Pages

May 24, 2009

Rempah ratus kehidupan


Rempah ratus sememangnya telah diketahui umum digunakan sejak zaman berzaman dalam bidang masakan. Rempah ratus yang sifatnya boleh membangkitkan rasa dan aroma tersendiri mampu memberikan citarasa kepada sesuatu masakan. Maka tidak hairanlah nilai eksotiknya begitu tinggi dan masyur di mana sahaja. Bila memasak makanan kita akan tambah pelbagai bahan bagi menambah rasa sesuatu makanan seperti rasa manis, masin, masam, pahit dan sebagainya.
Begitu juga halnya dengan sebuah kehidupan. Kehidupan sementara yang dipinjamkan kepada kita sebagai makhluk di muka bumi. Banyak perkara yang dilalui, terkandung di dalamnya pelbagai rasa. Jika dengan makanan kita boleh merasainya melalui deria rasa yang dikurniakan kepada manusia yang kemudiannya ditafsirkan oleh otak untuk memberi penilaian rasa tersebut. Manakala rasa melalui peritiwa atau keadaan hanya mereka yang menempuhnya akan mengerti dan memahaminya. Pelbagai peristiwa dan ragam hidup yang dilalui. Adakalanya gembira, ceria, suka, tenang dan adakalanya sedih, sayu, sunyi dan pelbagai lagi. Rasa yang pelbagai mengadun sebuah kehidupan yang semakin bermakna, harapnya begitulah.

Ada juga pepatah mengatakan asam garam kehidupan, asam memberikan rasa masam manakala garam memberikan rasa masin, walau masam dan masin namun kedua2nya mampu berperanan sebagai penambah rasa dalam masakan apabila disatukan. Mungkin boleh diertikan makna yang tersirat iaitu walaupun pahit dan sedih yang dilalui namun mampu menambah nilai sesebuah kehidupan. Selalunya apabila ditimpa sesuatu musibah seperti kepayahan dan keperitan kita akui bahawa kita sedang diuji, jarang benar disedari yakni apabila berada dalam kesenangan atau kegembiraan bahawa kita juga sebenarnya sedang diuji. Maka mungkin dengannya juga jarang sekali kita temui peribahasa atau pepatah yang mengaitkan sesuatu yang manis dan ceria untuk menggambarkan pahit maung sebuah kehidupan.

Dua minggu lepas suami dimasukkan ke hospital untuk menjalani minor operation untuk membuang batu karang, kesakitan secara tiba2 sejurus selesai bertugas sebelah malam. Walaupun cuma minor operation, situasi yang sedikit sebanyak menguji kekuatan. Perasaaan yang berbeza dapat dirasa apabila berhadapan dengan situasi anak sakit atau diri sendiri yang sakit. Lebih2 lagi bila duduk jauh dari keluarga dan sanak saudara…Ya sememangnya kita akan diuji, dan ketika itu kata kuncinya ialah pasrah dan sabar, maka inilah jua antara rencah kehidupan. Rencah yang mengajar agar sentiasa memperbaiki atau mempertingkatkan lagi hubungan dengan Khaliq, Pencipta alam semesta. Tiada daya dan upaya selain usaha, dan selebihnya adalah kepunyaanNya.

Bersama bantuan jiran2 dan rakan2 Malaysia yang berada di Abha, alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Syukran jazilan juga diucapkan kepada ahli keluarga dan rakan2 yang sentiasa mendoakan dan bertanya khabar. Semoga Allah melimpahkan rahmat serta maghfirah dan mawaddahNya kepada semua.

Ya Allah! Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang2 sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir (Al-Baqarah :284-286)

May 10, 2009

Selamat Hari Ibu kepada semua yang bergelar seorang ibu, sungguh ucapan untuk seorang ibu tidak hanya pada hari ini kerana kasih dan pengorbanan ibu bukan sahaja di dunia tetapi membawa ke syurga...insyaAllah