak. Anak-anak mempunyai ragam dan perangai berbeza. Apabila timbul konflik, cara penyelesaian terbaik ialah duduk berbincang kerana kedua pihak tidak boleh mengharap pihak satu lagi memahami kehendak mereka. Beri peluang anak meluahkan perasaan dan jadilah pendengar yang baik. Ibu bapa perlu selalu mengukur diri bagi membentuk imej yang boleh menjadi teladan kepada anak kerana imej itu akan mempengaruhi perkembangan mereka.

Contohnya, bila kita bertanggapan bahawa kita seorang ibu atau bapa yang tenang, sabar dan sentiasa cuba mengawal diri, sudah pastilah perkara ini akan mencorakkan tindakan kita. Oleh itu ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik untuk anak membuat penilaian terhadap imej ibu bapa mereka. Jika imej terpancar itu positif, anak-anak akan mudah mendekati ibu bapa dan hubungan ibu bapa dengan anak akan terpelihara. Sentiasa memberikan anak motivasi. Ini bermakna ibu bapa perlu mempunyai motif, matlamat, niat dan niat untuk bertindak.

Ibu bapa perlu memiliki hasrat dan matlamat yang tinggi untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Perkara inilah yang akan mendorong ibu bapa berusaha untuk mencapai cita-cita. Terdapat banyak cara untuk meningkatkan motivasi ibu bapa seperti menjadikan kejayaan anak sebagai matlamat, iktiraf kejayaan yang dicapai, walaupun tidak sebesar mana, dan bersedia berkongsi masalah. Kesan globalisasi dan arus kemajuan masa kini boleh membawa padah kepada anak jika tiada kawalan.

Ibu bapa perlu peka dengan cabaran semasa. Keruntuhan akhlak generasi masa kini amaran yang akan terus menjadi buruk jika ibu bapa, sebagai sekolah pertama anak-anak, tidak mampu mendidik mereka melawan ancaman yang boleh merosakkan anak. Kesimpulannya, ibu bapa kini harus bersedia dan menyiapkan diri untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Sentuhan mahir ibu bapa mampu mengubah dunia. Mereka perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan apa juga masalah dan kemungkinan.

Ibu bapa perlu merenung ungkapan hikmat ini: “Bukanlah anak-anak yatim itu anak yang telah kematian ayah bondanya dan yang melarat dalam kemiskinan. “Tetapi yang dipanggil anak yatim itu adalah anak yang ibunya tidak mempedulikannya dan ayahnya sibuk dengan urusan.”

Penulis ialah Perunding Latihan.

No comments: