Pages

October 03, 2010

Kembali ke sekolah

Setelah menghabiskan cuti sekolah musim panas selama lebih kurang 3 bulan (Jun hingga September), anak-anak kini kembali ke sekolah untuk sesi 2010/2011. Abang akan ke Grade 4 manakala kakak akan ke Grade 2. Sesi kali ini kami masih berkeyakinan untuk menghantar mereka ke sekolah yang sama iaitu al-Rowad International Schools. Al Rowad adalah  International Islamic School yang berteraskan kurikulum British dan Amerika di samping turut di ajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Salah satu yang menariknya sekolah ini terdapat unsur pendekatan islamik bukan sahaja dari segi mata pelajaran tetapi dari segi perlaksanaan. Walaupun tidaklah seislamik sekolah-sekolah agama atau tahfiz di Malaysia namun sekurang-kurangnya terdapat usaha ke arah menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri pelajar-pelajar contohnya sekolah akan mengadakan pertandingan menghafal surah-surah dalam Al Quran, membuat aktiviti yang menambah pengetahuan dan kecintaan kepada Rasulullah dan sebagainya. Persekitaran yang terkawal oleh pihak pengurusan yang efektif dan efisyen serta tenaga pengajar yang berkelayakan menambah keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka. Bagi memastikan kepercayaan itu pihak pengurusan perlu mengekalkan dan sentiasa menambah baik perkhidmatan yang diberikan.

Itu sembang akademiknya bagaimana pula dengan pembangunan sahsiahnya. Jika falsafah pendidikan negara menetapkan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya, adakah ilmu yang diperolehi disekolah mampu membekalkan diri pelajar-pelajar dengan daya tahan dan daya saing yang kuat. Banyak pihak mengatakan gabungan peranan institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat adalah faktor penyumbang kepada keberhasilan individu yang seimbang iaitu bukan sahaja berilmu tetapi utamanya berakhlak dengan akhlak Islam. Inilah tugasan yang lebih mencabar. Cabaran dari pelbagai sudut, cabaran mengasuh dan kemudian mendidik malah cabaran untuk memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin. Persekitaran yang semakin rencam menanti mereka meniti zaman remaja dan seterusnya alam dewasa. Jika hendak dibanding dengan zaman persekolahan dulu banyak bezanya, jika dulu anak-anak ke sekolah untuk survival sebuah kehidupan supaya keluar dari kepompong kemiskinan, berada dalam fasa pembangunan negara, kini anak-anak ke sekolah untuk menjadi seorang yang berilmu, berada dalam fasa kemajuan bersama cabaran kepesatan teknologi yang hebat. Kebimbangan dan kerisauan yang sentiasa menerjah jiwa ibu bapa hari ini yang mahukan anak-anaknya menjadi insan berilmu yang soleh. Kerana itu pengakhirnya, bukan harta di bawa mati tetapi doa anak soleh yang akan mengiringi, semoga niat murni ini mendapat kemudahan dan pertolongan dari Nya.Amin..

1 comment:

ruby said...

InsyaAllah..Semoga Nabil, Nabihah & Hana menjadi insan2 cemerlang dunia & akhirat..amin.