Pages

April 20, 2009

Abu Ubaidah Amir bin Al-Jarrah


Latar Belakang
Amir ibn Abdullah bin Al-Jarrah atau lebih dikenali dengan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. yang telah dijanjikan syurga menurut riwayat hadis Imam At-Tirmidzie. Beliau dilahirkan di Kota Mekah Al-Mukarramah pada tahun 583M dan meninggal dunia di Jabiya,Syria pada umur 56 tahun. Abu Ubaidah berketurunan Banu Al-Harith, antara keturunan yang dihormati oleh kaum Quraisy.
Diketahui bahawa, Abu Ubaidah mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama, Hint binti Jabar dan isteri kedua dikenali sebagai Waria. Melalui perkahwinan beliau dengan isteri pertama, beliau mempunyai dua anak lelaki iaitu Yazid dan Ubaidah manakala dengan isteri kedua, seorang anak lelaki, Umair. Walaubagaimanapun, direkodkan bahawa ketiga-tiga anak lelaki beliau meninggal semasa kecil dan tiada sebarang maklumat yang menceritakan tentang anak perempuan beliau.
Abu Ubaidah adalah seorang yang berperawakan tinggi, berwibawa, merendah diri dan sangat pemalu. Di kalangan para sahabat, beliau bersifat lembut selembut sutera manakala di medan perang, tegas/keras seperti besi. Sebelum memeluk Islam, beliau seorang yang dihormati oleh kaum Quraisy. Abdullah bin Umar RA pernah berkata ‘di antara semua puak kaum Quraisy, terdapat 3 org yg peribadi dan sifat rendah dirinya menonjol berbanding yg lain. Selain itu, mereka juga dianugerahkan kepetahan dan kelembutan bila berbicara. Jika manusia memandang mereka, semestinya mereka berharap akan terus dapat memandang wajah mereka tanpa berpaling. 3 org tersebut adalah Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA, Saidina Uthman bin Affan RA dan Saidina Abu Ubaidah bin Al-Jarrah RA.Beliau memeluk Islam sehari selepas keislaman Abu Bakr As-Siddiq RA bersama-sama dengan Abdurrahman bin Auf, Usman bin Mazun dan Arqom bin Abil Arqam.
Orang Kepercayaan Umat
Abu Ubaidah juga dikenali dengan kegagahan dan kejujurannya, dimana Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan,dan kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah.” Selain itu, kisah kedatangan satu delegasi Kristian meminta pertolongan daripada Rasulullah S.A.W mengukuhkan lagi gelaran beliau. Di dalam kisah ini, selepas mendengar permintaan delegasi kristian itu, Rasulullah saw. bersabda kepada mereka, “Datanglah ke sini petang nanti, saya akan kirimkan bersama kamu seorang yang ‘gagah dan jujur’.” Dalam kaitan ini, Umar bin Al-Khatab RA mengatakan, “Saya berangkat mahu solat Zuhur agak cepat, sama sekali bukan kerana ingin dilantik sebagai delegasi, tetapi kerana memang saya senang pergi solat di awal waktu. Setelah Rasulullah selesai mengimami solat Zuhur bersama kami, beliau melihat ke kiri dan ke kanan. Saya sengaja meninggikan kepala saya agar baginda melihat saya, namun baginda masih terus membalik-balik pandangannya kepada kami. Akhirnya beliau melihat Abu Ubaidah bin Jarah, lalu baginda memanggilnya sambil bersabada, ‘Pergilah bersama mereka, selesaikanlah kasus yang menjadi perselisihan di antara mereka dengan adil.’ Lalu Abu Ubaidah pun berangkat bersama mereka.”
Sumbangan
Abu Ubaidah sempat menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW, dimana di dalam perang Badar, beliau terpaksa berhadapan dan membunuh ayahnya sendiri. Berikutan dengan peristiwa ini, ayat 22, Surah A-Mujadillah telah diturunkan yang bermaksud,
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (58:22)
Manakala di dalam perang Uhud, beliau sentiasa mendampingi dan menjaga keselamatan Rasulullah SAW daripada ancaman musuh. Beliau juga hilang dua giginya untuk mencabut rantai besi penutup kepala yang terkena di pipi baginda.
Abu Ubaidah adalah salah seorang calon khalifah pada Zaman Khulafa Ar-Rasyidin tetapi ditolak baik oleh beliau seperti dalam kisah Umar bin Al-Khattab pada hari Saqifah. Umar bin Al-Khattab RA mengatakan kepada Abu Ubaidah bin Jarah, "Hulurkan tanganmu! Agar saya baiat kamu, karena saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, 'Sungguh dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah.' Lalu Abu Ubaidah menjawab, “Saya tidak mungkin berani mendahului orang yang dipercayai oleh Rasulullah SAW menjadi imam kita di waktu solat (Saidina Abu Bakar as-Shiddiq ra),oleh sebab itu kita harus membuatnya jadi imam sepeninggalan Rasulullah SAW.” Selepas perlantikan Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA, beliau sentiasa membantu, memberi nasihat dan menyokong keputusan Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama itu.
Kemudian, pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab RA, beliau dilantik sebagai panglima perang dan membantu meluaskan empayar Islam sehingga ke Levant (Syria, Jordan, Lebonan, Israel, Palestin dan Selatan Turki) bersama dengan Khalid bin Al-Walid.
Pesanan Terakhir
Abu Ubaidah meninggal dunia disebabkan penyakit taun yang melanda Syria pada waktu itu. Sebelum itu, Khalifah Umar bin Al-Khattab RA telah mengirim surat untuk memanggil kembali Abu Ubaidah dengan tujuan untuk menyelamatkan beliau dari wabak tersebut. Namun Abu Ubaidah menyatakan keberatannya sesuai dengan isi surat yang dikirimkannya yang berbunyi, “Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu, kalau kamu memerlukan saya, akan tetapi seperti kamu ketahui saya sedang berada di tengah-tengah saudara muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah saya dibebaskan dari rencana baginda dan izinkanlah saya tinggal di sini.” Setelah Khalifah Umar RA membaca surat itu, dia menangis, sehingga para hadirin bertanya, “Apakah Abu Ubaidah sudah meninggal?” Umar menjawabnya, “Belum, akan tetapi kematiannya sudah di ambang pintu.”
Disaat kematiannya, beliau sempat berpesan kepada tentera-tenteranya, “Saya pesankan kepada kalian sebuah pesan, jika kalian terima, kalian akan baik,
1)Dirikanlah solat,
2)Bayar zakat,
3)Puasalah bulan Ramadan,
4)Berdermalah,
5)Tunaikan ibadah haji dan umrah,
6)Saling nasihat menasihatilah kalian,
7)Sampaikanlah nasihat kepada pimpinan kalian,
8)Jangan suka menipunya,
9)Janganlah kalian terpesona dengan keduniaan, karena betapapun seorang melakukan seribu upaya, dia pasti akan menemukan kematiannya seperti saya ini. Sungguh Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, oleh sebab itu semua mereka pasti akan mati.
Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat…Assalamualaikum warahmatullah.” Kemudian, beliau melihat kepada Muaz bin Jabal r.a. dan mengatakan, “Ya Muaz! Imamilah solat mereka.”

No comments: