Pages

January 31, 2009

Ahlan wasahlan!


Ahlan wasahlan diucapkan....Alhamdulillah..syukur dipanjatkan, akhirnya kami berjaya juga melengkapkan pembinaan laman blog ini untuk dikongsi. Bersama sokongan teknikal dari suami, semoga ianya menjadi medan interaksi yang mempunyai mesej berguna walau terpisah waktu, jarak serta benua dan semoga ianya menjadi nadi penghubung silaturrahim, InsyaAllah.

Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan segala kekurangan serta kelemahan itu daripada kami jua.


Apa dah jadi...

Apa dah jadi dengan dunia hari ini, pelbagai ragam peristiwa dapat di lihat di perhati. Hari ini kanak-kanak di Malaysia yang masih di bawah umur malah masih di sekolah rendah sudah pandai melayari laman2 tidak bermoral, bermain permainan video tidak berfaedah malah memudharatkan. Apa dah jadi...

Hari ini kanak2 di Palestine begitu hiba, simpati bagi yang memandang dengan mata hati tatkala negara jiran hanya memerhati dengan mata terkebil-kebil malah masih punya waktu bersukaria meraikan kemenangan pasukan bola sepak yang diwakili. Apa dah jadi..


Situasi yang berbeza walau membawa mesej yang sama iaitu kerisauan...satu kerisauan dengan keruntuhan moral,satu lagi kerisauan bila-bila masa saja maut datang menjemput namun perginya syahid. Kerisauan hilangnya peradaban manusia itu lebih dibimbangi, alpakah kita...siapakah yang bersalah? Apa dah jadi...

Tatkala warga Palestine merayu menagih simpati dan bantuan, tatakala itu anak-anak remaja kita begitu asyik dan leka dengan dunianya. Remaja khayal dengan dunia hiburan keterlaluan, dunia rempit, pergaulan bebas dan pelbagai lagi.......

Mana perginya kepedulian, mana kaburnya keprihatinan, mana hilangnya sensitiviti...ummah semakin terancam, laksana buih2 dilautan, kelihatan banyak namun hilang ditelan ombak. Walau ramai bilangan namun hadirnya tiada peranan. Apa dah jadi...

January 28, 2009

Titipan buat ayah

Pejam celik pejam celik Raihanah sekarang sudah berusia 3 bulan 2 minggu. Terasa cepat masa berlalu. Semakin membesar dan mula mengenali ummi, abah, kakak dan abang. Naluri kurniaan Illahi, walaupun masih bayi tetapi dapat merasakan kasih sayang dikalangan ahli keluarga. Rutinnya akan bangun pagi sama-sama menghantar kakak dan abang di pintu untuk ke sekolah dan tengahari selepas mandi dan tidur semula akan bangun ketika kakak dan abang bangun (mungkin juga sebab mula riuh rendah dengan suara kakak & abang). Kakak dan abang pula apabila sampai sahaja di rumah terus cari dan terkam adik, kadang2 tak sempat nak ke bilik air basuh tangan dan kaki. Itulah ikatan naluri perasaan, walaupun masih kanak2 namun fitrahnya terserlah walau tanpa kata-kata.

Raihanah 3 bulan

Pengalaman pertama, Nabil dihantar ke rumah penjaga, hantar pagi ambil petang sebab dua2 bekerja. Rasa tak sampai hati nak tinggalkan anak pada orang lain tapi tiada pilihan ketika itu. Pernah satu ketika dia merajuk kerana ambil terlalu lewat walaupun usianya baru menjangkau 1 tahun. Pengalaman kedua Nabihah dijaga oleh pembantu rumah indonesia, ketika itu abahnya telah mula bekerja di Mekah sejak usianya sebulan. Manakala umienya pula masih mengaji. Jadi setiap kali pulang bercuti ke Malaysia, bila ternampak saja abahnya terus menangis. Tak kenal...sehinggallah kami membuat keputusan untuk sama2 menetap di Saudi. Raihanah bayi periang, tersenyum riang bila terdengar suara abah, kakak dan abang. Perihal peranan ayah dalam keluarga, sukalah nak berkongsi artikel dibawah yang ditulis oleh Endok Sempo. Sangat berguna dan boleh dijadikan panduan.

Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya, Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.

Anak yang tidak berbapa.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.

Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada beberapa rahsia menjadi ayah yang berkesan:-

Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!

Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Sekian.

Penulis : Endok Sempo Mohd Tahir

January 26, 2009

Anak anugerah

Pagi ni seperti hari-hari biasa, bangun uruskan anak-anak ke sekolah, seperti biasa abah mereka yang akan kejutkan, mungkin suara abah lagi kuat daripada suara umie, bila umie kejut macam2 alasan esp kakak, penatlah, nak tidolah, macam2 alasan dia bagi, pagi ni alasan dia abah tak belikan aiskrim, permintaan dia 3 hari lepas, dia masih ingat lagi dan sempat nak memikirkan alasan dalam mata duk pejam macam tu, hai.. kanak2 memang ingat sesuatu perkara esp yang dia suka ataupun kita pernah berjanji, tapi permintaannya itu kami tak tunaikan bimbang selsema dan batuk di musim sejuk nih. Abang seperti selalu, sentiasa seronok nak ke sekolah, jumpa kawan2..hari ni plak ada test math chapter 5 & 6, hari2 ada test persediaan sebelum exam first term tak lama lagi. Janji kalau dapat A semua subjek belikan mainan, bagi rangsangan sikit, sebenarnya hadiah tu dah belikan pun tapi belum buka lagi ada kat atas almari, beli sebab masa tu ada sale, jimaat skit...ye, dalam nak mendidik anak ni esp peringkat umur pra sekolah dan awal sekolah banyak juga cabarannya, kadang-kadang kena memujuk, kadang-kadang merangsang dan kadang-kadang menghukum. Pernah suatu ketika abang nakkan mainan, taklah mahal cuma sr10 tapi kami tetap taknak belikan sampai menangis teresak-esak. Bukan nak berlaku kejam cuma nak mendidik dia bahawa tak semua hasratnya akan tercapai esp yang melibatkan wang dan kesenangan. Rasanya ramai ibu bapa yang mengalami situasi yang sama, menangani situasi sekaligus berlangsungnya proses pendidikan, sukar juga nak menangani emosi anak dan pada masa yang sama perlu kawal perasaan dan berfikir apakah keputusan yang terbaik. Tapi terfikir juga ye zaman dulu2 bagaimana mak bapak didik anak yang ramai dengan segala kepayahan dan tak guna psikologi pun boleh berjaya...

Bercerita mengenai chinese new year, kami di Abha ni ada jiran berbangsa cina berasal dari tanah besar cina, berkahwin dengan lelaki arab berasal dari Jordan. Sekarang mempunyai 2 orang anak berumur 4 tahun dan 5 bulan, menganut kristian, sambut perayaan cina sambut juga krismas. Perkenalan yang telah menjangkau usia 3 tahun, sepanjang perkenalan adalah beberapa kali gathering bersama. Walaupun berlainan kepercayaan tapi mudah dan boleh di jadikan kawan. Ada masa diperlukan kami bantu, kami perlu bantuan mereka bantu, seperti kata pepatah orang memberi kita merasa, tapi menerima dan memberi pun ada batas2nya supaya tak terhutang budi..cuma niat dihati semoga hidayah diberi islam dianuti.

Alhamdulillah sepanjang menghuni di sini memiliki hubungan kejiranan yang baik, disamping itu adalah jiran2 lain dari Egypt, Syria, Lubnan, Palestine, dikelilingi arab foreigner dari asia barat. Saling kenal dan ambil tahu walaupun tidak semua perkara, bolehlah anak2 berkawan dengan anak2 arab ni, yang terkenal dengan kelasakannya, tangkas dan tulang yang kuat walaupun hari2 makan roti. Kecil2 lagi seawal 3 tahun mak bapak mereka dah lepaskan main di luar rumah. Keluar main dari tengahari sampai malam pun tak apa esp bila hujung minggu.

Jika difikir secara positif mungkin ada baiknya, lihatlah kanak2 palestine dikaca TV, masih kecil tapi dah berani baling batu ke arah tentera Israel, bersama2 berjuang mempertahankan tanah air. Berlainan pula situasi kita di Malaysia ibu bapa sering dibelenggu ketakutan dengan pelbagai kes jenayah yang tak sudah2 sehingga kadang kala nak biarkan anak bermain di taman permainan pun menjadi masalah, faktor keselamatan yang membimbangkan. Fenomena realiti hari ini, kebimbangan demi kebimbangan menghantui para ibu bapa apatah lagi anak2 yang semakin meningkat remaja. Kebimbangan yang kadang kala semakin menyempitkan ruang tumbesaran kanak-kanak. Kekuatan jati diri kanak2 di Palestine di bandingkan jati diri kanak2 Malaysia memang jauh berbeza, bukanlah nak menjadikan cara asuhan itu acuan tetapi mana yang baik dijadikan teladan dan buruk jadi sempadan. Semoga sama2 dapat melahirkan anak2 yang kuat ketahanan jiwanya, utuh peribadinya, mulia akhlaknya, tinggi pekertinya dan membesar untuk membela agamaNya. Semoga doanya jua menjadi bekalan kita di alam barzakh nanti.

January 24, 2009

wanita, isteri dan ibu

Samada memilih untuk berkerjaya atau suri rumahtangga sepenuh masa bergantung kepada keperluan sesebuah institusi rumahtangga. Ianya bersifat subjektif kerana hanya ahli keluarga yang mengetahui dan memahami kehendak keluarga tersebut. Walau apapun pilihannya, peranan wanita sebagai isteri dan ibu tidak boleh dinafikan. Ibu yang perlu menjadi master mind di dalam sesebuah rumah tangga, ibu jua yang perlu mereka bentuk, menyusun atur, menata ruang dan sebagainya. Pendek kata, ibu memiliki bidang kuasa yang besar selepas tanggungjawab seorang ayah. Walaupun jatuh pada tempat yang kedua selepas ketua keluarga, namun peranan yang sangat besar dalam mencorakkan sesebuah rumah tangga.

Jika boleh diumpakan sebuah rumah yang perlukan penataan cahaya yang cukup, susun atur yang sesuai, pemilihan warna yang seimbang, perabot yang selesa, cukup untuk menimbulkan keharmonian di dalam sebuah rumah, begitulah jua jika diumpakan peranan ibu dan isteri. Perlunya perancangan dan perencanaan yang tersusun ataupun well organize, mungkin ada kalanya tersasar dari rencana asal, tetapi sebagai manusia biasa perlu kita belajar dari kesilapan. Kesilapan yan akan mengajar dan mematangkan. Ibu yang bagaimanakah patut kita berperanan, ibu moden yang versetile, ibu yang open minded, ibu yang tradisional dan etc. Jawapannya bersifat subjektif, kerana manusia itu diciptakan unik dan eksklusif. Cuma panduan dan acuan mana yang kita hendak gunakan. Pastinya sebagai muslim kita perlu mengarahkan matlamat berdasarkan Al-quran dan sunnah. Tiada ibu yang inginkan kepincangan dalam hidup anaknya, cuma mungkin pendekatan yang digunakan berbeza. Ada yang memilih untuk menggunakan ketegasan dan disiplin dalam banyak perkara contohnya dalam hal berkaitan pendidikan, keagamaan malah dalam mencari kerjasama menguruskan rumah. Ada juga yang memilih approach anak sebagai kawan. Banyak yang perlu dipertimbangkan dalam memikirkan pendekatan mana yang sesuai antaranya faktor umur, gender, persekitaran dan sebagainya. Banyak pakar motivasi mengatakan perlunya pendekatan bersifat kasih sayang dan berlemah lembut lebih daripada pendekatan secara keras dan hukuman. Hmm..mari kita renungkan.

Apapun, sebagai manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan, tiada istilah sempurna namun apa yang boleh dilakukan ialah peningkatan peranan sebagai ibu atau isteri ke arah yang lebih baik, bersedia melakukan perubahan, sentiasa bermotivasi untuk merencanakan sesuatu untuk ahli keluarga. Rasa beratnya tanggungjawab sebagai isteri dan ibu...namun untuk menggapai syurga Allah itu jua bukanlah jalan yang mudah, perlu padanya kekuatan walaupun menempuh onak dan duri, kerana sesungguhnya manusia itu tidak akan dikatakan beriman selagimana dia belum diuji (al-Ankabut:3).

January 21, 2009

Musafir Kelana

Entah kenapa tajuk ini sangat ku minati, ianya sangat sinonim jika dikaitkan dalam kehidupan. Hidup ini adalah musafir perjalanan, orang yang bermusafir perlukan bekalan secukupnya agar tidak sesat dalam perjalanannya. Dunia adalah jambatan akhirat, bersifat sementara dan kadang kala mengasyikkan. Lantaran itu rasa begitu teruja untuk berkarya melalui blog untuk berkongsi, memberi idea yang kian hari kian terpendam. Apatah lagi mendapat persetujuan suami, sekurang-kurangnya melalui wadah ini dapat juga menyatakan apa yang dirasa dan difikir sehari-hari. Sementelah tugas yang disandang ketika ini tidak mengizinkan untuk berbual-bual, bermesyuarat dan berprogram seperti dulu. Setelah hampir 4 tahun jawatan suri rumah sepenuh masa disandang beberapa pengalaman dan idea boleh dilontarkan dalam laman ini. Sekurang-kurangnya bertindak sebagai jurnal yang merekod agenda harian dan peristiwa yang mungkin boleh menjadi sumber inspirasi yang boleh menggerakkan minda untuk mencetuskan idea-idea baru untuk dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya terisi jua masa senggang ketika anak-anak ke sekolah, sebagai manusia yang tidak pernah lari dari kesilapan sentiasa perlu kepada pengisian terutamanya pengisian kerohanian, spiritual dan emosi.

Sekilas lalu, setelah hampir 4 tahun menetap di Saudi ini, jika diimbas kembali pelbagai kenangan yang telah ditempuh. Bermula di Madinah, kemudian berpindah ke Mekah dan akhirnya di Abha sehingga sekarang. Bumi para anbiya yang menyaksikan perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Pastinya teruja apabila melihat kesan-kesan sejarah umat terdahulu berjuang bermati-matian menggadai nyawa dan harta demi mencari redha Pencipta. Pastinya jua hati tersentuh pabila menziarahi makam baginda Rasulullah tercinta, tatkala dahi mencecah lantai raudhah yang mulia, yang pernah menyaksikan sebuah kehidupan agung bukti kebenaran Al-Quran. Sungguh besar pengorbanan dan perjuangan baginda dan sahabat2, sementelah kita hanya menjadi pengunjung yang menyaksikan peninggalan sejarah. Sedih rasanya dibandingkan peranan umat terdahulu dan peranan hari ini. Kekejaman yang berlaku di Palestine bukti rapuhnya kekuatan umat islam hari ini.

Perjalanan mencari redha Pencipta agar kehidupan selepas dunia ini tenang dan damai. Alhamdulillah kami sekeluarga diizinkan untuk menunaikan haji pada tahun 2006, menyertai ribuan umat manusia yang sama-sama harapkan keampunan dan maghfirahNya. Agar hidup seterusnya diberkati, diberi kekuatan untuk terus beriltizam dan beristiqamah di atas jalanNya.

p/s: Ini adalah percubaan write up, tugasan yang dah lama ditinggalkan, harap sedikit demi sedikit dapat mengembalikan semula semangat untuk menulis,berkarya dengan ilmu yang tidak seberapa.