Pages

October 25, 2011


Buat sekalian kalinya kami menziarahi kota bercahaya ini. Jarak perjalanan masih berbaki 50km ketika jam menunjukkan kira-kira pukul 3.30 pagi, Kami sampai beberapa minit sebelum berkumandangnya azan Subuh. Subhanallah, Maha Suci Allah yang memelihara kota suci ini.

Selesai urusan hotel untuk kami bermalam, saya menuju ke Raudhah bertemankan Nabihah. Inilah kali pertama saya membawanya bersama. Ketika ini umurnya genap 8 tahun.

Pertama kali membawanya ke Masjid Nabawi ialah ketika Nabihah berumur 7 bulan iaitu pada tahun 2004, kami datang menggunakan visa umrah dan ziarah. Ketika itu saya yang masih dalam pengajian mengambil kesempatan mengunjungi suami yang bekerja di Makkah.

Kali kedua saya membawanya ketika dia berumur setahun setengah iaitu pada tahun 2005, pada ketika itu kami datang untuk tinggal sementara di bumi Madinah selama kira-kira 2 bulan. Dan kini setelah berusia 8 tahun, buat pertama kalinya saya membawanya ke Raudhah al-Mutahharah, iaitu satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi, selain menjadi tempat Rasulullah saw dan para sahabat beribadat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah saw, ia juga merupakan sebuah taman syurga.

Suasana pagi itu sangat tenang, kami melangkah kaki memasuki masjid Nabi dan menuju ke Raudhah. Sambil berpesan kepadanya supaya sentiasa berselawat kepada Rasulullah saw di dalam hati dan berdoa. Ketika ini masih belum ramai jemaah haji yang datang menziarahi kota Madinah, maka masih banyak ruang untuk menunaikan solat.

Berbanding waktu-waktu lainnya yang memerlukan jemaah wanita untuk duduk menunggu giliran. Pembahagian akan dibuat mengikut negara. Pembahagi pula akan di buka secara berperingkat, yang ketika ini memerlukan kekuatan fizikal untuk menerima asakan dari segenap penjuru.  Pada ketika itu saya memilih untuk mengerjakan solat sunat di mana sahaja ruang di dalam Raudhah yang tidak mengganggu tumpuan solat dan solat di saf paling hadapan yang diperuntukkan untuk jemaah wanita bukan lagi menjadi keutamaan apatah lagi sehingga menaikkan amarah yang bimbangnya akan merosakkan nilai ibadah yang menjadi tujuan kehadiran di sini. Biarlah kehadiran di tempat yang mulia ini mendapat manfaat daripadanya dengan penuh rasa rendah diri dan penuh kecintaan kepada Rasulullah saw.

Alhamdulillah dengan penuh rasa kesyukuran atas  segala nikmat yang dikurniakan, anak-anak yang semakin membesar, pada umur yang masih  muda mereka diberi peluang menjejakkan kaki di bumi yang bertuah ini.

Fasa ketika kecil menangis minta didukung ketika sedang solat berjemaah juga telah dilalui, pada awalnya mengundang pelbagai rasa sehingga mengganggu kekusyukan. Pernah ketika Nabihah berumur 2 tahun ketika itu sedang belajar berlari-lari ketika sedang solat Isya' berjemaah, dia berlari-lari anak melepasi saf demi saf, mujur dibelakang saya ialah saf makcik-makcik dari Malaysia yang menunjukkan di mana Nabihah berada. Kini giliran Nabihah pula untuk membantu menjaga Raihanah ketika solat. Berbanding kakaknya, Raihanah lebih suka duduk bersebelahan atau turut sama solat berjemaah.

Masa berlalu terasa begitu pantas, setelah 8 tahun kehadiran Nur Nabihah begitu juga Raihanah yang telah 3 tahun membesar di bumi Saudi ini. Bulan Oktober menyaksikan kelahiran kedua-dua puteri kami ini, penyeri kehidupan anugerah Illahi yang perlu dipelihara dengan seamanahnya. Semoga terus membesar sebagai srikandi yang akan menyumbang untuk agama tercinta. Dengan izinNya masih jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui. Semoga Allah membekali kalian kekuatan dan keimanan yang teguh menghadapi cabaran kehidupan yang semakin getir ini. Itulah yang akan menjadi benteng penyelamat dunia dan akhirat.

1 comment:

Anonymous said...

Salam,

Ayu akan ke Najran and need your tips or help...mcm mana nak contact you ye..