Pages

November 12, 2010

9 Zulhijjah datang lagi


Arafah, 9 Zul Hijjah 1426
"Makcik dari mana?" sapa seorang teman saya kepada dua orang makcik yang kelihatannya dari Malaysia ketika malam pertama kami bermalam di Mina.

"Makcik ni dah terpisah dari kumpulan" balas salah seorang makcik tersebut.

Simpati, kami memberikan serba adanya bekalan makanan yang kami bawa. "Terima kasih nak, hanya Allah sahaja yang mampu membalas pertolongan anak2 hari ini." Ucap makcik-makcik tersebut ketika berpisah setelah ada wakil Tabung Haji yang datang setelah dihubungi melalui telefon bimbit milik salah seorang dari rombongan kami. Itulah antara salah satu peristiwa yang berlaku ketika kami sekeluarga menunaikan haji pada  musim haji 1426.

Coretan pengalaman menunaikan rukun Islam yang ke lima itu terpahat dan kembali segar setiap kali menjelangnya bulan Zulhijjah. Ketika itu kami menetap berhampiran Kuday, Makkah kawasan yang lebih dikenali sebagai tempat mengambil air zam-zam. Tahun tersebut merupakan tahun kedua suami menetap di Makkah, peluang tersebut kami ambil untuk menyertai jutaan umat Islam menjadi tetamu Allah. Bersama Nabil ketika itu berusia  4 tahun dan Nabihah 2 tahun, kami memulakan perjalanan pada pagi 9 Zulhijjah bersama rombongan keluarga dari Pattani yang telah lama menetap di Kota Makkah. Dengan mengoptimakan sepenuhnya kenderaan GMC yang telah lama berkhidmat kepada tuannya nyata membuktikan kekukuhan kenderaan tersebut apabila boleh memuatkan hampir 20 orang!


GMC ke Arafah


Kami sampai dalam kawasan Arafah beberapa jam sebelum masuknya waktu zuhur, kecekapan seluruh ahli keluarga tersebut terjelma bersama pengalaman mereka menunaikan haji setiap tahun. Saya terkesima melihat keupayaan salah saorang warga emas keluarga itu yang begitu gigih dan bertenaga menunaikan setiap tugasan ibadah tersebut. Dari Arafah kami menuju ke Muzdalifah sebentar hanya untuk mengutip batu-batu kecil memandangkan terdapat kanak-kanak dan warga emas yang turut serta.

"Nak susu, nak susu!" teriak Nabil sambil menangis sejurus sahaja kami  mendapat tempat berdepan dengan jamrat untuk bermalam pada malam itu. Tangisannya tenggelam dalam ribuan umat manusia pada malam itu.

Labbaikallah humma labbaik...bersama niat yang satu, jutaan jiwa sangat berkehendak dan mengharapkan rahmat dan keampunanNya, menyerahkan seluruh jiwa dan raga semoga dengan tertunainya rukun Islam kelima itu seolah melahirkan seorang insan baru kedunia. Bersih tanpa noda dan dosa. Menjejaki jejak Rasulullah dan para sahabat menunaikan perintah Allah bagi yang berkemampuan. Segala kepayahan, kesukaran dan sebagainya tenggelam dalam kesungguhan ibadat kepadaNya. Peluang yang bukan mudah untuk diperolehi tidak harus diremehkan dengan permasalahan. Pelbagai ragam manusia dari pelbagai tempat, rencam budaya, bahasa dan tatacara berhimpun atas nama agama yang satu. Berbaik sangka, bertolak ansur dan segala sifat kebaikan sangat diperlukan bagi menongkah bisikan jahat yang boleh mengurangkan pahala ibadah kepadaNya. Ya Allah! terimalah taubat hambamu.. 

“Barangsiapa yang berusaha menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah pula akan menunaikan hajatnya” [Riwayat al-Bukhari]