Pages

December 06, 2010

1432H


"Hari ni 1 Muharam bermula tahun baru Islam.."ujar saya memulakan bicara kepada anak-anak.
"1 Muharram tu in english apa ummi..?"tanya si kakak, soalan yang memang saya dah jangka dari awal.
"What is the first month in a year..?"tanya saya semula
"January"jawabnya
"Jadi Muharam tu adalah first month dalam kalendar Islam..."terang saya lagi

"Istimewanya kalendar Islam tu di ambil sempena peristiwa Hijrah. Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah."

"Hijrah tu apa..?" tanya si kakak lagi

"Hijrah tu berpindah atau move, hmmm..transfer from one place to another place," mungkin lebih tepat fikir saya menggunakan istilah bahasa Inggeris bagi  memudahkan mereka memahaminya walaupun istilah Hijrah itu maknanya lebih luas. Keadaan yang semakin menggusarkan saya, semakin mereka membesar semakin kurang penguasaan Bahasa Malaysia walaupun kami sekeluarga menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan di rumah.

"Sebab orang kat Makkah tak suka dengan Rasullullah saw ke?"tanya si abang. Masa tu orang kafir Quraisy tak nak terima bila Rasulullah suruh sembah Allah, mereka nak bunuh Nabi saw. Maka bermulalah perjalanan mencabar Rasulullah saw dan sahabatnya Abu Bakar As Siddiq. Berceritalah kami mengingatkan kembali peristiwa Hijrah Rasul tercinta demi menegakkan Islam di muka bumi ini.

1432 tahun yang lalu berlakunya hijrah Nabi saw dan Khalifah Omar Al Khattab mencatitnya sebagai tahun bermulanya kalendar umat Islam. Banyak pengajaran dan hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa hijrah itu. Rasulullah saw berhijrah dari satu tempat yang menolak Islam ke satu tempat yang menerima baik malah mengalu-alukan kehadiran baginda saw. Berhijrah dari ancaman kepada kebebasan, juga berhijrah dengan dakwah tanpa kuasa kepada dakwah secara berkuasa. Hijrah yang menjadi titik tolak kepada berkembangnya Islam ke seluruh pelusuk dunia, yang nikmatnya dapat dirasa sehinggalah ke hari ini.

Sering permulaan hijrah ini kita diseru menghayatinya, berusaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Menambah baik ibadat-ibadat seharian dengan meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri denganNya. Namun di samping amal2 fardhi itu terkandung juga tuntutan ummah lainnya. Persoalan yang selalunya membuatkan saya berasa kerdil. Mengambil semangat daya juang Asma' binti Abu Bakar ra yang berulang alik menghantar makanan kepada Nabi saw dan bapanya ketika berlindung di Gua Thur atau mencontohi akhlak Siti Khadijah bersama suami tercinta mengajak manusia menyembah Pencipta yang Esa. Terlalu jauh rasanya, namun merasa diri serba kekurangan hanya akan mengundang bisikan2 yang semakin menjauhkan diri dari Nya.  Sikap kepedulian terhadap nasib umat Islam hari ini yang sering tertindas seperti yang berlaku di Palestin sangat diperlukan bagi menyatakan umat akhir zaman ini adalah umat yang terbaik. Walaupun mungkin tidak banyak yang boleh dilakukan namun sebagai individu muslim kita boleh menyumbang hatta doa menandakan keprihatinan terhadap umat Islam lainnya. Bersama doa semoga kita terhindar dari fitnah akhir zaman dan semoga kemenangan akan menjadi milik umat Islam seluruhnya. Aminn..

2 comments:

ruby said...

semoga tahn 1432 hijrah ni kita semua brhijrah ke arah yg lebih baik..hrap impian & cita2 mak ude dimakbulkan Allah pada thn ni..doakan sama ye..

Ummu Nabil said...

insyaAllah...aminnn.