Pages

July 22, 2009

Abha oh Abha!

Nampaknya ucapan selamat tinggal Abha terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu atas permintaan ramai…sayang benar untuk kami meninggalkan Abha dan ketika ini kami masih di sini, di bumi Abha meneruskan musim panas disini tatkala teman2 lain melerai rindu bertemu kaum keluarga dan sanak saudara di Malaysia. Ditunda ke suatu tarikh yang belum pasti, mungkin bulan depan, atau bulan satu lagi..belum pasti. Setelah kebanyakan barang2 telah disusun kemas di dalam kotak, line internet pun dah ditamatkan perkhidmatan, disk TV dah di turunkan dari atas bumbung, semuanya telah sedia, pokok2 pasuan juga telah diserahkan kepada penjaga yang baru.

Apapun segalanya perlu diterima dengan hati yang terbuka, pujuklah, berbaik sangka segalanya perlu berhikmah supaya sabar, redha dan pasrah lebih mendominasi. Pastinya Dia yang lebih mengetahui setiap hikmah dan pengajaran. Ya, Dia Maha Mengetahui, hatta sehelai daun gugur ke bumi, sungguh terkesan apabila teringat ungkap kata bahawa setiap yang berlaku semuanya telah diatur dengan cantik, indah dan begitu tersusun. Apapun yang telah, sedang dan akan terjadi itulah yang terbaik walaupun mungkin kita tidak mengkehendakinya atau menyukainya.

Walaupun begitu sebagai manusia berserah sahaja bukanlah penyelesaian yang terbaik, kita perlu kepada kehendak atau usaha kerana Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (ar Ra’ad:11)

Syukur…apabila kita bersyukur maka Allah akan tambah lagi tetapi apabila kufur dengan nikmat maka buruklah padahnya. Ya! Itu janji Allah. Menjadi hambanya yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang tidak terhitung, hatta jika segala ranting dipepohon dijadikan pena dan air dilautan dijadikan tinta untuk menulis nikmat yang Allah berikan pun belum cukup untuk mencatat semuanya.

Menggamit Kenangan..
Beberapa minggu ini bumi Abha saban hari diselubungi awan mendung membawa hujan lewat petang dan malam. Angin sejuk dan nyaman menyapa seolah mengucapkan selamat datang kepada pengunjungnya. Terubat juga sedikit rindu pada tanah air apabila mendengar dan melihat titik titik hujan turun membasahi bumi. Mengimbas setahun yang lalu ketika ini menikmati keenakan buah2an tempatan di Malaysia, durian, rambutan, manggis dan sebagainya. Anak2 gembira berlarian di tepian pantai menyedut udara petang, lambaian daun kelapa begitu indah dan mengasyikkan. Tidak lupa juga pastinya masak gulai cili api yang digemari Nabil, anak yang sulung. Apa sahaja bahan utamanya, ayam kampung, ikan salai bersama bacang muda, asal gulai itu dia makan berselera sungguh. Mana mungkin boleh disamakan dengan masakan sebegitu di Abha, di rumah atuk, santan kelapa segar daripada buah kelapa dari pokok belakang rumah, cili api pula dipetik dari pokok di halaman rumah, kata saya apabila dia mula membandingkan masak gulai cili api di Malaysia dan di Abha.

Pulang ke Alor Setar pula terhidang pemandangan indah hijau menguning padi di bendang. Begitu damai dan tenang. Menurut resam padi semakin berisi semakin tunduk, terkandung makna yang begitu tersirat. Sejauh mana pun destinasi, selangit mana pun kejayaan digapai tidakkah itu sepatutnya menjadikan kita semakin tunduk, tunduk pada yang Memberi. Menjadikan kita punya hati yang sentiasa insaf dan sedar akan keupayaan dan kekurangan diri. Begitulah betapa sempurna ciptaan Nya menyusun setiap kejadian alam, saling berkait dan berkerjasama.

‘Dan sesungguhnya orang-orang yang berjihad (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik’ (Al-Ankabut ;69)

Tetamu dari Makkah
Minggu lepas kami dikunjungi oleh tetamu dari Makkah, Hj.Azam dan Niza. Aktiviti bersama yang menggembirakan apatah anak2. Jika di Abha ketika ini pastinya tapak perkelahan as Souda dan Al Habalah yang menerima ramai pengunjung disamping Abha Shopping Festival yang menyediakan pelbagai pilihan barangan terutama dari Cina.



Laluan masuk ke Al Habalah

Pemandangan cerun gunung di Al Habalah

Hana, 9 bulan

Ceria bersama uncle Azam & aunti Niza