Pages

October 31, 2010

Secawan teh pengubat rindu


Rehat minda
Pemandangan hijau di sana sini, mesra disapa hembusan angin yang mendamaikan, bunyi rintik hujan jatuh di malam hari seakan alunan irama mengasyikkan, sayup kedengaran kokokan ayam menjelang dinihari, bersama kehangatan hubungan kekeluargaan yang erat terjalin, seolahnya melerai suatu simpulan. Gabungan hubungan manusia dan alam yang menghasilkan suatu formula terapi..terapi emosi dan hati.

Kepulangan kami kali ini ke Malaysia membawa seribu makna. Pertemuan setelah dua tahun terpisah oleh jarak dan masa, juga pertemuan Raihanah dengan saudaranya kerana ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Malaysia setelah 2 tahun lahir ke dunia. Tidak banyak yang dapat diungkap dengan kata-kata, hanya mampu di rasa oleh perasaan yang begitu merindui keluarga dan tanah air tercinta. Melihat dalam-dalam wajah-wajah yang jua merindui kami tak sanggup rasanya untuk berpisah lagi, namun apakan daya, tuntutan hidup mengajar kita untuk terus berada di alam realiti tidak fantasi. Jika terpisah di dunia dengan izinNya kita akan bertemu kembali, namun jika terpisah jasad dan nyawa semoga bertemu kembali di negeri abadi, itulah lumrahnya alam..janji Pencipta, tiada yang kekal melainkan Dia. Semoga kehidupan ini membawa kita kepada kehidupan yang lebih baik di sana nanti.

Bersama tuntutan dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan, kami cuba sedaya upaya untuk mengoptimakan percutian agar dapat dirasai keseronokan berada di negara sendiri terutama oleh anak-anak yang membesar di hutan batu di tengah-tengah padang pasir. Mereka membesar dalam ruang lingkup sosio budaya yang jauh daripada apa yang saya dan suami lalui  ketika zaman kanak-kanak. Membawakan pengalaman ke dalam hidup mereka agar merasai sendiri manisnya gula dan pahitnya hempedu. Mengenal alam sekeliling bumi Malaysia, mengenal saudara mara satu keturunan, perkenalan yang diharapkan akan membawa mereka kepada mengenal Pencipta yang Maha Kuasa.

Mungkin kerana lama berkelana, setiap yang ditemui seolah menggamit kenangan. Maka apa sahaja walaupun biasa dipandang penuh rasa. Mungkin inilah fitrahnya manusia berkehendak kepada yang tiada, bila sudah di depan mata hilanglah rasa segalanya biasa. Semoga rasa itu tetap terpelihara dengan niat hanya kerana Dia, memberi izzah ke dalam jiwa yang sentiasa mengharapkan rahmat dan kasihNya.

Dari selatan ke utara
Sambil menyelam sambil minum air mungkin pepatah melayu yang paling tepat untuk menggambarkan percutian kali ini. Sambil berjumpa kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai sambil menikmati buah-buahan dan makanan tempatan, sambil juga menikmati keindahan alam anugerah Maha Pencipta. Destinasi percutian ke Cameron Highland sangat mendamaikan, pemandangan hijau hutan dengan flora dan faunanya ditambah dengan suhu sekitar yang sejuk dan nyaman. Perjalanan yang bukan sahaja untuk dinikmati tetapi banyak yang boleh dipelajari. Inilah rain forest kata saya pada anak-anak yang termangu-mangu dan asyik bertanya bila nak sampai. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam dari Kuala Lumpur. Mereka yang keletihan ditambah jetlag yang masih terasa mungkin rasa biasa sahaja disebabkan kepenatan melebihi perasaan ingin tahu, walaupun pada awalnya seronok untuk tengok sendiri hujan hujan yang selama ini hanya dilihat melalui gambar di buku teks sains. Jika kebiasaan pemandangan padang pasir terbentang luas menemani sepanjang perjalanan kami menuju Kota Makkah atau Madinah tapi kini pemandangan yang jarang sekali dilihat. Saya cuba merakam kembali ketika lawatan saya ke Cameron Highland sewaktu sekolah dulu kira-kira 20 tahun yang lalu, ternyata banyak yang telah berubah.


Air terjun Lata Iskandar


Ladang Teh Sungai Palas, Cameron Highland
 

Ladang Strawberry
 

Periuk Kera
 

Pokok Tomato, MARDI
   Lawatan sambil belajar, itulah istilah yang biasa digunakan oleh pihak sekolah bagi menyampaikan maksud untuk membawa murid-murid mengikuti rombongan sekolah. Bukan jalan-jalan sahaja tapi jalan-jalan ada makna dan tujuan. Namun bergantung juga kepada guru untuk menimbulkan kesedaran pada anak-anak muridnya bahawa melawat sambil menggerakkan deria rasa dan fikir. Inilah dia pokok anggur, yang tu pokok tomato terang saya pada anak-anak laksana guru memberikan penerangan. Mereka mengangguk mengiyakan termasuk Raihanah. Lawatan ke Pusat Mardi banyak memberi informasi mengenai tumbuh-tumbuhan yang boleh dipelajari terutama bagi pelajar di peringkat menengah.

Perjalanan kami teruskan ke utara tanah air iaitu ke taman tema air Bukit Merah Lake Town Resort. Keseronokan anak-anak mandi manda di samping melawat ke Animal Park yang membolehkan mereka melihat binatang-binatang yang dipelajari disekolah. Yang tu mammal sebab dia ada fur..saya senyum melihat gelagat anak-anak yang terlebih excited laksana pelancong asing, segan juga dengan pelancong tempatan yang kelihatannya biasa sahaja, barangkali ada yang berfikir takkan tak pernah jumpa..walaupun ayam dan kambing!
Kenangan..ada orang berkata kita tidak boleh terlalu memikir kenangan silam kerana ia akan membunuh masa depan, tetapi adakalanya dengan kenangan itu kita akan lebih terdorong untuk memacu masa depan. Lebih-lebih lagi kenangan yang mengingatkan kita pada sesuatu yang dekat atau rapat dengan diri sendiri. Hari ini akan menjadi kenangan pada anak-anak, dan semoga dengan kenangan itu akan menjadikan mereka lebih menghargai masa hadapan.



Saujana mata memandang
 

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang

Pick your own strawberries

Durian Cameron Highland

Vespa show
Syukur alhamdulilllah..ucapan yang selayakkan bagi menggambarkan anugerah Allah kepada hambaNya. Tidak akan terhitung walau segala ranting di bumi dijadikan mata pena dan air di lautan dijadikan dakwatnya. Nikmat Islam dan iman, nikmat kasih sayang, nikmat kesihatan dan berbagai lagi nikmat selalunya tidak kita sedari berada di sekeliling kita. Semoga apa sahaja yang dilakukan mendapat ganjaran pahala disisiNya.

1 comment:

ruby said...

tak terbndng air mata bila mmbaca catatn kali ni..kenganan brsama brmain diminda..smg ikatn & rasa ini kekl selamnya, bersama keakhrnya menuju syurga..amin..