Pages

March 29, 2009

Yanbu, Badar dalam kenangan...

Kini baru kami ketahui sekarang ini ramai rakan2 dari Malaysia yang bekerja di Yanbu. Khabarnya jumlah mencecah ratusan juga. Mengimbas kembali kenangan, kami pernah menjejakkan kaki di Yanbu kira-kira 4 tahun lepas iaitu pada tahun 2005 semasa menetap di Madinah. Ketika itu tidaklah diketahui samada telah ada rakan dari Malaysia yang menetap di Yanbu. Jadi untuk menghabiskan masa dihujung minggu berangkatlah kami satu keluarga ke Yanbu di samping turut merancang untuk singgah melihat kawasan sejarah peperangan Badar.

Perjalanan bermula
Perjalanan dari Madinah mengambil masa lebih kurang 4 jam, di kiri kanan jalan pemandangan bukit bukau, pokok2 padang pasir yang cuma tinggal ranting2 kering sehinggalah kami sampai di kawasan di katakan tempat berlakunya peperangan Badar, berhenti sejenak untuk melihat kawasan yang meninggalkan sejarah kepada kemenangan Islam. Pada ketika itu tidak tergambar rasanya dapat melihat dengan lebih dekat sejarah yang selama ini hanya dibaca melalui buku2 sirah. Alhamdulillah diberi peluang untuk menziarahi kawasan bersejarah yang pernah menyaksikan perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat menegakkan Islam. Oleh kerana kawasan tersebut agak luas dan tiada tourist guide yang mengiringi kami, maka beberapa gambar dari internet diharap dapat membantu mendapatkan lebih gambaran mengenai kawasan peperangan Badar tersebut.


Secara ringkas, Peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Peperangan di antara kaum Muslimin dan Musyrikin Makkah yang sentiasa memusuhi dan menghalang tersiarnya Islam dengan pelbagai cara. Dalam peperangan ini kaum Muslimin hanya berjumlah 313 orang. Dari jumlah yang sebesar itu, yang menunggang kuda hanya 2 orang sahaja, yang menaiki unta hanya 70 orang dan yang selebihnya tidak berkenderaan. Jumlah pasukan Quraisy waktu itu lebih dari 1000 orang. Bergabung didalamnya sejumlah pemuka-pemuka Quraisy dan pahlawan-pahlawan mereka.

Masjid Arish

Sekitar Kawasan Badar

Kawasan Perang Badar 1(pic dr internet)

Dihari itu juga Allah menurunkan rahmat dan pertolonganNya kepada kaum Muslimin. Allah menurunkan sejumlah malaikat yang ikut berperang disamping kaum Muslimin. Kejadian ini dicatat oleh Allah dalam Al-Quran,

"Ingatlah, ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para Malikat: Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah pendirian orang-orang yang beriman, kelak akan aku jatuhkan rasa ketakutan kedalam hati orang-orang kafir. Kerana itu penggallah mereka dan putuskanlah tiap hujung jari mereka". (Al-Anfal:12)

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya”. (Ali Imran:123)

Kawasan Perang Badar 2 (pic dr internet)

Kawasan Perang Badar 3 (pic dr internet)

Akhirnya kemenangan di medan pertempuran Badar berpihak kepada kaum Muslimin. Maha besar Allah yang menunjukkan kekuasaannya, yang mana kaum Musyrikin sudah berkira-kira bahawa kemenangan akan menjadi milik mereka, mereka mempersiapkan segalanya demi menyambut kemenangan itu, tetapi akhirnya kebenaran tetap berada diatas kebatilan.
Dalam peperangan ini kaum musyrikin Quraisy terbunuh seramai 70 orang dan tertawan 70 orang. (Sahih Bukhari dari Barra’bin Azib) Kaum Muslimin yang gugur syahid pula hanya seramai 14 orang sahaja, 6 orang dari kaum Muhajirin dan 8 orang dari kaum Ansar.


Kawasan Makam Shohada Badar (pic dr internet)

Nama-nama Syahid Shohada Badar

Perang Badar merupakan “purnama” dalam sejarah kemanusiaan yang menerangi jalan para penempuh jalan. Perang Badar merupakan “purnama” yang bersinar dilangit dan diraikan oleh para malaikat. Para malaikat yang ikut serta dalam peperangan ini menjadi para malaikat yang paling utama. Perang Badar juga merupakan “purnama” dibumi dan dikalangan penduduknya. Orang-orang yang ikut serta benar-benar menjadi purnama yang cahayanya menerangi seluruh isi kehidupan mereka. Perang Badar merupakan “purnama” yang menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Sampai di Yanbu, sebuah bandar yang agak tenang, terletak berhampiran Laut Merah. Merupakan kawasan perindustrian dan berfungsi sebagai pelabuhan kedua penting selepas pelabuhan Jeddah. Sepanjang berada di Yanbu selama 2 hari 1 malam, melihat kawasan persisiran pantainya yang indah serta sekitar bandar Yanbu.

Jauh berjalan luas pandangan...perjalanan balik ke Madinah benar2 menguji kami, kami tersesat..tersalah pilih simpang yang sepatutnya menuju ke Madinah tetapi menuju ke Jeddah, makanya perjalanan menjadi lebih lama. Bagi sesiapa yang mempunyai pengalaman bermusafir di negara padang pasir ini pasti boleh membayangkan keadaan jalan raya di sini, tidaklah boleh disamakan dengan lebuhraya utara selatan di Malaysia, kurangnya penanda jalan, tiada hentian untuk melepas penat, tandas apatah lagi, sekiranya berjumpa pekan kecil ala pekan koboi pun sudah memadai untuk mengisi petrol dan membeli sedikit makanan. Kali ini perjalanan balik dikiri kanan terbentang padang pasir, pertama kali melihat tanda awas unta melintas! Akhirnya kami sampai juga di Madinah kira2 pukul 10 malam, syukur tidak terhingga....itulah antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan, dan itulah juga harga sebuah pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

March 25, 2009

Muslimah Harapan Rasulullah

Oleh : Ustazah Yoyoh Yusroh

Menjadi wanita memang menyenangkan, apalagi wanita "Muslimah", sebab muslimah bererti wanita yang telah dipilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya dan menjalankan kehidupan sesuai dengan sunnah Rasul-Nya. Rasulullah sebagai manusia pilihan Allah, sangat peduli terhadap muslimah.

Baginda sangat menyayangi muslimah sehingga beliau berpesan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Tidaklah seorang muslim yang mempunyai anak dua orang perempuan kemudian ia berbuat baik dalam berhubungan dengan keduanya akan bisa memasukannya ke dalam syurga."

Di masa baginda hidup kaum wanita merasakan angin segar dalam kehidupannya, setelah sebelumnya pada masa jahiliyah hidup teraniaya, tidak mendapat hak yang semestinya. Kehidupan wanita muslimah saat itu boleh dikata beruntung dibandingkan dengan wanita sekarang pada umumnya. Kerana muslimah relatif hidup dalam komuniti masyarakat yang memahami nilai Islam secara baik. Hidup mereka betul-betul tersanjung, kerana mereka merasakan hidup sesuai fitrahnya.

Berbeza dengan situasi sekarang, ketika banyak wanita menuntut persamaan hak dan darjat. Boleh dikatakan kehidupan wanita sekarang berada ditengah komuniti masyarakat yang tidak memahami nilai-nilai Islam. Ini menyebabkan keserabutan dalam hidup mereka. Sudah tentu wanita muslimah harus berupaya menghilangkan dugaan tersebut. Caranya adalah dengan mulai mengaktifkan dirinya dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam serta berupaya mengajak wanita lain untuk beramal Islami.

Ustaz Faisal Maulawi, seorang Mufti Lebanon, menyatakan, "Saatnya sekarang keadaan ummat sedang dalam keadaan bahaya, para wanita muslimah yang solehah terjun untuk terlibat aktif dalam membentengi dan memperbaiki ummat."

Untuk menjadi muslimah yang disayang oleh Rasulullah SAW hendaknya diperhatikan empat hal berikut:

1. Faqihah Lidiiniha
Seorang muslimah hendaklah faqih (faham) terhadap din (agamanya). Selayaknya ia dapat membaca Al-Qur'an dengan baik dalam erti tajwid dan makhraj hurufnya. Kemudian dapat membaca hadith dan selalu pula menjadi bacaan hariannya, kerana dengan itu ia memahami keinginan Rasulnya untuk kemudian berusaha menyesuaikan kehidupannya sesuai dengan cara hidup Rasulullah SAW. Ia juga harus berusaha memperkaya diri dan wawasannya melalui belajar kepada seorang guru yang jujur dalam menyampaikan ilmunya, dan berusaha banyak membaca buku agama lainnya seperti tentang aqidah, akhlaq, fiqh, sirah, fiqh da'wah, Tarikh Islam, sejarah dunia dan ilmu kontemporari lainnya. Contoh muslimah yang menguasai ilmu-ilmu ini adalah Aisyah RA.

2. Najihah fi Tarbiyyati Auladiha
Seorang muslimah yang telah berkeluarga hendaklah berupaya dalam mendidik anaknya, bahkan bagi yang belum berkeluarga pun seharusnya mempelajari bagaimana cara mendidik anak dalam Islam, kerana ilmu tersebut fardhu 'ain, sehingga mempelajarinya sama dengan mempelajari wudhu, sholat, puasa, dan sebagainya. Sehingga ia tahu betul cara mendidik anak dalam Islam yang nantinya anak-anak tersebut akan ia persembahkan untuk kejayaan Islam dan kaum muslimin. Insya Allah kelak ia akan menjadi Ibu yang berjaya seperti Hajar dan Khadijah ra.

3. Muayyidah fi Da'wati Zaujiha
Sebagai amal Islami, kepedulian kita bukan hanya kepada masalah luaran, mengupayakan pelaksanaan amal Islam terhadap orang lain, akan tetapi kepedulian terhadap aktiviti keluarga harus lebih diutamakan, misalnya memberikan motivasi amal Islami kepada anak, pembantu, juga suami. Ia menjadi muslimah yang sentiasa menjadi motivator kebaikan suaminya, seperti Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Tholhah dengan mahar syahadat. Namun ketika Abu Tholhah wafat Rasulullah mensolatkannya sampai sembilan kali takbir, menunjukkan sayangnya Rasulullah kepada beliau kerana tidak pernah berhenti dalam beramal dan berjihad bersama Rasul. Hal ini ia lakukan kerana selalu mendapat motivasi dari Ummu Sulaim, isterinya.

4. Naafi'ah Fi Tagyiiri Biiatiha
Ia selalu peduli terhadap lingkungannya, selalu membuka mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sekelilingnya, selalu mengupayakan lingkungannya menjadi lebih baik. Contohnya Ummu Syuraik yang selalu mengelilingi pasar bila saat solat tiba untuk mengingatkan penghuni pasar agar segera melaksanakan solat dengan kalimatnya yang terkenal 'Assolah, Assolah!!!

Demikian semoga dengan empat hal ini kita dapat menjadi Muslimah yang dicintai Rasulullah SAW. Amin.

March 22, 2009

Antara semalam dan hari ini..

Baru dapat email dari my sister, gambar2 Nabil dan Bihah semasa bayi. Asalnya apabila Nabil kerap bertanya kenapa gambar2 dia masa bayi takda dalam laptop, maka dengan berbesar hati mak saudara yang dikasihinya scan gambar2 tu dan hantar kepada kami. Maklumlah masa dia kecil kami belum ada kamera digital lagi, bila lihat gambar2 lama terasa menggamit kenangan lalu..begitu pantas masa berlalu.


Nabil 6 bulan

Nabihah 3 bulan


Raihanah 4 bulan

March 16, 2009

Wanita & Kerjaya

Saya tertarik kepada sinopsis buku ini, bermanfaat untuk dimiliki dan sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat. Menjadi seorang wanita yang berkerjaya dan berjaya adalah impian saya, saya pernah bekerja sebagai penyelidik, pensyarah kolej/matrikulasi dan pengurus akademik, walaupun tidaklah sehebat penulis buku ini atau wanita lain yang mempunyai pengalaman bekerja belasan tahun atau puluhan tahun, tetapi rasa teruja dengan perkembangan kejayaan wanita muslimah berkerjaya hari ini. Bukanlah satu tugas yang mudah apabila semuanya perlu dilakukan serentak, sebagai isteri, ibu dan mempunyai kerjaya. Pengurusan masa, kecekalan hati, kekuatan semangat menjadikan wanita itu hebat (masyaAllah) dan serba boleh. Samada berkerjaya atau tidak, tidak hairanlah wanita itu mempunyai martabat yang tinggi dan mulia di sisi Islam.


Mengapa Saya Bekerja? Kali ini, koleksi cerita yang terdapat dalam buku ini lebih fokus kepada kaum hawa. Pelbagai dilema yang dihadapi dalam memilih bidang kerjaya. Samada bekerja di luar rumah ataupun sebagai suri rumah tangga sepenuh masa. Ada yang berpendapat, wanita tidak patut duduk di rumah sekiranya mereka ini berjaya memiliki segulung ijazah. Namun, ada juga yang berpendapat sebaliknya. Saudara pula bagaimana?

Sebenarnya, kerjaya adalah periuk nasi bagi sesetengah individu yang mementingkan kerjaya. Wang ringgit tidak hanya datang bergolek tanpa sebarang usaha. Mengapa kita perlu bekerja? Mampukah kita hidup di dunia yang segala-galanya memerlukan wang ini sekiranya tidak bekerja. Namun, kerja menjadi lebih murni apabila disertakan dengan niat semata-mata kerana Allah. Kita hanya berusaha, namun Allah jua yang menentukan banyak mana rezeki yang dapat diberikan kepada hambaNya.

Memilih menjadi suri rumah bukanlah disebabkan individu tidak mampu ataupun tidak layak memilih bidang kerjaya. Kemungkinan individu yang sudah berumah tangga memilih jalan ini memikirkan masa hadapan anak-anak dan suami. Mereka tidak yakin ataupun percaya pada pengasuh dan orang gaji. Tambahan pula bermacam-macam cerita yang sering kita dengar kebelakangan ini seperti orang gaji lari, kes dera anak majikan dan pelbagai lagi cerita negatif yang tidak enak didengar dan boleh mendatangkan fobia apabila mendengarnya. Itu baru kes anak-anak, risau pula sekiranya terjadi sesuatu kepada suami.

Sama ada wanita itu bekerja ataupun tidak, bukanlah isu utama dalam meneruskan kehidupan. Ini bergantung pada kemampuan dan kehendak masing-masing. Setiap individu mempunyai pendapatnya tersendiri. Namun, berbekalkan pengalaman suka duka yang diceritakan secara santai dalam buku ini memberi input kepada saudara bagi meletakkan saudara dalam bidang yang mana. Bekerja ataupun tidak bekerja?

Petikan dari buku "Mengapa Saya bekerja......"

Pra kata dari editor. Saya seorang wanita Islam yang berkerjaya. Suka dan duka yang saya telah lalui mewarnai hidup saya yang diharungi pelbagai kerjaya di bidang kejuruteraan. Mengapa saya memilih bidang kejuruteraan ini telah saya tulis dalam buku pertama saya, 'Bagaimana akhirnya saya bertudung' keluaran PTS.

Dalam masa lebih 20 tahun ini, saya telah bekerja sebagai pembantu teknik, pensyarah universiti, penyelidik, jurutera tapak/jurutera projek, usahawan, pengurus dan pengarah projek dan pengarah dalam syarikat jurutera perunding. Selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya ini, inilah cerita benar saya, namun banyak lagi kisah benar mengenai wanita Islam bekerjaya yang lain. Mereka merasa bahagia untuk berkongsi pengalaman, wawasan, kisah suka duka mereka yang di paparkan dalam buku ini.

Saya kumpulkan kisah benar mereka melalui hasil penulisan mereka, soal selidik dalam perbualan telefon, sessi temubual empat mata, 'chat on line' dan juga e-mail.

"Apakah yang sangat penting dalam kehidupan wanita yang berkerjaya?” saya kerapkali bertanya kepada mereka.
"Apakah agaknya yang patut saudari ketahui semasa memulakan hari hari pertama di alam pekerjaan?"
"Apakah agaknya nasihat yang saudari akan berikan kepada anak gadis saudari sebaik sahaja dia bergraduat dari universiti untuk memasuki alam pekerjaan?"
"Apakah agaknya strategi, cadangan, tip-tip wanita Islam bekerjaya dalam menghadapi cabaran dan ujian dalam mengimbangi kehidupan di tempat kerja dan di rumah".

Paparan dalam buku ini saya susun dari pelbagai maklumbalas yang saya kutip dari wanita yang bekerja dalam pelbagai bidang kehidupan. Mereka terdiri dari pengurus rumahtangga sepenuh masa, kerani, setiausaha, pembantu peribadi, jurutera, doktor, akauntan, penulis, pensyarah, guru, pakar psikiatri yang sangat seronok dan bersemangat untuk berkongsi apa yang mereka lalui dan harungi.

Apa yang mengejutkan saya ialah ‘tema’ yang serupa diberikan oleh mereka, samada tua ataupun muda, dari berbagai latarbelakang kerjaya atau di lokasi mana mereka berada.

Jawapan mereka ialah, "Kita semua mesti ada mentor".
"Kita semua mesti ada kumpulan sokongan, samada suami, anak anak, ibu bapa atau keluarga terdekat".
"Ingat, kita bukan superwomen".
"Kita tidak boleh dapat semua yang kita mahu".
"Kita tidak boleh buat semua kerja".
"Kita tidak boleh puaskan hati semua orang".
"Kita perlu memilih medan juang kita dan tentukan keutamaan kita. Ini juga bermaksud kita perlu tahu mana yang perlu didahulukan, mana yang perlu diambil atau di tinggalkan".

Malah ramai wanita wanita yang berjaya mengecap makna ‘kebahagian’ bukan dalam arti kata kebahagian yang diukur dari kejayaan dalam kerjaya, seperti kenaikan pangkat melintang atau menegak, gaji yang lumayan, kerjaya yang mantap atau rumah yang hebat.

Ramai dari wanita ini merasakan semakin mereka berjaya dalam kerjaya mereka, semakin terasa kesunyian dan kehilangan. Mereka merasakan ‘kebahagian’ mereka terletak dalam rumah mereka yang penuh dengan gelak ketawa, suara ceria dan manja anak anak, senda gurau dan belaian suami dalam suasana mesra dan kasih sayang. Mereka sentiasa merindui masa masa bersama ahli keluarga, berkongsi melakukan kerja kerja rumah bersama, melayan hobi masing masing atau pun mengasah bakat bakat lama yang terpendam dan tertinggal.

Dalam menghadapi ‘kekejaman’ dunia pekerjaan yang tidak pernah diduga, wanita wanita teraniaya kerana dibuang kerja, mangsa pilih kasih, politik dan gangguan seksual di tempat kerja, pandangan serong dan chauvinisme, wanita ini menjumpai 'ketenangan' dirumah kecil mereka. Rumah merekalah syurga mereka.

Dalam perbualan dan pergaulan ini saya temui kemarahan, sakit hati, geram, menyampah, bosan dan kepahitan dalam kerjaya. Namun saya juga temui harapan yang menggunung, cita-cita dan wawasan jangka panjang untuk membina generasi, dalam kekuatan diri yang tersembunyi. Saya temui rasa hormat diri atau izzah, kasih sayang, pengorbanan dan kejujuran.

Wanita ini berkongsi ‘tujuan’ matlamat yang sama, menolong wanita lain agar tidak mengulang kesalahan yang sama yang dilakukan wanita terdahulu. Dengan penulisan buku ini saya harapkan dapat memberi makna sesuatu utnuk wanita samada mereka memih untuk bekerja di dalam rumah atau diluar rumah.

Apa yang saya pelajari dari pengumpulan buku ini ialah memberi harapan kepada dunia perkerjaan wanita yang lebih sihat untuk diwarisi oleh anak anak perempuan saya apabila mereka dewasa kelak.Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh wanita yang berkerjaya. Berapa banyak lagi stereotypes yang perlu di perbetulkan, berapa banyak lagi diskriminasi terhadap wanita yang perlu di buang jauh jauh, berapa banyak lagi penderaan dan gangguan seksual yang perlu di hapuskan.

Apa pun yang kita hadapi dalam dunia pekerjaan, saya dapati kepuasan itu terdapat dalam perkataan ‘ikhlas’. Apabila kita ikhlaskan hati dan niat kita. Kita akan jumpai kepuasan. Apabila kita puas kita akan rasa bahagia. Kebahagiaan akan tergambar diwajah yang akan menjelmakan senyuman. Senyuman yang kita berikan akan membahagiakan insan lain. Insan ini pula akan merasa kebahagiaan dan dikongsi oleh insan lain. Kebahagian akan menjalar dari satu insan kepada satu insan yang lain. Kita hanya mendambakan dan menyebarkan kebahagian kepada semua insan seluruh alam. Rahmatan lil alamin.

Kejayaan yang membanggakan

Kejayaan pelajar cemerlang negara SPM 2008, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 dari Maahad Muhammadi Perempuan adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan dengan mendapat 20A (19A1, 1A2) . Hari ini anak nelayan dari Kampung Sabak telah berjaya melakar sejarah mengharum nama keluarga, sekolah,negeri kelantan dan negara. Seharusnya pelajar ini wajar menikmati kegembiraan hasil penat lelah serta ketekunan sepanjang sessi persekolahan. Saya tidak membayangkan sekiranya saya yang mendapat 20A itu, kerana zaman itu telah lama berlalu, tetapi saya membayangkan sekiranya anak saya yang dikurniakan kejayaan sedemikian rupa, alangkah bahagia, kejayaan bukan sahaja di dalam subjek teras tetapi juga di dalam matapelajaran agama. Apabila membaca artikel2 yang menceritakan kejayaan dan gambar2 pelajar ini bersama ibu bapanya, saya terkifirkan apakah yang telah mendorong anak itu untuk mencapai apa yang diperolehi hari ini, apakah yang telah melonjakkan nalurinya, memotivasikan dirinya, disamping kecerdikan yang dimilikinya. Pasti ada sesuatu yang telah mendorong, mengarahkan hasratnya untuk berjaya. Mungkin faktor kepayahan hidupnya, kata2 semangat kedua ibu bapanya, sokongan para guru, doa bapanya ketika berada dilautan menangkap ikan, restu ibunya tatkala anak itu melangkah ke sekolah, hasrat hatinya yang tulus ikhlas kerana Allah dan bermacam lagi. Nampaknya seluruh sistem telah berkerja dan berfungsi dengan bersungguh2 maka dengan izinNya anak ini berjaya mendapat apa yang dicitakan. Namun bukan kejayaan bilangan A yang maksima lebih dibanggakan tetapi penghayatan ilmu di dalam dirinya, semoga lahir sebagai pelajar muslimah yang menjaga batas-batas syariat. Pasti ibu dan bapanya yang paling bersyukur dan gembira dengan kejayaan anak mereka. Semoga pelajar ini terus maju dan berjaya di masa2 akan datang dengan erti kata kejayaan sebenar dunia & akhirat.

March 11, 2009

Pendidikan & cabaran masa kini

Menjadi seorang ibu adalah satu tugas yang sangat mencabar. Apatah lagi ibu yang berada di luar Malaysia, seperti di Saudi ini. Bukanlah maksudnya ibu2 di Malaysia tiada cabarannya, tetapi berbeza, kerana berada di luar, tidak berada di dalam lingkungan yang sama, perbezaan budaya, bahasa, tatacara dan sebagainya. Jika diamati dari segi sistem persekolahan yang jauh berbeza dengan sistem persekolahan di Malaysia, tidak perlu bandingkan dengan sekolah persendirian/swasta, cukup hanya dengan sekolah kebangsaan biasa, banyak yang boleh disimpulkan. Mahu tak mahu sebagai ibu yang pastinya mahukan keseimbangan dalam diri anak2 perlu mengadakan sistem sokongan yang kuat supaya dapat mengimbangi kualiti tersebut. Mudah bicara tidak boleh terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada pihak sekolah untuk membentuk keseimbangan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani anak2. Jika dari segi intelek mungkin benar tapi tidak menyeluruh kepada keupayaan rohani dan emosi. Pendidikan hanya sebagai gedung ilmu yang disampaikan semasa sesi persekolahan, setakat itu, tidak ada unjuran yang boleh dilihat kesannya kepada hubungan praktikal seharian, contohnya nilai2 murni yang boleh diterapkan pada diri seorang pelajar.

Jika difikir impaknya bagi jangka masa panjang, kemungkinan akan wujudnya ketidakseimbangan dalam diri anak2 jika tidak diacu mengikut acuan yang sepatutnya. Ya kita boleh belajar dari kesilapan, tetapi ini bukannya eksperimen yang boleh kita lakukan beberapa kali sekiranya gagal mendapatkan keputusan yang dikehendaki. Lebih dibimbangi sekiranya wujud kecelaruan dalam jiwa anak2 terutamanya bagi yang semakin meningkat remaja.

Pendidikan adalah proses yang berterusan, tidak hanya tertumpu kepada sesi persekolahan. Pengalaman saya semasa menjalani sesi praktikal ketika mengambil kursus KPLI di sebuah sekolah berasrama penuh, sekolah yang dikenali sebagai sekolah elit, pelajar2nya memang berkeupayaan dari segi akademik, guru2 yang berdedikasi kerana sekiranya peratus keputusan jatuh dari tahun sebelumnya maka guru yang akan dipersalahkan kerana murid sememangnya boleh berjaya kerana pandai2 belaka. Namun dalam kebaikan itu tersimpul juga kekurangan, pernah seorang pelajar yang ditangkap kerana sering mengambil barang kawan2nya tanpa kebenaran, dalam erti kata mencuri, tapi bukanlah maknanya pelajar ini keluarganya miskin tetapi itu adalah hobinya menurut guru2 disitu, maka ibu bapa dipanggil oleh pengetua untuk memaklumkan perihal anaknya, namun respon yang diterima sebaliknya, ibubapa menyebelahi anak, tidak percaya perlakuan anak seperti tuduhan yang nyatakan oleh pengetua.

Inilah contoh kekeliruan jiwa yang berlaku, apatah lagi sekiranya ibu bapa sebagai sekolah pertama anak2 merelakannya. Jika difikir seimbas lalu, seperti tidak masuk akal, apatah lagi ibu bapa pelajar yang terdiri dari orang cerdik pandai atau educated, tetapi itulah yang berlaku, malah banyak juga disiarkan dalam akhbar, kes yang melibatkan ibubapa sanggup mengupah peguam untuk membela anak. Ya lah siapa tak sayang anak, kalau anak mengadu kena marah di sekolah pun dah rasa nak marah, kalau boleh nak jumpa dengan guru yang marah itu. Itulah cabarannya, kes itu berlaku apabila ibubapa menyerahkan bulat2 proses pendidikan kepada pihak sekolah. Perspektif yang berbeza, dari sudut pandangan seorang guru dan ibu bapa.

Masing2 perlu memainkan peranan, apatah apabila berada diluar lingkungan ini, peranan secara aktif supaya anak2 bukan sahaja celik membaca, menulis dan mengira malah lebih2 lagi dari aspek kerohanian. Berat tanggungjawab itu, namun itulah hakikatnya, fenomena, senario, situasi apapun istilahnya yang boleh diguna pakai bagi menerangkan keadaan semasa yang berlaku pada zaman ini, zaman yang lebih terkehadapan dari pelbagai aspek. Semoga kekuatan itu menjadi milik ibubapa yang sentiasa inginkan kebaikan bagi anak2nya, seperti mana firmanNya Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya, Ar Ra’ad:11.

March 08, 2009

Bunga-bunga mekar di Abha

Menikmati keindahan bunga bungaan yang sedang mekar cantik di Abha ketika ini. Menyusuri sepanjang jalan yang kebanyakannya mula dihiasi pokok2 bunga selepas musim sejuk berlalu.

March 07, 2009

Aktiviti di hujung minggu

6 March 2009

Menonton Pertandingan Pidato Bahasa Melayu kategori nusantara dan antarabangsa. Penyertaan dari negara luar termasuk China, Russia, Kemboja, Australia, Belanda, Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri. Rasa terpegun melihat kepetahan rakyat negara lain menggunakan Bahasa Malaysia dengan teratur walaupun pelatnya masih ada. Mereka berpidato membincangkan tajuk yang dipilih. Begitu bersemangat dan menjiwai intipati kandungan. Saya tertarik pada pemidato dari Australia, Ayleen O’Hanion, penyampaian yang bersahaja namun penuh mesej menyampaikan pidato mengenai kepentingan pendidikan. Bait-bait bahasa yang tersusun dan disampaikan dengan tenang, berjaya menarik perhatian penonton supaya berfikir, katanya pembangunan bukanlah diukur dari pembangunan material tapi pembangunan asas ialah warga yang terdidik. Kenyataannya nampak umum dan biasa tapi cara dia meyampaikan dengan sepenuh hati rasa terkesan kepada pendengar. Walaupun mereka cuma menyampaikan pidato untuk sebuah pertandingan namun penghayatan isi kandungannya begitu bermakna, alangkah bagusnya jika yang menyampaikan itu adalah anak bangsa kita sendiri. Walaupun para peserta mengambil subjek Bahasa Malaysia sebagai subjek pilihan namun penguasaannya begitu tinggi, boleh berpantun, mengunakan peribahasa dan faham makna. Antara yang menarik ialah dari cempedak baiklah nangka dari tidak baiklah ada..bahasa melayu memang unik, penuh seni dan bermakna.

Kemudian penonton dihidangkan dengan persembahan teater yang membawa tema perjuangan bahasa. Bahasa melambangkan jiwa bangsa, jangan dibiarkan bahasa ibunda warisan nenek moyang kita dipijak2, dihina oleh bangsa sendiri. Begitu menarik dan sangat berkait dengan agenda mansuhkan PPSMI esok.


5 March 2009

Hujung minggu ialah hari bersama keluarga, di hujung minggulah biasanya masa yang sesuai untuk keluar membeli barang2 keperluan harian. Hari biasa bukannya tidak boleh tapi kurang sesuai memandangkan jadual yang ketat, pagi anak2 ke sekolah, petang masa buat homework, malam mengaji quran, manakala sebelah malam di Abha masih sejuk jadi kurang sesuai untuk kanak2 berada di luar, dan bila nak keluar di Saudi ni kenalah rancang masa betul2 kerana urusan jual beli akan berhenti seketika dan kedai2 akan ditutup bagi menghormati waktu solat, hanya akan dibuka selepas habis waktu solat kira2 15-20 minit. Mula2 dulu tak biasa juga, yelah membeli dalam keadaan tergesa2, sekejap saja sejurus azan akan ada kereta peronda polis atau pun mutawwa di shopping2 kompleks duk ronda sambil suruh solat. Waktu yang agak tenang untuk keluar membeli atau shopping ialah lepas Isya’ tapi sejak ada Raihanah kami kurang keluar sebelah malam. Kebiasaananya juga rakyat Saudi kurang gemar keluar selepas waktu Zuhur walaupun di hujung minggu, kereta di jalanraya akan banyak kelihatan hanya selepas waktu Asar terutamanya sebelah malam. Jika keluar selepas Asar cuma ada masa kira2 dua jam sahaja sebelum Maghrib, jadi kalau boleh pastikan dalam keadaan berwudhuk maka mudah solat Maghrib dimana2 surau atau masjid dan boleh sambung aktiviti seterusnya dan begitulah kebiasaannya. Sehinggakan apabila berada di Malaysia rasa kurang selesa bila berada di pusat membeli belah, kedai2 tak ditutup, sebelah sini azan berkumandang, masa yang sama kedai muzik teruskan operasi tak hormat waktu azan sekalipun. Ini antara kebaikan sepanjang berada di Saudi ni, dan satu lagi bagi kaum adam dapatlah menjaga pandangan mata sebab samada muslim atau tidak yang perempuan mestilah memakai abaya hitam, kalau yang bukan muslim tu sekurang2nya berselendang tutup kepala.

Bila bab shopping, sepanjang berada di sini, boleh kata tiap masa, tak kiralah awal bulan atau hujung bulan di mana2 sahaja ada pusat membeli belah parking biasanya penuh. Tak kiralah beli barang keperluan rumah atau pakaian, agakya memang hobi depa suka membeli barang, pastu tukar musim beli lagi, tukar lagi. Selain masa membeli yang sesuai kena juga pastikan barang2 nak beli disenaraikan, ye lah kalau di Malaysia agak2 terlupa bolehlah beli kat kedai runcit paling dekat, seperti di taman perumahan kami di Pulai Perdana, Pasar Mini Sulaiman Jaya belakang rumah je, bolehlah beli taugeh 50 sen, asam keping 50 sen, kentang sekilo, cabai kering setengah kilo, kat sini kalau terlupa tu kenalah tukar menu nak masak, takpun tunggulah malam suami balik kerja baru boleh keluar beli. Tempat yang biasanya dituju untuk membeli barang rumah termasuk ayam dan daging ialah Panda, hypermarket yang tersedia banyak pilihan. Manakala ikan selalunya di beli di pasar ikan yang terletak di Khamis Mushayat. Oleh kerana anak2 suka makan ikan lebih dari makan daging atau ayam makanya kunjungan ke pasar ikan perlu setiap minggu. Hasil laut di sini datangnya dari Jizan, kawasan perikanan yang terhampir, kira2 3 jam perjalanan ke Abha.

Ketam sr10-12/kilo

Udang sr25-30/kilo, sotong sr10/kilo

Bagha/ikan kembung sekilo sr6 -7
Hamra/ikan merah sr15 -17/sekilo

March 03, 2009

Kemahiran keibubapaan elak anak terabai

Artikel yang menarik untuk dikongsi bersama.

Oleh Faridah Maludin
SEORANG ibu berkata: “Makcik dulu orang susah, nak menyara lima anak bersekolah, ditambah lagi dua anak saudara yang tinggal dengan makcik. Suami makcik hanya tentera dan selalu pula masuk hutan. “Bila suami pencen, kami dapat peluang sertai rancangan Felda. Masa itu anak semua masih bersekolah, yang sulung baru tingkatan empat. Makcik terus berdoa dan menanam azam sekolahkan anak hingga ke peringkat paling tinggi dan simpan duit untuk tunaikan haji.” Selepas 20 tahun, impian ibu itu tercapai di mana anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan manakala beliau dan suaminya dapat menunaikan ibadat haji pada tahun 80-an.

Kisah hidup tadi mempamerkan kepada kita bagaimana tekad seorang ibu mendidik dan membesarkan anak sehingga berjaya walaupun terpaksa melalui pelbagai kepayahan. Ramai ibu bapa mempunyai hasrat menggunung terhadap anak mereka. Bagaimanapun, apabila anak tidak memenuhi impian, terdengarlah keluhan: “Kenapa anakku tidak seperti yang diimpikan?” Selain menghukum diri sendiri atas kegagalan itu, ada juga ibu bapa menyalahkan anak kerana degil dan susah untuk dibentuk. Dalam menempuh cabaran globalisasi, pengalaman saja tidak mencukupi. Sebaliknya, ibu bapa perlu memiliki ilmu keibubapaan dalam mendidik anak cemerlang dalam semua aspek, sama ada rohani, mental dan fizikal. Ibu bapa yang berjaya dalam tugas mendidik anak sentiasa tenang dan yakin dalam tindakan mereka, lebih banyak memulakan langkah proaktif berbanding tindak balas reaktif.

Antara cara menjadi ibu bapa efektif ialah: Ibu bapa perlu mempunyai matlamat keibubapaan yang jelas. Jangan hanya mahu anak-anak cemerlang, sebaliknya gariskan nilai kendiri yang ingin dibina secara khusus seperti taat, bertakwa, sabar, pintar, kuat bekerja, jujur, positif, bermotivasi, berilmu dan istiqamah. Ibu bapa perlu menyedari bahawa tugas mendidik adalah amanah yang mesti dilaksanakan. Ini kerana manusia dijadikan oleh Allah dengan tujuan tertentu, maka sudah pasti matlamat keibubapaan itu tidak boleh lari dari apa yang telah ditetapkan dan mesti selari ke arah keredaan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:“Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)·

Sikap ibu bapa menjadi paksi yang akan menentukan kualiti anak. Keikhlasan, sikap positif, terbuka, sabar, prihatin, suka mendengar, tidak mudah menyanggah akan menyediakan iklim yang sihat untuk mendidik anak-anak. Sikap prihatin terhadap perkembangan anak, penampilan dirinya, sentiasa mengambil berat, selalu berbincang melahirkan hubungan yang mesra dan secara tidak langsung meningkatkan kepercayaan anak kepada ibu bapa. Kelainan peribadi anak-anak, faktor usia, pengaruh luar akan menyulitkan tugas untuk menjadi ibu bapa berkesan kerana berdepan dengan anak kecil tentulah tidak sama apabila ibu bapa berhadapan kerenah anak remaja. Apakah kemahiran diperlukan?

Ibu bapa perlu memahami sikap dan kemahuan anak yang inginkan perhatian dan saling berhubung (berkomunikasi). Ada kalanya anak menunjukkan sikap memberontak dan ibu bapa perlu mahir dalam tidak balas mereka. Masalah anak menjadi kronik disebabkan ibu bapa tidak memahami sikap anak dan suka melabel anak dengan nilai negatif. Kemahiran berkomunikasi iaitu boleh menyampaikan dan mendengar dengan berkesan. Dalam proses interaksi, ibu bapa adalah pemimpin yang patut mengemudi supaya suasana menjadi gembira, aman dan tiada tekanan.

Tingkatkan empati dan kesabaran dalam berkomunikasi, lebih-lebih lagi apabila berlaku konflik antara ibu bapa dan anak. Anak-anak mempunyai ragam dan perangai berbeza. Apabila timbul konflik, cara penyelesaian terbaik ialah duduk berbincang kerana kedua pihak tidak boleh mengharap pihak satu lagi memahami kehendak mereka. Beri peluang anak meluahkan perasaan dan jadilah pendengar yang baik. Ibu bapa perlu selalu mengukur diri bagi membentuk imej yang boleh menjadi teladan kepada anak kerana imej itu akan mempengaruhi perkembangan mereka.

Contohnya, bila kita bertanggapan bahawa kita seorang ibu atau bapa yang tenang, sabar dan sentiasa cuba mengawal diri, sudah pastilah perkara ini akan mencorakkan tindakan kita. Oleh itu ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik untuk anak membuat penilaian terhadap imej ibu bapa mereka. Jika imej terpancar itu positif, anak-anak akan mudah mendekati ibu bapa dan hubungan ibu bapa dengan anak akan terpelihara. Sentiasa memberikan anak motivasi. Ini bermakna ibu bapa perlu mempunyai motif, matlamat, niat dan niat untuk bertindak.

Ibu bapa perlu memiliki hasrat dan matlamat yang tinggi untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Perkara inilah yang akan mendorong ibu bapa berusaha untuk mencapai cita-cita. Terdapat banyak cara untuk meningkatkan motivasi ibu bapa seperti menjadikan kejayaan anak sebagai matlamat, iktiraf kejayaan yang dicapai, walaupun tidak sebesar mana, dan bersedia berkongsi masalah. Kesan globalisasi dan arus kemajuan masa kini boleh membawa padah kepada anak jika tiada kawalan.

Ibu bapa perlu peka dengan cabaran semasa. Keruntuhan akhlak generasi masa kini amaran yang akan terus menjadi buruk jika ibu bapa, sebagai sekolah pertama anak-anak, tidak mampu mendidik mereka melawan ancaman yang boleh merosakkan anak. Kesimpulannya, ibu bapa kini harus bersedia dan menyiapkan diri untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Sentuhan mahir ibu bapa mampu mengubah dunia. Mereka perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan apa juga masalah dan kemungkinan.

Ibu bapa perlu merenung ungkapan hikmat ini: “Bukanlah anak-anak yatim itu anak yang telah kematian ayah bondanya dan yang melarat dalam kemiskinan. “Tetapi yang dipanggil anak yatim itu adalah anak yang ibunya tidak mempedulikannya dan ayahnya sibuk dengan urusan.”

Penulis ialah Perunding Latihan.

March 01, 2009

Pertandingan Sepak Takraw Piala Tabung Haji 2009

Pertandingan yang diadakan pada 26 & 27 February 2009 di Kompleks Tabung Haji Malaysia, Jeddah. Persaingan sengit menanti kumpulan nama diberi antaranya Suci Dalam Debu, Pendekar Pinang Sebatang, Teruna Senja, Jamarat Mina, PPM, Harimau Belang, Haruan Tasik, Madu Tiga, Gajah Emas dan Watimang Landok, nama2 kumpulan yang kreatif.




Jalak lenteng (klasiknya) nama diberi. Kumpulan yang akan diwakili suami untuk perlawanan sepak takraw piala Tabung Haji, Malaysia. Kumpulan diwakili oleh sdr Hairul (Tabuk), sdr Rashid (Jeddah) dan sdr Tarmizi (Jeddah). Jalak lenteng mara ke peringkat semi final, dan akhirnya mendapat tempat ke 3. Takpalah, menang kalah bukan perkara utama tapi kalau dapat johan best jugak…Nabil pesan abah mesti menang no.1 sebab abin nak pahala eh! bukan pahala kata abahnya, piala, hee..tengok anak2 sebut bahasa melayu, ni tak habis ngaji bahasa lagi nih.

Inilah piala tempat ke 3

Sedang bertarung


Sambil main takraw tersedia juga gerai2 jualan, disamping cabutan bertuah dan pertandingan tarik tali. Sate, laksa, murtabak, ais kacang, cendol, kuih-muih, bubur serta lain2 tersedia untuk dibeli. Seronoklah anak2 bermain, ibu2 juga dapat jumpa sambil menjamu selera.


Bergambar ramai2

Gerai2 Jualan

Johan perlawanan takraw piala Tabung Haji 2009 disandang oleh kumpulan pelajar2 PPM dari Universiti Madinah, tempat ke 2 jatuh kepada kumpulan dari Yanbu, manakala tempat ketiga jatuh kepada kumpulan Jalak Lenteng. Dapatlah juga piala..Manakala bagi acara tarik tali dimenangi oleh kumpulan dari Jeddah, kuat2 belaka orang Jeddah ni.

Khabarnya acara ini akan dijadikan acara tahunan, alamak..tiap tahun kenalah turun nak join, tapi takpalah yang pentingnya dapat buat umrah. Nak habaq lagu mana dah dapat suami minat sukan tu, duk main takraw dari bangku sekolah lagi, chek ni ikut jelah (skali skala loghat utara, Kelantan pun boleh jugak skit2) sebab suami lahir kat Kelantan, dibesaqkan di Kedah, kawin ngan orang nogori, rumah kat Johor, jadi kalau balik Malaysia, ronda satu semenanjunglah kami, dari utara ke selatan. Cuma yang tak tahan bila tang nak panggil, sat tuk (untuk perempuan belah utara), kalau belah nogori tuk tu untuk lelaki, confuse anak2, dahlah balik skali skala ..jadinya kami ni tempoyak pun boleh, belacan pun ok, budu pun makan. Sekarang ni kalau kat Saudi, kapsa dan laham mandi pun dah boleh. Rindulah pula nak balik Malaysia..

Jika ke Jeddah Asia Rest. di lupa jangan, cat fish salad dan ais lemon tea

Duk kat Holiday Inn Jeddah, boleh tahan

Hana pun nak sepak bola ke..