Kuala Pilah, NS |
Kesejukan terus membungkus bumi Riyadh ketika ini, beberapa hari lalu bumi padang pasir ini disimbahi hujan. Subhanallah..Maha Suci Allah yang mengatur segalanya..panas dan sejuk, siang dan malam segalanya patuh tanpa sebarang bantahan kepada yang Mencipta. Manusia juga makhluk ciptaanNya, ciptaan istimewa kerana punya akal dan nafsu. Boleh memilih mana-mana suka, pokoknya terpulang, sendiri mau ingat..bahasa popular muda mudi masa kini. Sedikit peringatan buat diri sendiri tatkala sendirian dirumah sementara menunggu anak-anak pulang dari sekolah.
Buku Murabbi Cinta tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dibelek lembaran demi lembaran. Tak cukup dengan itu, buku You Can Be The Happiest Woman in The World tulisan Dr A'id al Qarni juga diselak beberapa lembaran. Namun masih tak mampu memujuk hati yang serba tak kena. Suasana mendung di luar seolah mengiyakan mendungnya rasa hati. Sunyi..barangkali tidak, semenjak menghuni di apartment yang mesra dipanggil AF5 ini tidak pernah rasanya terasing, rakan ibarat saudara punya pertalian, walau berlainan karakter namun saling menerima. Fikiran terus melayang ke tanah air tercinta, mungkin rindu pada kampung halaman, mak dan abah, hening desa tatkala ditimpa hujan..jauh melayan fikiran sehingga menerjah zaman ketika menuntut di universiti. Andainya masa boleh diundur, ingin diulang kembali masa dan ketika itu. Kenangan pahit dan manis yang diadun bersama memberi sebuah pengalaman hidup yang bermakna. Kembara ilmu selama lima tahun itu tidak hanya untuk segulung ijazah. Melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih terarah, makna hidup sebagai hamba ada tujuan dan pengertian. Makanya soal boleh memilih mana-mana suka bukanlah suatu pengakhir kerana ada balasan besertanya. Pilih yang baik maka baiklah kesudahannya dan begitu sebaliknya. Maka jika difikir tidak mudah menjadi manusia, perlu sentiasa berfikir sebelum bertindak, mana yang baik mana yang buruk. Tatkala iman pula ada pasang ada surutnya. Namun untuk berserah tanpa ikhtiar seolah membiar diri terusan alpa. Begitu unik makhluk bergelar manusia dicipta sedemikian rupa, maka sesuatu perlu dilakukan agar tidak lalai dan lupa. Tidak sahaja jasmani malah perlu juga terisi rohani agar sejahtera dan harmoni iman di jiwa.
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : 'Kami beriman'; sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-'Ankabut : 2-3)
Semoga iman akan terus terpelihara dan sentiasa dalam rahmatNya.